Salam semua kepada pembaca budiman..

Kini genaplah 14 hari umat Islam berpuasa di bulan ramadan yang mulia ini, semoga kita melipatgandakan amalan pada bulan ramadan al-mubarak bulan berkat bulan mulia. Tanomkinotuan ingin berkongsi kepada pembaca akan satu jenis bawang yang ditanam di kebun belakang rumah. Bawang merah atau shallot ini banyak variati atau jenisnya salah satunya adalah bawang merah tempatan (local shallot). Bawang merah jenis ini juga ada ditanam di  negara Indonesia.

Kelebihan bawang ini ialah wanginya amat semerbak ketika digunakan dalam gorengan berbanding dengan bawang import yang banyak dijual di pasaran. Benih bawang merah ini tanomkinotuan beli di tamu (panggilan orang Sabah untuk pasar siang) dengan harga RM2 ringgit satu plastik. Sesampai di rumah tanomkinotuan perasan bahawa bawang merah ini masih baharu dituai dan selalunya perlu direhatkan dua ke tiga minggu barulah ditanam agar mudah tumbuh. Lihat gambar yang disertakan di bawah untuk tatapan para pembaca.


 



Menanam bawang merah tidak sama dengan bawang putih di mana jika bawang putih perlu ditanam keseluruhan ubinya dan dikambus dengan tanah tetapi berbeza dengan bawang merah di mana hanya setengah inci daripada bawangnya harus ditanam ke tanah dan selebihnya biarkan terdedah begitu sahaja.

Pilih ubi bawang yang sihat dan besar, boleh juga menanam bawang merah import yang banyak dijual di pasaran. Potong sedikit pada hujung bawang itu dengan pisau agar bila ditanam ia muda untuk bercambah. Sediakan batas semaian dengan digaul tinja binatang atau baja kompos, masukkan ubi bawang setengah inci ke tanah dan biarkan hujung atasnya terdedah. Lakukan penyiraman dua kali sehari jika hari panas. Bawang merah boleh dituai selepas tiga bulan ditanam.

Penjagaan bawang merah sangat mudah iaitu penyiraman, membuang rumput rumpai dan kawalan kulat atau bakteria perosak daun, jika ada tanda-tanda daun diserang harus pokok tersebut dicabut dan dimusnahkan agar tidak menjangkiti pokok-pokok bawang yang lain. Dalam masa tiga bulan anda boleh menikmati bawang hasil tangan sendiri yang pastinya organik tanpa sebarang semburan racun kimia.

Selamat bertani dan menuai hasil.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top