Kali ini tanomkinotuan berkongsi kepada pembaca di luar sana cara dan panduan menanam ubi manis dari pucuk daun atau batangnya. Selalunya isi ubi manis kita beli dari kedai atau di pasar. Apa kata kita tanam ubi manis di halaman rumah. Ia bukan sahaja membekalkan bahan makanan tetapi juga berfungsi sebagai penutup bumi sama dengan rumput yang ditanam. Pada entry yang lain tanomkinotuan akan membincangkan cara menanam ubi manis dari isinya pula.

Mungkin untuk dapatkan pucuk ubi manis memang susah apatah lagi mereka yang tinggal di kawasan pusat bandar. Hanya isi ubi manis saja yang boleh dijumpai. Namun begitu, masih ada penjual yang menjual pucuk ubi manis. Ia selalunya dijual sebagai sayur. Anda boleh membeli pucuk tersebut dan bertanya kepada penjual apa warna ubinya atau boleh dapatkan pucuk ubi manis dengan kawan-kawan atau di kampung halaman. Ubi manis juga boleh ditanam dalam pasu, pilih pasu bersaiz 18 inci ukur lilit ke atas.

Selalu kita terbaca sumber lain di mana sebelum ditanam perlu direndam dengan air hingga keluar akar. Sebenarnya apabila menanam ubi manis dari batangnya ia boleh ditanam terus ke tanah, tidak perlu rendam kerana batang atau pucuk ubi manis memang cepat berakar jika berada di tanah. Yang penting tanah tersebut cukup kompos.

Oleh kerana ubi manis adalah akar yang membesar dalam tanah maka korek dan gembur tanah / batas sedalam satu kaki setengah. Tambah kompos dan lime jika tanah masam/asid. Bagi mereka yang menanam dalam pasu guna campuran media 2:1:1 yakni 2 bahagian tanah loam/hitam, 1 bahagian kompos dan 1 bahagian pasir sungai. Sekiranya ingin membeli tanah di kedai pilih tanah topsoil.

Buat lubang pada batas dengan kedalaman 4 hingga 5 inci dan jarak antara lubang ialah 10 inci atau mengikut kehendak anda. Tanam pucuk ubi manis setengah daripada panjang batang pucuknya. Sekiranya terlalu panjang, potong pucuk ubi manis tersebut kira-kira 15 cm. Siram batas dengan air. Pada pasu pula lubangkan tanah sedalam 4 hingga 5 inci dan tanam batang ubi manis setengah dari panjang batangnya. Jangan lupa siram.

Ubi manis hibrid boleh dituai lebih kurang tiga bulan manakala ubi manis kampung pula mengambil masa 6 bulan hingga 1 tahun. Tanomkinotuan syorkan kepada anda untuk menanam ubi manis hibrid yang banyak dijual di pasaran (isinya). Salah satunya ialah ubi manis jepun ungu. Namun ubi manis kampung lebih manis dan berlemak serta empuk berbanding ubi manis hibrid.

Ubi manis jarang diserang penyakit atau makhluk perosak. Adapun adalah ulat pengorek isi di mana isi akan memburuk. Kadang-kadang apid suka melekat pada daun di belakang ubi manis. Sembur dengan cecair bawang putih hingga hilang. Ubi manis memang sedap direbus, dibuat kerepek atau dibuat kuih ubi manis goreng. Boleh menjadi makanan ringan ketika minum petang atau menonton TV. Ubi manis juga enak dijadikan bubur yang dicampurkan dengan beras hitam. Sungguh menyelerakan. Jom tanah ubi manis..

Selamat mencuba.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top