Kini genaplah 4 bulan setengah usia brokoli hijau tanomkinotuan di kebun belakang rumah. Setelah membelek kembali gambar-gambar terdahulu semacam teruja pun ada kerana dari usia kecil hinggalah kini yang boleh dikatakan tidak lama lagi brokoi hijau tanomkinotuan akan mengeluarkan bunga.
Macam-macam cabaran yang dihadapi oleh brokoli hijau tersebut, serangan belalang di waktu malam (hinggakan tanomkinotuan bersengkang mata untuk datang ke kebun belakang rumah bertemankan lampu suluh untuk mencari si belalang-belalang ini. Hari tu tanomkinotuan berjaya membunuh 2 ekor belalang besar gedabak yang sedang lena menjamah daun-daun brokoli. Tanomkinotuan mengambil dan membuangnya dalam kolam setelah dilemaskan biar penghuni kolam yang akan melakukan tugas-tugas seterusnya.
Ini adalah update brokoli hijau tanomkinotuan yang baru, gambar ini diambil pada minggu lepas sebelum bertolak ke tempat kerja nun jauh ke pedalaman. Sekarang ini cuaca amat terik dan ia boleh menjejaskan pertumbuhan brokoli hijau malah tanomkinotuan tidak meletakkan sebarang teduhan kerana ia sukar dilakukan akibat batas-batas yang sempit antara satu sama lain. Tanomkinotuan hanya berharap brokoli ini tumbuh dan mampu bertahan apa jua rintangan mendatang...ceeehwaaah... bermada la pulak....
Satu cara untuk membesarkan batang pokok brokoli adalah setiap tunas yang tumbuh dekat dengan panggal daun haruslah dibuka atau petik agar makanan tertumpu kepada batang dan daun sahaja. Daun-daun lama atau berada di bawah harus juga dipetik untuk tujuan yang sama.
Setiap dua minggu bubuh baja kompos atau baja organik seperti tinja binatang untuk tujuan pertumbuhan yang baik. Rumput rumpai disekitarnya harus dibuang atau dicabut tetapi pastikan tidak menjejaskan akar brokoli agar pertumbuhan tidak terganggu. Penyiraman hendaklah konsisten di mana siram dua kali sehari jika panas terik (cuaca panas), kawasan tempat tinggal tanomkinotuan mempunyai kepanasan melampau pada tengahari hinggakan sayur ong king menyembah bumi akibat suhu yang amat panas seperti gambar di bawah. Bayangkanlah betapa peritnya sayur-sayuran tanomkinotuan untuk bertahan. Tetapi sawi kerinting tersebut akan kembali segar menjelang petang, beginilah rutin sayur ongking tanomkinotuan di kebun belakang rumah.
Syukur dengan pokok brokoli ini kerana boleh menahan kepanasan yang melampau. Ini disebabkan daun brokoli dan seangkatannya seperti kailan dan kobis mempunyai daun yang tebal berbanding dengan sayuran jenis berdaun yang lain.
Setakat ini, serangan yang dilakukan oleh serangga perosak tidaklah teruk sangat. Cuma dijamahnya daun-daun pokok brokoli sebesar duit 50 sen dan begitulah seterusnya. Kadang-kadang ulat seribu juga menyerang hinggakan daun-daun tersebut rosak teruk. Tetapi cara terbaik ialah senantiasa membelek-belekkan daun di belakang dan jika terdapat telur ulat seribu tersebut yang berwarna kekuning-kuningan melekat pada daun maka elok dibuka telur tersebut sebelum mereka berpesta untuk meraihkan kemenangan. Dalam usia brokoli sebegini, jarang serangan daripada siput babi dan lintah bulan mungkin dedaun brokoli agak liat kot dalam usia kini.
Tanomkinotuan menyarankan kepada petani sampingan (hobi berkebun) untuk mencuba menanam sayur brokoli kerana kejayaan menanam pokok ini menandakan anda seorang juara.
Selamat bertani dan menuai hasil.
Selamat bertani dan menuai hasil.
0 komentar:
Posting Komentar