Tahun 2014 kini tinggal beberapa hari lagi dan kita akan melangkah tahun baru 2015. Apa azam tahun baru anda? Konon-kononnya azam tahun baru tanomkinotuan ialah ingin membesarkan backyard di belakang rumah. Harap tertunai dengan jayanya. Jom kita lihat hasil tuaian sayuran di KBR dan KG yang pernah ditanam antaranya ialah; 



Halia yang ditanam pada bulan Mac yang lalu di KBR kini sudah mendatangkan hasil. Tanomkinotuan telah menuainya untuk bekalan dapur. Rasa halia tanam sendiri lebih manis dan sedikit pedas, betul-betul rasa halia.


Tomato brandywine di atas satu-satunya buah yang masak. Pokok yang lain sudah tamat tempoh produktivitinya. Hanya satu pokok yang menghasilkan buah. Jadi tidaklah banyak buahnya yang boleh dikutip. Kadang-kadang suka melihat bentuk-bentuk tomato brandywine, di KBR, terdapat bentuk yang agak lucu tetapi tak sempat di gambar sudah masuk periuk.


Inilah dia keladi cina yang ditanam di kebun getah (KG). Tanomkinotuan terfikir untuk membuat bubur keladi jadi tanomkinotuan tuai beberapa pokok keladi yang sudah matang dan berisi. Keladi cina lebih cepat dituai berbanding keladi mawar, keladi sarawak, keladi taro, keladi aiskrim dan keladi minyak tetapi ia mudah diserang penyakit.


Kobis ungu dan cili hijau ditanam di KBR. Walaupun tanomkinotuan tidak merasa kobis ungu yang bulat dan padat. Tunas yang tumbuh dengan galak pada pokok tinggalan ulat seribu tempoh hari membuatkan tanomkinotuan cukup gembira. Tanomkinotuan tuai dan masak sos tiram.



Kacang panjang galaxy ini ditanam di KG. Ini kali kedua dituai buah kacang panjang ini. Ia tidak seberapa menjadi. Buahnya sedikit dan diserang oleh semut merah.



Jagung manis ni pula dituai di KG bulan lepas. Rasa sangat manis dan berlemak. Tanomkinotuan tuai buah jagung ini separa matang baru dapat merasai kemanisan dan lemak isi jagung ini.


Sayur tutan dan timun cina dan bayam hijau daun tirus dituai di KBR. Tanomkinotuan suka masak rebus berhalia sayur tutan ini. Tak perlu minyak segala.


Tuaian lobak putih (daikon) dan brokoli hijau di KBR. Lobak putih sedap dimasak sup. Masak bersama lobak merah, timun jepun (bukan jenis soyu) dan tulang ayam hingga lembut. Bulan April tahun dapat masa paling sesuai menanam lobak putih.


Ravanello candela radish atau lobak ravanello candela telah dituai di KBR. Kurang pedas dan pahitnya berbanding dengan franch breakfast radish. Sesuai masak sup bersama ayam atau daging.


Spanish radish atau radis hitam dituai di KBR. Rasa pedasnya agak kuat. Sesuai dimasak sup untuk menambah rasa pada sup ayam atau daging. Elok dimasak hingga lembut.


Petola ular yang ditanam di KG. Dituai pada pagi yang cerah. Nampaknya buah petola ular semakin banyak dari hari ke hari cuma sedikit pendek. Mungkin tanomkinotuan perlu membuat sesuatu pada tanah yang ditanam pokok petola ular.


Tuaian buah terung ungu juga di KG. Hanya ada 11 pokok kesemuanya. Buahnya elok dan tanomkinotuan petik walaupun masih muda remaja. Ia lebih lembut dan sedikit manis.


Kacang panjang dan roselle dituai di KG. Dapatlah tanomkinotuan membuat sirap roselle buatan sendiri dan mampu bertahan selama 3 minggu dalam peti sejuk. Kacang panjang masak tumis belacan.

Inilah antara sayuran yang pernah dituai oleh tanonkinotuan sama ada di kebun belakang rumah (KBR) atau kebun getah (KG). Tahun hadapan tanomkinotuan akan mulai menyemai benih baru yang ditempah dari jauh di KBR. Tempahan tersebut sudahpun sampai di tangan tanomkinotuan. Semoga ia tumbuh dengan baik tanpa gangguan.

Selamat bertani dan menuai hasil.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top