Hujung minggu tanomkinotuan berada di rumah, bersantai sambil menonton TV. Pagi sabtu yang cerah tanomkinotuan ke KBR melihat kalau-kalau ada yang boleh dituai. Masa ini KBR tidak ditanam dengan sayur daun, tanomkinotuan rehatkan dulu menanam sayuran berdaun kerana serangan bertalu-talu dari kumbang pemakan daun yang datang ke kebun tersebut. Hanya ditanam sayuran buah seperti buncis, kacang panjang, zucchini dan sebagainya.

Tanomkinotuan tuai buah pokok buncis yang sudah boleh dipetik. Tanaman pojok buncis bulan lalu hanya 3 pokok yang berhasil membesar. Buncis bulat adalah jenis pokok buncis cepat membesar dan mempunyai buah yang banyak. Tidak kiralah hanya 3 pokok ia sudah cukup untuk dapur tanomkinotuan.

Pertama kali dituai setelah pokok asparagus berusia 9 bulan setengah. Dapatlah beberapa tunas muda yang tumbuh dicelah-celah pokok tua berhampiran. Ia memang masih bersaiz kecil tetapi sudah alang-alang untuk menuai maka dituainya tunas asparagus bersaiz lidi. Lagipun tidak keluar ongkos pun untuk dapatkan tunas muda asparagus, tidak kiralah saiz kecil kah saiz besar kah. Kata-kata sebegini sebenarnya sifat tidak sabar menuai hasil asparagus. Haha.

Pokok tomato mini juga ada yang sudah bertukar menjadi warna merah. Tanomkinotuan terpaksa mencari dari lindungan pandangan pokok tutan dan timun. Bolehlah dicampur dalam sup ayam malam ni. Pokok tomato mini tersebut bukan ditanam tetapi tumbuh sendiri di atas batas dan tanomkinotuan biarkan sahaja tanpa mencabutnya.

Musim hujan masa ini membolehkan tunas-tunas baharu pokok tutan begitu subur dan gemuk-gemuk belaka. Teruja dengan bunyi yang dihasilkan sewaktu memetik batang tutan yang berbunyi 'pit' 'pit' menandakan batangnya cukup gemuk. Tanomkinotuan juga tuai pucuk muda mulberi yang bertunas semula selepas dihapuskan. Tempoh hari tanomkinotuan membuka semua pokok mulberi dalam satu batas untuk memberi ruang kepada sayuran lain untuk ditanam. Namun tunas yang muncul begitu subur hingga tanomkinotuan petik pucuknya hingga habis. Pucuk mulberri mengeluarkan getah berwarna putih cair.

Hingga kini pokok zucchini crockneck kuning masih membekalkan buahnya yang banyak tetapi sayang serangga sudah banyak merosakkan buahnya terutama kumbang pengorek buah. Habis hitam buah-buah diserang menyebabkan tanomkinotuan terpaksa menuai buah yang masih kecil. Lagi pula zucchini tidak ada masalah dituai terlalu mudah malah lebih enak dan ranggup dibuat salad. Zucchini bulat atau scallop squash kuning juga dituai hanya sebiji pagi tadi termasuklah sebiji zucchini hijau saiz kecil. Boleh dicampurkan zucchini crockneck kuning apabila dimasak nanti. 

Masa yang dinanti-nantikan oleh tanomkinotuan, tuaian bunga kobis yang cantik dan besar. Tiga bulan lebih menunggu untuk hasil bunganya kini gembira tanomkinotuan memotong dipangkalnya. Ia selamat di masak dan dimakan waktu makan tengahari tadi. Untuk pengetahuan pembaca pokok bunga kobis tersebut ditanam menggunakan tunas yang tumbuh pada batang induknya tempoh hari. Tanomkinotuan ambil dan tanam dalam polibag. Tak sangka ia boleh membesar dan berbunga. Tidak ada serangan dari pihak serangga yang serius setakan daunnya diratah oleh belalang sahaja.

Pokok rossale juga sudah berbuah. Tanomkinotuan tuai untuk membuat sirap rossale kaya vitamin C. Boleh disimpan dalam peti sejuk dan minum apabila ingin merasanya. Pokok buncis manis juga buahnya sudah ada yang matang. Tanomkinotuan ambil dan keringkan untuk benih menanam musim mendatang. 

Tanomkinotuan ingin membuat sambal tuhau malam nanti jadi kenalah tuai buah cili yang masak ranum atas pokok. Pokok cili masih mengeluarkan bekalan dapur hingga kini. Panjang sangat umurnya. Salah satu pokok yang wajib di setiap rumah jika anda menyukai makanan pedas. Sediakan bekas tidak kira apa jenis, masukkan tanah/media dan semai benih cili yang anda beli kat kedai. Bila pokok cili anda bercambah dan tumbuh dengan galak, anda tidak perlu membeli cili padi lagi di pasar. Petik sahaja cili padi yang ditanam di laman rumah. Jimat sikit.

Akhir sekali tuaian benih matang strawberry corn atau jagung popcorn. Tanomkinotuan beli benih menerusi online tempoh hari hanya sepokok je hidup. Jadi tanomkinotuan biar sampai berbuah dan kini dah matang pun. Cantik buahnya dan bertongkol besar kira ketot gemuk dilihat. Tanomkinotuan keringkan sehari dua dan simpan dalam botol bertutup. Akan datang ditanam untuk dijadikan homemade popcorn



Petang tadi tanomkinotuan sempat membuat kompos dari sisa dapur. Sisa dapur yang dikumpulkan selama sebulan. Kompos terdahulu masih cukup untuk baja organik di KBR dan kini pengomposan seterusnya tetap dilakukan agar bekalan kompos buatan sendiri akan tetap berterusan. Dapatlah tanomkinotuan berjimat untuk membeli baja organik di pasaran.

Inilah tuaian tanomkinotuan hari ini. Hanya sayuran buah dan sayur tutan. Tanomkinotuan baru saja membuat batas dan menyemai benih sayur daun untuk ditanam 2 minggu kemudian. Apakah tuaian sayuran anda pada hari ini?

Selamat bertani dan menuai hasil.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top