Entry kali ini adalah gambar berkaitan dengan sayur mustard hijau. Sayur ini adalah termasuk dalam jenis sayuran sawi lain dan ia lebih dekat dengan sawi pahit. Pertumbuhannya amat galak sekali dan ini menunjukkan sayur mustard hijau ini menyukai terik matahari langsung selama lebih enam jam. Daunnya berombak-ombak pada tepi daunnya seperti salad lolorossa dan baunya seakan-akan bau sawi pahit. Batang yang lembut dan crunchy sehinggakan bilamana hendak menyiram harus berhati-hati agar batang daunnya tidak patah. 







Untuk pengetahuan para pembaca, pada pic ketiga sayur mustard ini ditanam bersama sayur brokoli dihujung sebelah sana dan Brussels sprout di tengahnya. 

Cara Penanaman Sayur Mustard:

Sayur mustard sama seperti sayuran berdaun lain yang mudah untuk disemai dan dijaga. Pertama sekali sediakan medium semaian yang digembur dan ditambah dengan kompos atau tinja binatang. Bagi tanah jenis clay (tanah liat) harus dibubuh dengan baja lime (serbuk kapur) untuk meneutralkan tanah yang digunakan. Oleh kerana benih sawi mustard ini amatlah kecil maka campurkan dengan sedikit tanah apabila hendak menabur ke tapak semaian. Ini bertujuan untuk menjarakkan benih-benih tersebut. Setelah ditabur lapiskan dengan tanah di atasnya sekadar menutupi medium semaian tersebut untuk tujuan lembapan pada tanah, agar benih tidak melantun atau keluar dari medium semaian ketika penyiraman dilakukan dan mengelak dari serangan semut yang suka memakan benih-benih sayuran.

Selepas satu minggu lebih, bolehlah dialihkan ke tapak penanaman atau batas yang disediakan. Jarak menanam antara anak benih sayur mustard ialah 5 atau 6 inci dari setiap pokok. Ini membolehkan anak pokok membesar dengan baik dan mengelak persaingan. Siram anak benih dua kali sehari jika cuaca panas dan sekali atau tidak perlu ketika masa hujan. Untuk tidak merosakkan anak benih akibat terik matahari yang kuat eloklah batas tersebut dibuat teduhan jaring hitam atau seumpamanya selama 4 hari hingga seminggu. 

Selepas dua minggu bubuh baja organik untuk tumbuhbesaran anak pokok mustard, sama ada menggunakan baja cecair yang mudah dibeli di pasaran atau menggunakan baja biji terpulang pada seseorang. Merumput adalah kerja wajib ketika berkebun kerana jika rumput rumpai tidak dibuang maka persaingan untuk mendapatkan makanan akan berlaku dan ini mengakibatkan pertumbuhan anak pokok sayur mustard terbantut. Jika tanah pada batas itu agak keras bolehlah digembur tanpa mencederakan akar anak pokok itu, ini bertujuan untuk pengudaraan bagi membolehkan anak pokok mustard boleh tumbuh dengan baik.

Selepas tiga minggu lebih anda boleh tuai sayur mustard untuk hidangan anda sekeluarga. Amalan memakan sayuran organik tanpa racun serangga adalah satu amalan yang sihat.

Selamat bertani dan menuai hasil.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top