Sayur sawi bunga tidak asing kepada masyarakat kita di Malaysia. Setiap set makanan harus mempunyai campuran sawi bunga yang dimasak bersama seperti mee goreng, nasi goreng atau sayur tumis. Kadang kala terdapat mereka yang hanya mencelur sawi bunga beberapa minit dalam air panas dan dihidangkan dengan sambal bersama nasi. Berikut jenis-jenis sawi bunga yang pernah ditanam oleh tanomkinotuan di KBR (Kebun Belakang Rumah):
1. SAWI BUNGA KAMPUNG
Sawi bunga kampung iaitu jenis sawi bunga yang tidak asing lagi kepada masyarakat kita di Malaysia. Sawi bunga ini mempunyai batang lembut, daun sedikit lebar dan licin. Ranggup dan sedikit manis. Sesuai tumbuh pada jenis tanah peroi hitam yang lembab. Sawi jenis ini adalah variati sawi bunga yang pertama memasuki di negara kita sebelum kehadiran variati sawi bunga yang lain. Sawi ini tergolong dalam kategori hearloom di mana anda boleh menanam benihnya semula.
2. SAWI BUNGA MANIS
Sawi bunga manis merupakan satu lagi jenis sawi bunga yang mempunyai rasa ranggup, sedikit manis dan lembut. Sesuai dicampurkan dalam sup dan mee goreng. Antara jenis sawi kesukaan tanomkinotuan.
3. SAWI BUNGA GERGASI
Sawi bunga gergasi mempunyai ciri dan bentuk seperti sawi bunga kampung cumanya ia bersaiz besar dengan lebar daunnya sebesar tapak tangan orang dewasa dan mencecah 1 setengah hingga 2 kaki tinggi. Rasa ranggup dan rasanya sedikit tawar. Sesuai dimasak dengan mee goreng atau nasi goreng.
4. SAWI BUNGA KOMATSUNA RAFIDO 1
Sawi bunga komatsuna ini masih dalam kelompok sawi bunga. Ranggup dan sedikit manis. Cumanya batangnya sedikit keras walaupun dimasak dalam tempoh yang lama. Sawi bunga jenis ini jarang dilihat dijual di supermarket mahupun pasar siang. Tetapi sangat popular di Jepun dan Korea.
5. SAWI BUNGA JEPUN
Sawi bunga jepun merupakan jenis sawi bunga yang lazat dan sedap di antara jenis sawi bunga yang pernah tanomkinotuan rasa. Batangnya lembut dan sedikit manis di mana cepat hancur di dalam mulut. Warna hijau gelap/tua pada daunnya cukup memikat. Sesuai dimasak tumis atau hanya dicelur.
6. SAWI BUNGA ASIAN GREEN TAT TSOI
Sawi bunga tat tsoi ini mempunyai bentuk sudu pada daunnya. Ranggup, lembut dan sedikit manis pada rasanya. Pokok yang unik dan menarik ini telah mempengaruhi tanomkinotuan untuk menanamnya di KBR. Tapi agak sukar sebenarnya mengelompokkan sayur ini, ia juga boleh dikelompokkan dalam sawi putih jika melihat batangnya.
Inilah jenis-jenis sawi bunga yang pernah ditanam oleh tanomkinotuan di KBR. Kesemuanya mempunyai ciri yang sama. Apakah variati sayuran yang ditanam di halaman rumah anda?
Selamat bertani dan menuai hasil.
0 komentar:
Posting Komentar