Tanomkinotuan sangat teruja akan kejayaan menanam radish franch breakfast di kawasan tanah rendah yang mempunyai suhu kepanasan yang melampau. Selalunya radish franch breakfast ini hanya sesuai tumbuh di kawasan yang mempunyai suhu rendah atau sejuk terutamanya di kawasan tanah tinggi. Tanomkinotuan ingin mencuba menyemai benih radish ini, dalam fikiran tanomkinotuan apalah salah untuk mencuba lagipun dah ramai blogger yang berjaya menanamnya walaupun tinggal di kawasan tanah rendah. Dengan berbekalkan semangat dan positive thinking tanomkinotuan semai benih radish ini terus pada batas. Batas tersebut telahpun ditanam dengan sawi kerinting (ong king). Selepas tiga hari radish franch breakfast mula bercamba, gembira tak terkata.
Kelihatan bulb dah mula membesar, teruja vs excited hahaha... sebenarnya kerana ini kali pertama menanam radish berwarna crimson.
Cara menanam radish franch breakfast sama seperti menanam lobak putih (nama saintifik: Raphanus sativus), radish adalah paling sesuai untuk semai terus atas batas kerana panggal atas pokoknya akan menjadi ubi atau isi. Jika semai dan alihkan ke tempat lain takut akarnya akan rosak dan isi lobaknya membesar dengan rupa yang tidak cantik. Namun, jika kena dengan caranya mungkin anak benih radish yang dialihkan itu boleh mengeluarkan bulb.
Tanam benih radish kira-kira 2/3 ke dalam tanah dengan jarak 5 inci ke 6 inci, jangan lupa siram dua kali sehari dan pastikan batas untuk menanam radish harus digembur terlebih dahulu serta digaulkan bersama baja kompos atau tinja binatang. Benih radish franch breakfast mula bercambah pada hari ketiga hingga hari ketujuh. Ia tidak tumbuh serentak. Tanomkinotuan tidak membubuh baja organik selepas itu hanya tunggu akarnya menghasilkan lobak.
Penjagaannya tidaklah rumit, hanya perlu mencabut rumput yang tumbuh pada batas dan sekitarnya. Pada pemerhatian tanomkinotuan radish yang ditanam tidak diserang oleh serangga perosak mungkin saja serangga atau musuh utama sayuran tak kenal akan lobak jenis ini atau masih ragu-ragu hendak menyerang maklumlah jenis tanaman baharu di kebun belakang rumah.
Lobak semakin besar dan boleh dituai. Sangat enak untuk dicampurkan ke dalam sup ikan atau ayam.
Rasanya sama seperti lobak putih yakni sedikit pedas tetapi ada blogger menyarankan tuai pada usia muda agar rasa pedas kurang terasa. Tanomkinotuan ada menuai/mencabut dua batang radish franch breakfast untuk dicampurkan ke dalam masakan sup ikan tetapi tak sempat ambil gambar, teruja punya pasal. Memang sup ikan tersebut rasa manis dan hirisan radish tersebut agak lembut dan berjus.
Sekembalinya tanomkinotuan ke rumah pada hujung minggu ini, akan disemai benih lebihan radish franch breakfast ini agar bekalan radish tersebut senantiasa ada. Para pembaca sekalian, jika kalian mahu kebun belakang rumah atau halaman rumah anda berwarna warni cubalah menanam lobak jenis ini, ia cukup menarik perhatian kerana warnanya yang cukup memikat.
Selamat bertani dan menuai hasil.
Selamat bertani dan menuai hasil.
0 komentar:
Posting Komentar