Kali ini tanomkinotuan ingin berkongsi dengan anda mengenai satu tanaman yang sedang tumbuh dan berbuah di KG dengan baiknya. Biasanya kita boleh melihat pelbagai variati timun yang dijual di pasar atau supermarket dan juga boleh search/mencari di internet mengenainya. Walau bagaimanapun, kita jarang atau kurang tahu akan satu lagi variati dalam keluarga timun yang wujud di sesetengah tempat atau kawasan yang ada menanamnya atau sekurang-kurangnya sesuai tumbuh di persekitaran tersebut. Yang dimaksudkan oleh tanomkinotuan ialah batad thai atau nama lainnya ialah timun dosayaki atau Indian cucumber, Bahasa Melayunya ialah timun betik. Sebenarnya ia bukanlah seperti timun yang boleh dimakan begitu sahaja tetapi dalam ia dalam keluarga yang sama. Tanomkinotuan memanggilnya batad kerana ia mempunyai rasa, struktur, ciri-ciri yang sama dengan batad tempatan (Borneon dosayaki) dimana berbentuk bujur dan berjalur putih pemanjang manakala batad thai pula berbentuk bulat.
Lazimnya pada waktu dahulu ketika musim menugal (tempoh menanam padi bukit), antara sayuran dan sayuran buah yang ditanam bersama-sama padi bukit ialah timun kampung, timun cina, jagung, batad tempatan, dan kacang panjang di mana kesemua di atas di tanam secara rawak bersama padi bukit kecuali kacang panjang dan buncis ditanam di tepi-tepi kebun. Teringat tanomkinotuan semasa zaman kanak-kanak jika ke kebun pertama kerja yang harus dilakukan ialah mencari buah batad tempatan dan timun di celah-celah pokok padi yang rimbun dan sedang berbuah. Waktu pagi embun masih melekat pada daun-daun padi hingga basah kuyup dibuatnya. Namun ia tidak mematahkan semangat untuk masuk lebih dalam lagi ke kawasan tengah-tengah kebun pokok padi bukit ini kerana habuannya memang berbaloi, buah batad yang masak dan timun dengan hanya makan begitu sahaja dicecah dengan garam bercampur cili padi. Fuh! kenangan yang tidak dapat dilupakan.
Dijadikan cerita semasa adik tanomkinotuan berjalan-jalan di pasar malam tempoh hari, dia terlihat buah batad thai ini dan membelinya dari seorang wanita tua dengan harga RM2 sebiji. Dirumah tanomkinotuan projek buah tersebut dengan pembelah dan membuka kulitnya untuk dimakan sebelum memakan makanan berat. Amalan memakan buah sebelum makan berat amat-amat digalakkan kerana bukan sahaja mengikut sunnah nabi kita tetapi banyak manfaat kepada kesihatan. Jangan sesekali mengamalkan memakan buah selepas makan. Tindakan memakan buah selepas makan adalah tindakan yang salah. Maka tanomkinotuan mengumpulkan biji-bijinya ini untuk ditanam. Pertama, tanomkinotuan cuci biji-biji batad thai tersebut hingga bersih dan menjemurnya di bawah sinaran matahari selama 2 hari. Selepas itu tanomkinotuan biarkan ia di kawasan selamat untuk beberapa minggu agar biji benih batad thai benar-benar kering selama 2 minggu.
Minggu ketiga tanomkinotuan telah membawa biji benih batad thai ini ke kebun getah (KG) untuk ditanam. Tanomkinotuan tidak melakukan rutin mengembur dan membaja seperti biasa di mana tanomkinotuan hanya korek tanah dan masukkan 3 biji setiap lubang dan timbus kembali. Tanomkinotuan juga tidak menyiramnya selepas tanam, hanya berserah kepada air hujan. Selepas 2 minggu dari ditanam tanomkinotuan mendapati biji tersebut sudah bercambah dengan jayanya di mana pertumbuhannya sangat galak. Dengan itu, barulah tanomkinotuan menaburkan baja organik di sekelilingnya dan gembur-gemburkan tanah disekitar pokok batad thai dengan berhati-hati. Takut akarnya cedera yang boleh menyebabkan pokok mati. sekembalinya tanomkinotuan ke KG selepas 2 minggu kemudian, pokok batad thai sudah mula menjalar dengan daun dan pokok yang sihat dan pertumbuhan yang memberansangkan. Terfikir tanomkinotuan bahawa tidak lama lagi boleh merasa buah batad thai tanam sendiri.
Selepas sebulan pokok batad thai kini sudah mengeluarkan 4 biji buah yang masih muda, berbentuk bulat dan berwarna hijau sedikit gelap. Pokoknya pun sudah menjalar jauh. Bila tanomkinotuan fikir semula. Batad thai ini sama sahaja dengan batad tempatan sabah yakni daun dan bunganya tidak mempunyai perbezaan ketara. Tetapi bila berbuah baru kita tahu bahawa itu batad thai, ini batad tempatan kerana bentuk buah antara keduanya adalah sangat berbeza.
Dari segi pemerhatian tanomkinotuan, pokok batad thai mudah tumbuh pada kelembapan sederhana dan sesuai ditanam pada media yang gembur sedikit berpasir. Ia juga sesuai dengan suhu yang panas seperti cuaca di negara kita, pokok batad thai suka akan sinaran matahari penuh dan tahan tanpa air selama seminggu (tetapi tidak sesuai jika masih dalam peringkat percambahan). Oleh kerana tanomkinotuan jarang ke KG pada masa ini disebabkan tugas-tugas yang perlu dibuat di tempat lain, maka pokok batad thai telah ditumbuhi rumput dengan banyak tetapi pokok ini masih tumbuh dengan galak. Maksudnya ia mampu hidup bersama rumput rumpai lain. Dengan rumput tersebut dapat melindungi buahnya dari serangan makhluk perosak buah. Buktinya buah yang terhasil dari luar kawasan yang ditumbuhi rumput telah diserang oleh serangga berbanding buah yang tersembunyi di bawah rimbunan pokok rumput di sekitarnya.
Dengan hati-hati tanomkinotuan mencabut satu persatu rumput rumpai yang terlalu besar dan rimbun untuk mengurangkan persaingan mendapatkan makanan disekitarnya. Sudah dimaklumi bahawa walaupun batad thai ini boleh hidup bersama dengan rumput tetapi lebih elok jika ia bebas dari rumpai kerana segala makanan disekitarnya hanya dimonopoli oleh pokok batad thai sahaja. Sewaktu entry ini ditulis batad thai belum boleh dimakan lagi In Sha Allah akan tanomkinotuan update perkembangan batad thai ini dari semasa ke semasa.
Selamat bertani dan menuai hasil.
0 komentar:
Posting Komentar