Inilah sayur daun pertama yang ditanam oleh tanomkinotuan di kebun belakang rumah, kesempatan untuk membeli benih sayur memang tidak ada untuk waktu ini, maka tanam sahaja benih yang ada di tangan. Sawi pahit menjadi bahan experiment untuk ditanam di kebun belakang rumah. Tanah di kebun belakang rumah adalah jenis tanah liat di mana musim kemarau tanah ini akan menjadi batu kerasnya manakala musim hujan pula bertukar menjadi meleket nak mampus sehinggakan tangan tanomkinotuan melecet semata-mata membentuk batas yang dinginkan. Cangkul yang menjadi alat untuk memecahkan clay tersebut melantun-lantun akibat kerasnya tanah itu. Tanomkinotuan tawakal dan berusaha untuk menyiapkan batas pertama. Namun batas tersebut terbengkalai untuk beberapa minggu akibat urusan yang perlu diselesaikan segera. Kerja-kerja membatas disambung semula beberapa hari setelah tugasan yang diarahkan oleh bos tanomkinotuan selesai dilakukan.

Untuk pengetahuan pembaca semua, sawi pahit mempunyai dua variati di pasaran. Variati pertama ialah jenis panjang dan tidak membulat manakala variati kedua pula adalah jenis pendek dan membulat dengan batangnya agak lebar, sawi pahit jenis pendek adalah sedikit pahit dan selalunya sawi pahit pendek akan dibuat sayur jeruk masin oleh kaum Cina. Jenis sawi pahit yang ditanam oleh tanomkinotuan ialah jenis sawi pahit panjang.



Nampak tak tanah liat (clay) pada tepi batas di atas, inilah tanah sebenar kebun di halaman rumah tanomkinotuan yang menyebabkan tangan melecet akibat menguruskannya. Tanah hitam tersebut adalah tanah kebun dicampur dengan kompos kelapa sawit.


Kompos kelapa sawit sesuai digunakan untuk sayur jenis daun. Kompos ini berupaya melebarkan daun dan batang sayuran menjadi lebih rangup. Sawi pahit ini jugalah adalah sayur pertama yang menjadi sayuran organik di dapur sebelum sayuran lain boleh dituai. Puas hati dan amat bermakna kepada tanomkinotuan. Penat lelah selama menyediakan batas pada sawi pahit ini berbaloi setelah tuaian pertama. Selepas itu, tanomkinotuan menyemai beberapa jenis sayuran lain hinggalah sekarang.

Cara menyemai sayuran ini amat mudah, sediakan batas cukup untuk bekalan seisi keluarga. Jika ingin menanam dalam kuantiti yang banyak boleh membuat batas atau tapak menanam dengan keluasan 90 X 150 cm saiz batas atau saiz kecil daripada itu pun boleh. Ikut kesesuaian penanam. Sawi pahit boleh juga ditanam dalam polibag atau kotak terbuang dari dapur. Seelok-eloknya mengunakan nisbah 2:1:1 iaitu tanah hitam, baja kompos dan pasir, namun tanomkinotuan tidak meletakkan pasir kerana tanah hitam yang digunakan sudah pun mengandungi pasir.

Untuk menyemai benih sawi pahit ini ada dua cara, cara pertama semai terus ke batas yang disediakan, pastikan semaian benih itu haruslah mempunyai jarak antara satu sama lain agar pertumbuhan anak benih sawi pahit kelak tidak berlaku persaingan sengit mendapatkan zat makanan. cara kedua pula ialah semai di tapak semaian terlebih dahulu dan setelah lebih kurang seminggu lebih bolehlah dipindahkan ke tapak atau batas yang disediakan, anak pokok sawi pahit hendaklah ditanam dengan jarak sekurang-kurangnya 12 cm atau 15 cm antara satu sama lain, ini bertujuan agar anak sawi pahit cukup zat makanan dan oksigen (pengudaraan yang baik). 

Siram dua kali sehari pagi petang anak benih tersebut dan juga sewaktu pemindahan ke tapak atau batas yang baru kerana anak pokok sawi pahit memerlukan banyak air sewaktu awal pertumbuhan juga keperluan air untuk menyerap makanan. 

Kawalan harus dilakukan dengan mencabut rumput rumpai yang tumbuh pada batas, lebih elok menggunakan tangan sahaja agar tidak merosakkan akar pokok sawi pahit tersebut. Jika boleh gunakan sungkupan daripada rumput kering atau kayu mati yang dihancurkan untuk mengurangkan pertumbuhan rumput di sekitar batas tersebut. Musuh utama adalah belalang, siput babi, reput akar dan ulat daun. senarai musuh tersebut boleh dikurangkan dengan menggunakan tangan atau jaring tetapi agak sukar jika daun sawi pahit terkena serangan penyakit yang disebabkan oleh bakteria terutamanya reput akar. Apa yang perlu dilakukan ialah cabut sawi pahit yang terkena jangkitan dan musnahkan (seboleh-bolehnya dibakar) agar tidak menjangkiti tanaman lain.

Sawi pahit boleh dituai 2 bulan lebih selepas ditanam, sayur daun jenis ini cepat matang lebih-lebih lagi jika cukup air dan zat makanan.

Selamat bertani dan menuai hasil.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top