Hari ini tanomkinotuan ingin berkongsi kepada pembaca semua mengenai sayuran buah zucchini yang ditanam di KBR. Pokok zucchini sangat cepat menghasilkan buah, mengikut kiraan tanomkinotuan selepas benih zucchini bercambah dalam tempoh 7 hari. Pokok zucchini sudah boleh dituai selepas 4 minggu lebih. Walaupun benih zucchini disemai masa musim panas ia mampu bertahan sehingga hari ini. Lihat detik-detik pembesaran pokok zucchini di KBR berdasarkan gambar di bawah:
Selepas 7 hari benih zucchini bercambah di musim panas, sudahlah jenis tanah adalah jenis tanah liat. Namun bersusah payah bercambah sehingga ke permukaan.
Anak pokok zucchini berusia 1 minggu di mana bagi mengekalkan tanah dalam keadaan lembab, tanomkinotuan meletakkan mulsa/sungkupan menggunakan rumput rumpai kering. Rumput rumpai ini dicabut di KBR dan di longgokkan di tepi pagar sehingga kering. Ia juga akan menjadi baja organik kepada pokok zucchini setelah mereput.
Ini pula gambar pokok zucchini berusia hampir 2 minggu di mana ia pun sudah membesar. Tanomkinotuan telah menambah tanah hitam di sekeliling pokok zucchini tersebut dan membubuh semula rumput kering di sekelilingnya. Maksudnya, ini adalah rumput kering kedua diletakkan di atasnya.
Selepas 3 minggu pula, ia sudah mengeluarkan bunga jantan dan bunga betina yang pertama, bunganya lebar berwarna kuning dengan buahnya juga kuning terang. Pokok pada masa ini sangat besar dengan daun-daun yang sungguh menawan.
Selepas 4 minggu (1 bulan lebih), buah zucchini kini cukup besar untuk dituai. Masa ini buah zucchini mula mengerutu pada kulitnya. Tanomkinotuan kurang tahu atau lupa akan nama jenis pokok zucchini tersebut. Pokok lebih besar dari 3 minggu yang lepas.
Hasil tuaian buahnya, tanomkinotuan tuai 4 biji dan masih ada 3 biji buah lagi yang sedang membesar, minggu depan masih ada bekalan jika tidak mengalami masalah. Pertama menanam dan pertama kali memakannya. Tanomkinotuan masak tumis dengan sedikit isi ikan, sedap juga. Lagi lembut dan rasa sederhana. Pada masa akan datang tanomkinotuan akan mencubab menanam variati yang lain pula.
Selamat bertani dan menuai hasil.
0 komentar:
Posting Komentar