Selain buncis bulat yang ditanam, tanomkinotuan juga menanam buncis ungu (Royal Burgundy Bean) di KBR. Benihnya di ambil pada tanaman musim lalu yang dikeringkan dan ditanam semula pada batas tahun ini. Maksudnya tanomkinotuan telah menanam buncis ungu sudah 3 kali penanaman. Penanaman musim ketiga adalah hasil benih dari benih tanaman kedua manakala tanaman kedua diambil dari tanaman musim pertama yang dibeli dari luar (online). Tanomkinotuan sudah tidak membeli benih buncis ungu hanya matangkan buah buncis hingga kering, kutip dan simpan untuk next crop.
Buncis ungu ditanam pada 22 Mac 2015 yang lalu. Tanomkinotuan gembur batas tersebut hingga peroi. Tabur kompos buatan sendiri dan gaul sebati. Pokok timun yang tumbuh di atas batas adalah tumbuh sendiri. Mungkin benih dari buangan sisa makanan dari dapur yang dikomposkan. Pokok timun banyak bercambah tetapi tanomkinotuan cabut untuk memberi laluan kepada buncis ungu.
Masa ini tanomkinotuan tidak lupa menyiramnya dengan kompos teh, baja cecair ikan selain dengan baja NPK organik. Pokok buncis ungu cukup sihat, kuat dan cantik.
Masa ini tanomkinotuan tidak lupa menyiramnya dengan kompos teh, baja cecair ikan selain dengan baja NPK organik. Pokok buncis ungu cukup sihat, kuat dan cantik.
Pokok buncis ungu kini sudah mula memanjat. Hampir menutupi junjung aka kayu penyokong. Tanomkinotuan bersusah paya mencari kayu junjung di hutan semak di belakang rumah. Segala nyamuk melawat untuk mendapatkan sedikit habuan darah. Nasib tak ada masalah besar berlaku.
Masa ini pokok buncis ungu sudah mengeluarkan kudup bunga tetapi belum berkembang. Junjung yang digunakan juga sudah dilitupi sepenuhnya dan menjalar pula menjulang ke langit.
Pokok buncis ungu sudah merimbun dengan daunnya yang hijau pekat bersama pokok timun kampung. Masing-masing tidak mahu mengalah. Nampaknya pokok buncis dan pokok timun boleh ditanam bersama. Kedua-duanya tumbuh tanpa sebarang masalah. Pada masa ini, pokok buncis ungu sudah pun berbuah tetapi masih kecil lagi. Selepas didebunga oleh serangga pendebunga seperti kelulut, lebah, penyegat hitam (bahasa Kadazandusun: boging) dan serangga yang lain, bunga layu dan gugur menampakkan anak buah pokok buncis yang berwarna hijau muda, dengan perlahan-lahan bertukar kepada warna ungu apabila ia membesar.
Contoh buahnya yang banyak bergayutan pada batang tersebut. Pada masa ini tanomkinotuan hanya bubuh sedikit baja NPK organik dan disiram sekali sekala dengan baja cecair ikan dan baja cecair serum EM1 (EM1 inoculant microbial). Kini ditambah lagi satu jenis baja cecair buatan sendiri. Baja cecair ikan bukan sahaja memperbaiki kualiti tanah dengan mengayakan kandungan mikrob dalam tanah tetapi juga berfungsi untuk menambah jumlah buah pada pokok buncis. Ini dapat dilihat pada timun kampung yang kini banyak mengeluarkan bunga betina.
Tuaian pertama pokok buncis ungu pada tanaman buncis ungu musim ketiga. Tidaklah secantik buah seperti mana di tempat asal tetapi bagi tanomkinotuan ia memadai untuk bekalan sayuran dapur lagi pula ianya segar dari ladang dan ditanam secara organik tanpa selingan dari pembajaan baja kimia dan semburan racun serangga. Tidak seperti buncis bulat dan buncis manis, buncis ungu sesuai sekali ditanam di kawasan bercuaca sejuk dan di kawasan tanah tinggi. Suhu yang sejuk menjadikan buahnya panjang dan warna ungunya cukup memikat. Tempoh hari tanomkinotuan mengirimkan benih buncis ungu kepada sepupu tanomkinotuan yang bertugas di Daerah Ranau, mahu ditanam di kampung suaminya. Makluman kepada pembaca Ranau mempunyai suhu sejuk yang sesuai untuk buncis ungu. Mudah-mudahan sepupu tanomkinotuan berjaya dan mengirimkan gambar pokok buncis ungunya nanti.
Secara kasarnya tanomkinotuan sudah pun mengumpul 6 variati benih buncis dan masih dan sedang mengumpulkan kesemua variati buncis-buncis yang wujud di dunia. maksudnya di sini hanya buncis jenis hearloom sahaja yang boleh dikumpul kerana benih ini boleh ditanam semula dari benih induknya yang dimatangkan/dikeringkan iaitu 1 variati buncis non-memanjat (bush) dan 5 variati buncis memanjat termasuklah variati buncis ungu (pole). Tuaian ini tanomkinotuan masak tumis bersama telur kuning itik masin yang dilecek ala masakan Cina. Memang sedap...Buncis ungu bila dimasak akan bertukar menjadi warna hijau gelap semula.
Selamat bertani dan menuai hasil.
0 komentar:
Posting Komentar