Masih ingatkah entry mengenai tanaman sayuran sedang membesar di KBR yang diposkan pada musim lalu? Kini sayuran di KBR sudah galak pertumbuhannya. Terdapat sayuran yang sudah dituai seperti lobak merah. Sayuran berdaun yang sudah boleh dituai adalah seperti sawi kerinting, sawi komatsuna rafido F1, sawi bunga komatsuna nanane, sawi pahit hiroshimana (masuk dalam group sawi pahit jika melihat daun dan batangnya) serta sawi bunga jepun. dan ada pokok yang sudah berbunga dan menghasilkan buah namun masih dalam proses membesar seperti edamame (kacang soya hijau). Terdapat juga pokok yang masih galak membesar tanpa ada penghasilan bunga dan buah seperti kacang panjang galaxy, kacang panjang hitam dan pokok jagung. Dengan cuaca yang diselang-selikan panas dan hujan sepanjang bulan ini membolehkan sayuran di KBR tumbuh dengan baik. Klik di SINI untuk mendapatkan gambaran awal mengenai sayuran tersebut. Jom lihat gambar-gambar sayuran dan tanaman berwajah baru.

1. Kacang Buncis Ungu



Inilah kacang buncis ungu tanomkinotuan, selepas 3 minggu ianya sudah menjalar menutupi kayu penyokong yang dipancang di situ. Tidak lama lagi pokok buncis ungu akan mengeluarkan bunga dan buah cuma ada lama sedikit berbanding variati buncis yang lain. Nasib masa ini pokok tidak banyak serangan penyakit seperti pangkal batang daun yang memburuk. Pokok buncis ungu tanomkinotuan yang lepas-lepas habis mati teruk disebabkan serangan pangkal daunnya seolah-olah membengkak gitu. Jika dipatahkan dan lihat di dalamnya elok ja telur-telur tersebut tersusun rapi. 

Jika pokok buncis anda mengalami gangguan seperti itu, Petik daun-daun tersebut bersama tangkainya untuk mengelak telur-telur tersebut menetas dan masuk lebih dalam lagi khususnya batang buncis. Apabila telur tersebut bertukar menjadi ulat dan memakan tisu batang buncis anda lama-kelamaan pokok buncis anda mengalami symptom layu lalu mati. Subur daunnya hasil siraman kompos teh dan baja cecair ikan buatan sendiri.

Dicelah-celah pokok buncis ini terselit pokok tomato juga nampak subur. Maknanya tomato boleh tumbuh bersama pokok buncis. 

2. Sawi Bunga Jepun




Ini pula ialah sawi jepun yang hanya ditaburkan langsung pada batas. Tanomkinotuan gemburkan batas yang asalnya ditanam pokok tomato, tambah kompos sikit dan tabur benih sawi bunga tersebut. Pertumbuhannya agak cepat dan agak subur sekali. Tanomkinotuan hanya bubuh baja organik dua kali sahaja. Lagi pun batas tersebut masih banyak kandungan baja tempoh hari. Dalam masa semingu dua ini sawi bunga jepun sudah boleh dituai.  

3. Bendi Merah


Pokok bendi merah semakan besar berbanding gambar sebelum ini sehingga sawi kerinting dan bayam putih bulat yang ditanam ditepi batas terlindung sepenuhnya. Walau bagaimanapun, sawi kerinting tersebut sudah boleh dituai untuk bekalan dapur. Sudahlah begitu batas ini juga tanomkinotuan tabur benih bayam hijau bulat dan kelihatan bayam hijau bulat juga sudah kelihatan meninggi di celah-celah pokok bendi merah. Batas ini penuh dengan sayuran sebab batas yang terhad, boleh juga berfungsi sebagai mengekalkan kelembapan tanah untuk bendi merah tumbuh dengan baik.


4. Pokok Zucchini

Pandangan sisi jarak jauh

Ini dia gambar-gambar pokok zucchini tanomkinotuan, terdapat dua pokok yang bercambah dan tumbur membesar tetapi pokok zucchini yang satu lagi macam segan-segan pula nak tunjukkan diri sehingga ditutupi oleh pokok zucchini yang sudah 3 kali ganda lebih besar. Entah mampu menghasilkan buah atau tidak. Tanomkinotuan ambil gambar banyak-banyak untuk tatapan para pembaca. Tanomkinotuan pun asyik belek-belek pokoknya, buahnya serta bunganya yang berwarna oren mengamit sang lebah untuk menghampirinya. Pertama kali berjaya menanam zucchini, hari tu mati sebab daunnya habis dibalun oleh serangga. Mudah-mudahan buahnya menjadilah untuk tuanya merasa.

Oleh kerana tanah yang ditanam pokok zucchini ini ialah tanah liat, maka tanomkinotuan bubuh rumput kering di atasnya supaya kekal kelembapan tanah tersebut dan tidak kering. Selepas 2 minggu tanomkinotuan tambah lagi tanah kebun setinggi 5 inci di sekitar batas pokok zucchini dan menutupinya dengan mulsa rumput kering yang diambil di tepi pagar. Rumput tersebut adalah rumput yang tumbuh melata di KBR bulan-bulan lepas. Tanomkinotuan cabut dan longgokkan di satu tempat biarkan ia kering dengan sendiri dan boleh digunakan untuk sungkupan atau mulsa pada tanaman. Jimat sikit untuk membeli habuk kayu atau cocopeat di kedai. Tidak ingat nama pokok zucchini ni nanti tanomkinotuan periksa balik pembungkusnya. 


5. Sayuran sawi bunga dan sawi kerinting


Pandangan atas

Pandangan sisi

Dalam satu batas tanomkinotuan tanam pelbagai sayuran berdaun. Sebenarnya kesemua jenis sayuran berdaun ini tanomkinotuan tabur saja pada batas-batas berbeza tetapi oleh kerana hanya beberapa pokok sahaja yang bercambah dan tumbuh maka tanomkinotuan cabut semuanya dan tanam dalam satu batas, tidaklah membazir tempat menanam. Hasilnya sawi kerinting, sawi bunga komatsuna rafido F1, sawi bunga komatsuna nanane dan sawi pahit hiroshimana boleh saja hidup bersama malah elok ja tumbuh membesar. Sayuran ini sudah boleh dituai sebenarnya tetapi tunggu lah dulu sebab bekalan sayur di dapur masih ada. 

Gambar di atas menunjukkan perbezaan warna ketara bagi sayuran tersebut. Depan sekali adalah sawi komatsuna nanane, Ni benihnya di tempah khas dari Puan Diana "kebunbahagiabersama". Daunnya warna hijau gelap dan bentuk dan struktur daunnya mempunyai persamaan dengan sawi bunga kampung. Daun mengeriting berwarna seakan-akan hijau cerah adalah sawi kerinting dan sayur berdaun lebar tu pula adalah sawi pahit variati hiroshimana. Ni kalau biarkan lebih lama tumbuh, pokoknya lagi besar manakala dihujung gambar pula ialah sawi bunga komatsuna rafido f1. Ni batangnya agak keras sedikit berbanding dengan sawi bunga yang lain.


6. Pokok jagung pulut, buncis bulat dan kacang panjang




Kira 3 dalam 1 lah jawapnya, sekali mengambil gambar langsung 3 jenis tanaman yang diambil malah termasuk jugalah tumbuhan yang sedia ada. Pertama, sebelah kiri tu adalah pokok buncis bulat hanya dua pokok je (ikut kayu penyokongnya). Dah memanjat melebihi junjung kayu sebenarnya tapi tanda-tanda bunga tanomkinotuan belum nampak lagi. 

Pokok jagung pulut sudah separas dada tanomkinotuan, cepat betul membesar sedangkan tanah tersebut adalah tanah liat. Nasib baik hujan pada bulan ini agak kerap. Bolehlah lembut sedikit tanah tersebut berbanding sebelum-sebelum ini keras seperti batu. Dapatlah akar pokok jagung bergerak menyerap makanan dalam tanah. Pokok jagung pulut agak tinggi dan lewat menghasilkan buah/tongkol berbanding jagung manis yang pendek dan cepat berbuah.

Ketiga pula adalah kacang panjang galaxy, memanjat pada junjung kayu yang disediakan. Terdapat juga beberapa pokok kacang panjang yang tak sempat diletak kayu penyokong malah kini pokok jagung dijadikan sandaran untuk menjulang naik. Namun pokok jagung dan kacang panjang sebenarnya boleh ditanam bersama. Pokok jagung menyediakan junjung semulajadi manakala akar kacang panjang membebaskan nitrogen ke tanah untuk kegunaan pokok jagung. Mereka saling bantu membantulah kiranya.


7. Pokok buncis bulat




Ini pula adalah pokok buncis bulat, lazimnya mudah diperolehi di supermarket kerana pokok buncis jenis ini sangat produktif dalam pengeluaran jumlah buah yang banyak. Sebab itu disukai oleh para peladang dan pekebun. Setakat ini belum ada masalah dan yang membanggakan tanomkinotuan bunga-bunga sudah pun keluar dan sebahagian pokok yang lain sudah mengeluarkan buah yang masih kecil. 

8. Edamame (Kacang Soya Hijau)



Edamame atau juga dikenali sebagai kacang soya hijau, jika anda pernah makan di restoran-restoran Jepun di seluruh negara, edamame rebus ini boleh anda nikmati. Buah edamame tanomkinotuan masih dalam tempoh membesar, lihat podnya masih belum berisi atau isinya masih kecil. Seminggu dua lagi bolehlah ia dituai. Melalui pembacaan di blog-blog mengenai edamame, apabila isinya cukup besar bolehlah dipetik dan hanya rebus dengan menambah perasa sedikit garam. Mereka kata sedap lemak-lemak gitu. tanomkinotuan belum pernah lagi kena tunggu tuaian hasil pertama ini dan tanomkinotuan akan pos kat sini untuk dikongsi kepada pembaca semua.

Pokok edamame tanomkinotuan cinonet ja, tidak seperti pokok-pokok edamame yang ditanam oleh orang lain. Tetapi kira oklah sebab walaupun pokok bersaiz kecil tetapi masih menghasilkan buah yang banyak. Alhamdullilah.


Lobak merah sudah tanomkinotuan tuai tempoh hari, pokok mulberi kini sudah menghasilkan buah yang banyak dan timun cina sudahpun memanjat dengan elok. Bermula hari ini KBR sekali lagi menghasilkan bekalan sayuran kepada tanomkinotuan sekeluarga. Tengok hasilnya seperti tidak termakan jawabnya. Terlalu banyak apatah lagi jika pokok kacang panjang dan pokok buncis akan mula berbuah lagilah bekalan sayuran berlambak. Namun tanomkinotuan rasa, kacang panjang dan buncis boleh sampai dekat ramadan. Tidaklah penat dan letih nak berjalan membeli sayuran segar. KBR ada segala-galanya. 

Jadi kepada pembaca sekalian, marilah berkebun di halaman rumah. Tanam tumbuhan yang mudah tumbuh dan dijaga terlebih dahulu seperti pokok cili, pudina, daun bawang, pokok kunyit dan halia tidak kiralah dalam pasu atau atas tanah. Jika ada kejayaan, besarkan kebun anda dengan menanam jenis sayuran pula. Apa tunggu lagi niatkan dalam hati untuk melakukannya dan untuk anak-anak serta keluarga tercinta.

Selamat bertani dan menuai hasil.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top