Rumput mulai kering
Tanomkinotuan begitu letih apabila seharian bekerja di kebun getah. Hari ini selesailah sudah kerja meracun rumput selepas seminggu berturut-turut melakukan rutin tersebut. Alhamdullilah pokok getah yang mulai membesar kini sudah dibersihkan, adalah sikit bergantung harap apabila sudah tua kelak, tanomkinotuan juga boleh menoreh getah dengan baik dan telah belajar menoreh dari sekolah rendah lagi. Tanah kebun getah tidaklah sebesar mana bersyukur dengan apa yang ada. Sambil-sambil untuk bersihkan pokok getah adalah juga tanomkinotuan menanam beberapa jenis sayuran seperti kacang buncis manis, kacang panjang galaxy, salad lolorossa, terung, bawang losun dan ubi manis. Adalah sikit sayuran untuk dikutip sehinggakan Kebun Di Belakang Rumah (KBR) sudah tidak terjaga.

Petang tadi sempatlah tanomkinotuan menjengok sekejap di KBR dan sempat menanam benih pokok timun armenia di dalam cup sebelum hujan turun dengan lebat. Terpandang pula pokok lada hijau yang sudah besar dan banyak buahnya. Tidak perasan tanomkinotuan disebabkan satu minggu menguruskan Kebun Getah (KG). Sebelum ini buahnya masih kecil kini sudah boleh dituai tetapi tak sempat menuai hasilnya disebabkan hujan lebat. Esok akan tanomkinotuan kerjakan buah-buah lada hijau itu nanti. Jika banyak buahnya bolehlah tanomkinotuan membuat jeruk sebotol dua. 

Teringat mula-mula tanomkinotuan menanam lada hijau, benihnya diambil semasa emak tanomkinotuan memasak ayam masak merah yang menggunakan cili kering. Jadi tanomkinotuan mengutip bijinya dan semai pada batas di KBR. Tanomkinotuan tidak melakukan pengemburan seperti biasa hanya korek dan campakkan benih ke dalam lubang dan timbus semula, tidak disiram pun. Sebab tanomkinotuan tidak mengharap sangat kerana lada kering tersebut adalah baki tahun lepas kiranya tanomkinotuan hanya menyerahkan takdir semata-mata. Kalau tumbuh rezeki, tidak tumbuh tidak mengapa. Tapi selepas 5 hari benih lada hijau mulai bercambah dengan baik dan sangat rapat sehinggakan tanomkinotuan terpaksa mencabut benih lain untuk mengurangkan persaingan. 

Selepas 3 minggu, tanomkinotuan alihkan benih pokok lada hijau ke batas lain. Barulah tanomkinotuan gemburkan batas, letak kompos dan tanam anak pokok lada tersebut. Tidak lupa juga menyiramnya. Pokok lada hijau boleh tumbuh dengan baik dan sesuai dengan cuaca di tempat tanomkinotuan. Pokok lada hijau ditaburkan dengan baja NPK organik yang hanya tinggal sedikit, nasib mencukupi untuk pokok-pokok lada hijau. 

Tanomkinotuan juga menyiramnya dengan kompos teh buatan sendiri. Tanomkinotuan kira sudah pakar membuatnya tidak lagi seperti mula-mula dulu di mana sangat menitikberatkan sukatannya. Kini tanomkinotuan hanya campakkan kompos ke dalam baldi, tambah gula perang dan air serta tekan suiz on untuk menghidupkan pam aquarium. Selepas 4 jam ia sudah boleh digunakan. Kompos teh sesuai disiram ke atas pokok lada hijau. Siram pada pokok dan tanah disekelilingnya. Biar nutrient tersebut meresap ke dalam tanah. Tanomkinotuan juga baru berjinak-jinak membuat baja cecair fish emulsion dan siram pada pokok lada hijau. Ia bukan saja kaya nitrogen tetapi sesuai untuk melebatkan bunga dan buah lada hijau. Kadang-kadang kita boleh membuat baja cecair fish emulsion dengan cara kita sendiri lagi puas hati.

Satu bulan setengah pokok lada hijau sudah mulai mengeluarkan bunganya namun bunga awalnya kebanyakan menguning dan gugur. Tidak tahu sebabnya sama ada tidak sempat didebunga atau kekurangan zat nutrisi dalam tanah. Namun apabila tanomkinotuan menyiramnya dengan baja fish emulsion barulah nampak bunganya yang begitu banyak.

Selepas kejayaan menanam lada besar, lada topurak, dan cili padi kini lada hijau juga nampak berjaya ditanam dan megah tumbuh dengan baik. Ada empat pokok semuanya. Dan keempat-empat pokok lada hijau galak berbuah. Tidak sabar untuk mengutipnya. Boleh juga dibiarkan buahnya sehingga menjadi warna merah. Boleh tanomkinotuan keringkan dan dijadikan lada kering yang segar. 

Pembaca sekalian, lada hijau mudah tumbuh dan ia juga sesuai ditanam dalam pasu besar bagi mereka yang terhad ruang menanam. Lagi pula benihnya boleh disemai dari hasil buangan memasak. Ambil benih tersebut dan semai. Mudah bukan? Jom tanam lada hijau.

Selamat bertani dan menuai hasil.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top