Kali ini tanomkinotuan ingin berkongsi secara santai mengenai perancangan yang perlu diketahui atau aspek asas yang perlu diselidiki dalam perkebunan organik yang diusahakan secara kecil-kecilan di halaman rumah terutamanya mereka yang sudah mula berjinak-jinak dalam bidang perkebunan. Salah satu kesalahan para pekebun yang baru dalam perkebunan ialah menanam terlalu banyak sayuran dalam satu-satu masa sehingga membazir dibuatnya. Makanya konsep asas memulakan perkebunan harus ada pada setiap individu pekebun baharu sebagai jambatan atau tali panduan agar segala perancangan yang dilaksanakan mengikut arah yang betul.

Pertama sekali, beberapa konsep asas dalam bidang ini yang perlu anda terokai dan fahami dengan baik sebelum menjadi pekebun yang versatile di antara semua pekebun mini antaranya ialah:

1. Adakah kawasan atau halaman rumah anda disinari cahaya matahari secara penuh? tanaman seperti sawi bunga, sawi kerinting dan tomato menyukai cahaya matahari penuh sekurang-kurangnya melebihi 6 jam waktu hingga 8 jam waktu. Buat sedikit kajian tentang pencahayaan di halaman rumah anda di mana senaraikan tempat-tempat yang sesuai yang anda boleh fikirkan untuk mini yard anda serta kaji jumlah jam cahaya yang menyinari kawasan tersebut. Contohnya balkoni, hadapan rumah anda, belakang rumah anda, halaman rumah sebelah kiri dan kanan dan sebagainya. Maka pilih kawasan yang menerima cahaya matahari yang melebihi 6 jam sehari.  

2. Ketahui jenis tanah di halaman rumah anda sama ada tanah jenis loam/lom, pasir, gambut, atau tanah liat. rata-rata tanah boleh dikayakan dengan bahan kompos untuk memperbaiki nutrisi di dalamnya dan terdapat jenis tanah yang sememangnya perlu dibaikpulih secara menyeluruh untuk memperbaiki kualiti, struktur tanah, pengudaraan dan kelembapan serta jumlah mikroorganisma bagi tujuan penanaman. Juga ketahui PH tanah di halaman rumah anda dengan membeli kit penyukat nilai PH tanah di kedai berhampiran untuk menyukat PH tanah anda tersebut. Kedudukan Ph tanah sememangnya mempengaruhi pertumbuhan tanaman anda. Terdapat tiga cara pembacaan PH tanah iaitu tanah berasid (sesetengah tanaman boleh tumbuh pada jenis tanah ini), tanah beralkali (sesetengah tanaman boleh tumbuh pada jenis tanah ini) dan tanah neutral (amat sesuai untuk menanam majoriti jenis tanaman). Ukuran PH tanah berasid ialah 5.5 ke bawah, bagi tanah beralkali pula ialah 7.5 ke atas dan tanah neutral pula ialah 6.5 - 7.0 sahaja.

3. Hindari menanam berdekatan atau bersebelahan dengan pokok besar. Ini kerana pokok besar akan merebut zat-zat makanan pada baja yang anda tabur disekeliling batas atau sayuran anda menyebabkan sayur anda tidak membesar dengan baik. Menanam sayuran hampir dengan rumah banyak faedahnya di mana ia kurang diganggu oleh binatang liar dan mudah untuk menuainya. Turun sahaja ke halaman rumah dan tuai sayuran yang dikehendaki seperti cili padi, bendi dan sebagainya.

4. Tanaman anda sangat memerlukan jumlah air yang cukup. Batas atau pasu senantiasa lembab bagi memudahkan akar tanaman menyerap nutrient dengan baik. Oleh itu, aktiviti menyiram harus secara berkala. Biasanya menyiram dilakukan dua kali sehari ketika kemarau dan tidak perlu ketika musim hujan.

5. Anda memerlukan beberapa peralatan perkebunan, sekurang-kurangnya membantu anda memudahkan segala urusan. Tidaklah kita mengorek tanah menggunakan tangan sahaja atau kayu. Alatan seperti cangkul, supid, parang, penyiram, alat pencakar, sarung tangan, pongkas, sabit,  dan sebagainya diperlukan di kebun mini anda. Mungkin ia mengeluarkan sedikit wang untuk tujuan ini tetapi ianya dibeli sekali sahaja dan boleh digunakan sepanjang masa. Tanomkinotuan mempunyai alat tambahan selain di atas iaitu gagamas. Siapa kenal gagamas?

6. Belajar mengenai katalog biji benih yang dijual di kedai-kedai pertanian. Baca dan fahami cara dan panduan penanaman yang tertera pada pembungkusnya dan paling penting tarikh luput benih tersebut.

7. Buat kajian secara umum tentang keadaan cuaca dan iklim setempat. Umum mengetahui kita boleh menanam sayuran sepanjang tahun tetapi yang kita hendak ketahui ialah bencana alam yang pasti berlaku setiap tahun misalnya kemarau panjang, banjir/bah dan sebagainya bagi mengurangkan risiko kerugian tenaga anda. Bagi di tempat tanomkinotuan tempoh menyemai paling sesuai ialah pada akhir Desember hingga akhir bulan Januari dan bulan April. Kerana tempoh ini keadaan sedikit lembab. Bagi bulan Mei hingga Jun cuaca agak panas dan tanomkinotuan mengurangkan penanaman jenis sayuran berdaun tetapi menukar kepada sayuran buah seperti timun, petola dan kekacang. Bulan ini juga serangan penyakit sangat membimbangkan terutamanya sayuran berdaun. Pengetahuan sebegini dapat mengurangkan masalah yang dihadapi oleh anda di kemudian hari malah dapat menyelamatkan sayuran anda juga.

8. Sekiranya anda ingin membuat batas atau lebih tepat lagi raised-bed di halaman rumah anda, ukuran raised-bed yang ideal ialah 16X10 kaki tetapi ia juga melihat kepada keluasan halaman rumah anda. Bagi halaman rumah yang sempit anda boleh menanam sayuran dalam pasu dan pilih pasu atau kontena yang sesuai untuk penanaman yakni 18' inci ke atas.

9. Belajar menanam sayuran secara tanaman campuran atau companion plants. Ia bagus untuk penjagaan kualiti dan mengelak sesetengah serangan makhluk perosak. Anda dikehendaki mengetahui mana tanaman-tanaman yang berkawan baik (boleh hidup bersama dalam satu batas) dan mana tanaman yang bermusuh (tidak boleh ditanam bersama dalam satu batas).

10. Kepada pekebun yang baharu dan mahukan kebun sayuran organik harus tahu dan faham apa itu baja organik, NPK organik, kompos dan baja organik cecair serta baja kimia/uriea. Maklumat ini penting agar anda tidak tertipu ketika membeli baja nanti. Bertanya kepada yang arif mengenai baja organik untuk sayuran anda.

11. Para pekebun baru harus tahu benih yang perlu disemai terlebih dahulu dan benih yang langsung ditanam dalam batas. Jangan terlalu menanam terlalu dalam, misalnya benih kecil seperti benih sayuran hijau harus disemai dipermukaan tanah sahaja sudah memadai manakala biji benih seperti jagung, kekacang, bendi dan petola ditanam ke dalam tanah kira-kira 2 inci dalam. Bagi keratan batang seperti ubi kayu, ubi manis, cekur manis, dan pudina harus ditanam setengah dari pokoknya ke dalam tanah.

12. Jangan menyemai benih dalam jumlah yang banyak pada bekas semaian yang kecil. Ini hanya menyebabkan anak benih tersebut tumbuh dengan rapat dan berlaku persaingan mendapatkan makanan. Memadai menyemai benih sedikit jika bekas semaian anda dalam saiz yang kecil.

13. Pekebun baru juga harus tidak meletakkan sungkupan atau mulsa terlalu banyak dan tebal ke atas batas anda. Sungkupan seperti jerami, cocopeat, peat-moss, sekam padi dan daun kering terlalu tebal pada batas anda menyukarkan benih yang baru ditanam sukar untuk tumbuh kecuali pada batas yang pokoknya sudah membesar. Anda perlu menghindari menggunakan sungkupan jenis berbuah kerana benihnya akan tumbuh pada batas dan ini menyukarkan anda untuk membersihkannya.

14. Terdapat pekebun baru yang membiarkan sahaja rumput rumpai pada batas sehinggakan tanaman yang ditanam kurang tumbuhbesarannya. Elakkan membuang/membersihkan rumput rumpai pada saiz yang terlalu besar dan rimbun. Tempoh membuang rumput rumpai yang ideal ialah sewaktu rumput rumpai masih bersaiz kecil. Cabut rumput rumpai pada batas anda sehingga bersih dan jika boleh letakkan mulsa secukupnya.

15. Harus diingat kepada para pekebun baru di mana menanam benih dengan cara betul. Jangan menanam benih atau keratan batang secara terbalik. Contohnya umbisi bawang merah, keratan ubi kayu, dan keratan pokok mulberi. Pastikan anda tahu kedudukan umbisi atau keratan batang tanaman dengan betul apabila menanamnya.

16. Kadang-kadang keterujaan kita menyebabkan kita terlebih menyiram air menyebabkan tanaman kita layu lalu mati. Setengah tanaman tidak memerlukan lebihan air cukup sekadar ikut keperluan. Jenis bebawang jika terlebih siram akan membusuk. Pastikan anda menyiram secara konsisten tetapi berkala.

17. Terlebih membaja juga boleh menyebabkan tanaman mati. Oleh itu para pekebun kecil harus tahu mana tanaman yang memerlukan baja lebihan dan mana tanaman yang memerlukan baja sederhana atau kurang. Umumnya sayuran berdaun memerlukan kandungan nitrogen yang tinggi manakala kacang tanah, kacang buncis dan kacang panjang hanya memerlukan sedikit baja organik subur untuk pertumbuhan. Jika pokok kacang panjang terlebih baja ia hanya merimbun tanpa menghasilkan buah yang banyak.

Dengan ilmu pengetahuan di atas, diharap dapat membantu para pekebun-pekebun baharu yang baru berjinak-jinak dalam aktiviti perkebun secara mini atau dibuat di halaman rumah. Apa yang penting adalah semangat kuat menambah pengetahuan khususnya dalam bidang penanamandan berusaha lebih gigih untuk menjayakan misi berkebun. Jangan patah hati atau kalah semangat sekiranya benih yang pertama kali anda semai tidak bercambah. Mungkin ada sesuatu yang anda terlepas pandang. Ubah kaedah atau teknik menyemai sehingga anda berjaya mencambahkan benih sayuran anda tersebut. Ia satu kepuasan dan satu kemenangan yang tidak ada taranya. Anggaplah anda berkebun ini untuk kesihatan dan bawalah bersama-sama anak anda untuk tolong sekali apa yang patut. Di sini lahir satu kemesraan dan silaturamin sesama keluarga dapat ditautkan semula dengan syarat anda harus sabar memberikan penjelasan tentang kebaikan dan faedah berkebun secara mudah kepada anak-anak anda.

Selamat bertani dan menuai hasil.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top