Petola ular atau nama saintifiknya Trichosanthes cucumerina, adalah tumbuhan berasal dari negara India dan sekitarnya. Hari ini ia ditanam oleh petani secara kecil-kecilan untuk dijual di pasar atau tamu.
Petola ular adalah termasuk dalam kelompok keluarga petola segi dan petola bantal, buah petola ular berwarna putih dengan berjalur hijau. Pada pengamatan tanomkinotuan terdapat dua jenis pokok petola ular iaitu jenis panjang dan jenis pendek tetapi rasa dan struktur buahnya adalah sama. Tanomkinotuan ada menanam pokok petola ular di kebun belakang rumah. Ia mudah tumbuh dan menyukai cahaya matahari secara berterusan.
Pokok petola ular yang ditanam kini mengeluarkan hasil yang pertama, tidak lama lagi tanomkinotuan boleh menuai buahnya. Sempena bulan ramadan tahun ini, bekalan sayur mencukupi sehingga akhir ramadan. Jimat sikit duit belanja dapur untuk membeli sayur di pasar atau tamu. Duit tersebut bolehlah disimpan untuk membeli keperluan barang basah pula.
Cara menanam pokok petola ular amat mudah, sesiapa di antara para pembaca yang pernah menanam benih petola segi, begitulah cara untuk menanam petola ular. Tidak ada beza pun. Pastikan batas untuk menanam benih petola ular ini harus digembur terlebih dahulu serta digaul bersama baja kompos organik atau tinja binatang. Benamkan benih kira-kira 2/4 inci ke dalam tanah dan kambus semula, siram benih itu dua kali sehari sehinggalah benih tersebut tumbuh. Percambahan benih petola ular mengambil masa kira-kira 3 hari untuk bercambah. selepas dua minggu bubuh baja NPK organik untuk kesuburan daun dan bekalan nutrient mencukupi. Petola ular adalah jenis sayuran buah memanjat dengan itu sediakan palang atau kayu untuk menyokong pokok tersebut memanjat. Selepas 3 minggu ke 1 bulan anda boleh menikmati bunga jantan dan betina pada pokok tersebut menandakan tidak lama lagi akan mengeluarkan hasil.
Pokok petola ular tahan cahaya matahari terik, seelok-eloknya siram pagi dan petang untuk membolehkan akar pokoknya menyerap makanan. Pokok ini mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan termasuklah buahnya tetapi bau tersebut akan hilang apabila dimasak. Pelbagai resipi boleh cuba untuk sayur buah ini.
Pokok petola ular juga boleh ditanam dalam polibag, pastikan polibag yang digunakan itu bersaiz besar yang boleh menampung akarnya. Jangan lupa bubuh baja organik selang dua minggu untuk pertumbuhan pokok ini ditahap yang baik.
Selamat bertani dan menuai hasil.
0 komentar:
Posting Komentar