Hari ini tanomkinotuan ingin menceritakan beberapa tanaman sayuran yang tumbuh di KBR. Semua gambar di bawah masih membesar atau tunggu masa untuk dituai. Selalu tanonkinotuan bermanja di KBR untuk menenangkan minda sambil membelai tanaman tersebut. Pada bulan ini adalah masa menanam sayuran jenis berdaun kerana kurang sedikit serangan. Jadi tanomkinotuan sudah menanam sawi bunga jepun, sawi putih dan sawi putih taiwan manakala sawi keriting dan 1 cup plastik anak pokok sawi putih taiwan masih dalam proses membesar, tidak lama lagi mereka juga akan dialihkan ke batas.

Antara tanaman dan sayuran yang galak membesar di KBR ialah seperti berikut:



Gambar lobak putih dan salad romaine yang ditanam bersama. Kedua-duanya hidup dan galak pertumbuhan. Tanomkinotuan sebenarnya hanya mencuba menyemai benih lobak di tempat pokok salad itu tumbuh, sebab benihnya sudah lama. Tidak sangka ia masih boleh bercambah. Mahu tidak mahu biarkan sahaja. Cuma takut bersaing mendapatkan cahaya dan salah satu mengalami pertumbuhan terbantut.



Pokok tomato ceri bulat ini baru saja dipangkas daunnya dan dibubuh baja. Setakat ini pertumbuhannya elok tanpa daun kuning atau layu pucuk cuma 4 pokok tomato sudah mati disebabkan oleh reput akar. Penyakit lazim yang biasa menyerang pokok tomato.

Cara atasinya ialah tabur serbuk kulit telur pada tempat pokok mati dan siram dengan air agar tidak merebak jauh ke dalam tanah menjangkiti pokok tomato lain. 



Ini pertama kali tanomkinotuan menanam bawang sup dalam polibag. Jika sudah besar nanti akan dialihkan ke polibag yang lebih besar sedikit. Sekarang ini ia baru belajar tumbuh dengan menghasilkan daun pucuk muda.

Cara menanam daun bawang sup tidak susah. Kerat batang pokok bawang sup dan sediakan potting soil ke dalam polibag. Buat lubang ditengahnya dan tanam keratan umbisi bawang sup tersebut. Anda boleh cerai-ceraikan batangnya yang berumpun untuk mendapatkan jumlah tanaman pokok yang banyak. Siram 2 kali sehari. Ia akan membesar dengan baik.


Selepas dibaikpulih tanah dengan membuat pengemburan, membubuh baja organik tinja ayam dan kompos kelapa sawit dan ditabur kulit pisang. Barulah nampak perubahan pokok anggur tanomkinotuan yang hidup mati segan tidak mahu saja. 

Tapi kini daunnya hijau dan mula menghasilkan pucuk-pucuk muda.


Bunga kobis tanomkinotuan ditanam secara berperingkat-peringkat. Setelah menuai bunga kobis bulan lalu kini salah satu pokok kobis bunga tinggal saja menunggu untuk berbuah. 

Pokok bunga kobis ini ditanam di batas bersebelahan dengan pokok tombikai dan sebelah kanannya pula ialah pokok lobak putih dan salad.


Selepas dalam tempoh lama tanomkinotuan tidak menanam salad kini KBR diserikan lagi dengan pokok salad. Daunnya cantik dan lembut cuma jika salad ditanam di tempat bercuaca panas ada sedikit rasa pahit.



Percubaan menanam pokok epal. Setakat ini pokoknya tumbuh dengan baik. Tidak terlalu memberikan harapan terhadap tanaman ini. 


Ini pula kobis bunga hanya menunggu waktu untuk dituai. Pokok ini ditanam dalam besen besar. Sudah boleh dituai sebenarnya tapi tahan dulu biar rerambut putihnya hilang dulu atau lebih tepat apabila sudah matang sepenuhnya.



Selain menanam pokok lobak pada batas tanomkinotuan juga menanamnya dalam polibag. Tukar anginlah katakan.


Ini adalah sawi putih yang baru ditanam. Tengah berusaha untuk menyesuaikan cuaca sekeliling.



Pokok swiss chard masih boleh bertahan hingga kini dan masih membekalkan daunnya untuk dapur tanomkinotuan. Untuk pengetahuan pembaca, pokok swiss chard sangat tahan kemarau dan musim hujan. Dalam erti kata lain ia sesuai ditanam di negara kita.

Tanomkinotuan baru saja mengurus dan menjaganya. Letak gembur tanah, bubuh baja dan letak mulsa.



Pokok timun mini (five mini cucumber) meriah dengan bunganya yang banyak. Buahnya juga cukup banyak. Benihnya diambil dari buah terdahulu yang dimatangkan. 



Anak pokok sawi putih taiwan yang hanya ditabur pada batas. Sekali sekala tidak mahu skema sangat. Campak saja benih ke batas dan kini tanonkunotuan sudah alihkan sebahagian pokok ke batas lain.



Lagi pokok lobak putih ditanam dalam besen terbuang dengan menggunakan media potting soil sekam padi.



Nilah pokok tembikai yang dibuat entry yang lepas dalam tajuk "Panduan mebgalihkan anak tembikai pada batas". Sudah menjalar jauh. Tidak lama lagi lobak dan salad sudah tidak kelihatan.



Ubi keledek juga dah merimbun. Pokok keledek tidak cerewet untuk dijaga. Tanam dan siram, bila sudah mula tumbuh dan menjalar sudah tidak perlu disiram cuma sekali sekala tabur baja subur organik.



Pokok jagung dan pokok kacang tanah ditanam dalam satu batas. Kedua-dua pokok ini boleh hidup bersama. 



Timun kampung jenis albino, jenis pokok timun lambat berbuah dan memerlukan ruang yang luas untuk pokoknya menjalar dengan baik.



Satu-satunya pokok fennel yang masih ada di KBR, daunnya telah membantu menghasilkan sup ayam yang enak tempoh hari. Tanonkinotuan mencuba mematangkan bunga dan buahnya jika boleh.





Dan akhir sekali, adalah 3 jenis bunga lackspur iaitu merah muda, kuning muda dan ungu muda putih. Bunga yang sangat cantik dan beraroma ringan yang mengujakan.

Selamat bertani dan menuai hasil.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top