Pokok epal atau nama saintifiknya ialah Malus domestica adalah tumbuhan saka berbuah dalam kumpulan Rosaceae yang tumbuh di negara-negara yang mempunyai empat musim seperti di negara-negara Eropah, China, Jepun dan Timur Jauh. Negara kita lazimnya mengimport bertan-tan buah epal ini untuk pasaran ke seluruh negara. Pernahkah kita terniat dalam hati untuk menanam benih epal yang kita beli di pasaraya? terdapat pelbagai variati buah epal yang dijual antaranya epal royal, epal merah, epal hijau dan sebagainya. Tidak salah tanomkinotuan di Malaysia hanya ada dua ladang menanam epal secara komersil seperti di Kedah dan di Ba'kelalan, Lawas Sarawak di samping individu menanamnya secara persendirian kerana minat terhadap pokok epal yang ditanam di laman rumah. Banyak blog berkisar tentang menyemai benih epal, anda boleh baca sendiri.

Tanomkinotuan ada membeli epal di pasaraya berhampiran yang lepas dari variati epal royal. Seperti pembaca juga, tanomkinotuan meminati memakan buah epal yang ranggup dan masam-masam manis begitu. Tidak perlu diproses menjadi salad atau apa-apa resepi yang sering dibuat oleh orang lain, cuci buah epal bersih-bersih, gigit dan kunyah hingga selesai. Lagi nikmat dirasa.

Dengan semangat membeli dan melantak buah epal bersama adik tanomkinotuan, tanomkinotuan mencuba untuk menyemai 4 biji benih epal yang terdapat pada buah yang baharu sahaja selesai di makan. Hanya mencuba saja kalau-kalau ia boleh bercambah. Tanomkinotuan sediakan habuk kayu (jika tidak ada anda boleh mengantikan peat-moss, cocopeat atau kompos terproses) yang dimasukkan ke dalam cup palstik bersaiz kecil bertutup, Tanomkinotuan sembur habuk kayu tersebut dengan serum EM1 buatan sendiri agar ia sedikit lembab dan tidak terlalu basah. Langsung saja 4 benih epal tersebut dibenamkan ke dalam cup plastik tersebut dan simpan di dalam peti sejuk. 

Maaflah sebab gambar proses awal penyemaian benih epal ini tidak ada sebab tanomkinotuan tidak terfikirpun hendak mengambil gambar sebenarnya. 




Kira-kira 2 minggu kemudian, tanomkinotuan menjenguk semula pada cup plastik tersebut dan melihat kondisi benih epal royal di dalam peti sejuk sama ada bercambah atau tidak. Alangkah terperanjat di mana 2 benih dari 4 benih epal tersebut sudah mengeluarkan akar aka bercambah. Gambar di atas menunjukkan benih epal royal bercambah dengan akar berwarna putih sudah pun keluar beberapa inci dari benihnya, teruja tanomkinotuan. Dengan keadaan benih epal royal tersebut, tanomkinotuan menyediakan media untuk menyemainya secara normal. 





Tanomkinotuan menggunakan cup plastik saiz sederhana besar (cup plastik minuman) dengan menggunakan tanah di laman rumah yang digaul bersama kompos buatan sendiri. Selepas itu tanomkinotuan membuat lubang kira-kira setengah inci lebih kurang dapat membenamkan benih epal yang bercambah itu ke dalam tanah. Pada gambar di atas pula, tanomkinotuan sengaja meletakkan benih epal tersebut di atas permukaan media untuk tatapan para pembaca di luar sana. Jika tanomkinotuan mengambil gambar di mana benih epalnya sudah dibenamkan ke dalam, agak kurang feeling la katakan.

Selepas di benamkan ke dalam tanah, tanomkinotuan siram menggunakan air secukupnya dan cup plastik tersebut diletakkan di tempat selamat dengan area tersebut masih terkena bahang matahari bagi mempercepatkan proses percambahan dan pertumbuhan. 





Lebih kurang seminggu setengah, benih epal royal sudah tumbuh dengan baik dan mula mengeluarkan daun yang sebenar. Pada gambar di atas pula satu anak pokok sudah kelihatan membesar manakala sebiji lagi kulit biji tersebut belum tertanggal sepenuhnya. Cuma perhatikan dengan teliti di manakah kedudukan anak benih epal yang satu lagi dan masih bertungkus lumus untuk tumbuh dengan baik?

Percubaan tanomkinotuan menyemai benih epal adalah tidak dirancang sebenarnya. Ia hanya terdetik dalam hati tanomkinotuan. Selalunya tanomkinotuan akan rancang terlebih dahulu entry-entry yang ingin dimasukkan ke dalam blog agar info dan maklumat jelas dan nampak tulin. Walau bagaimana pun, tanomkinotuan tidak menaruh harapan yang tinggi pada anak pokok epal ini, jika ia berjaya tumbuh menjadi pokok besar pada suatu hari nanti dan mengeluarkan buahnya, tanomkinotuan bersyukur apa yang diberikan kepada tanomkinotuan dan sebaliknya pula tanomkinotuan pasrah tentang keadaan.

Jika anda ingin menyemai benih epal, ikuti kaedah yang dijelaskan di atas dan pilih buah epal yang dijual di pasaraya di mana buah yang masih segar dan tidak disuntik dengan ubat pencegah benih bercambah. Untuk makluman, biasanya buah epal import ini akan disuntik dengan sejenis bahan kimia untuk benih epal tidak bercambah bagi kepentingan ladang syarikat berkenaan dalam jangka masa panjang. Anda mesti faham apa yang saya maksudkan dan kadang-kadang juga buah epal ini juga akan disuntik bahan kimia untuk ketahanan buah tersebut bila sampai ke pasaran di negara kita. Maka dengan itu untuk hasil yang memuaskan pilih buah epal yang dirasakan tidak ada suntikan apa-apa hormon atau bahan kimia padanya.

Apa kata ubah angin anda untuk mencuba mencambahkan benih epal yang baru selesai di makan. Tidak luak sebenarnya. Jika berjaya maka rezeki anda dan jika sebaliknya jangan gusar dan bersedih. Beli saja buah epal di pasaraya untuk menikmati rasa epal yang ranggup dan enak.

Selamat bertani dan menuai hasil.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top