Berikut adalah langkah-langkah menanam kacang panjang yang boleh diikuti sebagai panduan para pembaca diluar sana yang masih samar bagaimana menanam benih kacang panjang. Artikel ini hanya membincangkan dari ruang lingkup sebagai hobi atau suka-suka sahaja terutamanya mereka yang suka berkebun di halaman rumah dan tidak menekankan penanaman secara komersil. Sekiranya pembaca inginkan panduan menanam kacang panjang secara komersil bolehlah mendapatkan khidmat nasihat dari jabatan pertanian yang berdekatan atau mencari bahan bacaan selanjutnya di internet. Kacang panjang merupakan tanaman yang boleh beradaptasi pada iklim setempat di mana boleh ditanam sepanjang musim bagi di negara kita.

Terdapat dua kaedah yang boleh digunapakai untuk menanam kacang panjang. Bagi keluasan tanah yang terhad bolehlah menanam benih kacang panjang dalam pasu atau kontena yang sesuai. Manakala kaedah kedua pula adalah menanam pada batas yang disediakan. Kes sebegini berlaku kepada kawasan tanah atau halaman rumah yang luas. tetapi antara kaedah ini, kaedah kedua adalah yang paling produktif dan lumayan hasilnya.

Pertama-tama sekali pembaca hendaklah memilih variati kacang panjang yang hendak ditanam terlebih dahulu. Pergilah ke nusery-nusery berhampiran atau kedai-kedai pertanian dan bertanyalah benih kacang panjang yang sesuai ditanam di tempat anda.

Seterusnya pembaca haruslah menyediakan kawasan penanaman yang sesuai, pilih tempat yang tidak terlindung dengan cahaya matahari. Makluman kepada pembaca, kacang panjang memerlukan cahaya matahari yang cukup untuk tumbuhbesaran yang baik lebih kurang 6 jam atau lebih. Lebih dari 6 jam lebih baik sebenarnya. Jika tidak pokok kacang panjang tidak membesar seperti yang dikehendaki, ketot dan terbantut serta penghasilan buah kurang. Kacang panjang menyukai suhu panas di antara 15 hingga 24 darjah Celsius bagi pertumbuhan yang optimum dan juga curahan hujan di antara 800 hingga 1500 ml setahun. 

Untuk hasil yang baik, buatlah batas untuk menanam kacang panjang. Tidak kiralah ia saiz besar atau kecil kerana kita bukannya menjual hasilnya jadi batas yang disiapkan itu sekurang-kurangnya mampu mengelak dari takungan air dan memudahkan akar kacang panjang bergerak dengan baik. Oleh yang demikian batas harus digembur kira-kira 15 cm hingga 22 cm, benda asing seperti akar, rumput kering, daun kering dan sebagainya keluarkan atau buang. Untuk hasil yang lebih baik gaul tanah yang digembur tersebut kepada kompos atau tinja binatang lebih kurang 20 kg mengikut saiz batas yang anda buat. Gunakan tinja binatang yang telah reput sepenuhnya seperti tahi ayam atau lembu. 

Bagi mereka yang ingin menanam kacang panjang dalam pasu, kontena sederhana besar atau polibag sederhana besar perlu mencampurkan tanah yang digunakan dengan kompos dan pasir sungai. Gaul hingga sebati dan campuran dengan nisbah 2:1:1 itu hendaklah diisi ke dalam pasu atau polibag yang digunakan oleh pembaca.

Benih kacang panjang biasanya di tanam terus ke tempat atau batas penanaman, ia tidak perlu disemai terlebih dahulu. Bagi mereka yang memilih menanam di atas batas tanam 2 hingga 3 biji selubang dengan jarak lubang antara 2 kaki (60 cm) dengan 1 1/2 inci ke dalam tanah atau mengikut kehendak masing-masing. Hanya saja janganlah terlalu rapat lubang untuk menanam. Oleh kerana kita menanam kacang panjang untuk kegunaan sendiri maka tidak perlu mencabut anak pokok kacang panjang tersebut kerana ia boleh mengeluarkan hasil dengan baik. Tanomkinotuan menanam 3 biji selubang dan tidak ada masalah kecuali anda menanam secara komersil (secara ladang) maka ikutilah panduan menanam kacang panjang yang disarankan oleh jabatan pertanian. 

Bagi mereka yang memilih menanam di dalam pasu atau polibag pula tanam 2 biji benih dengan kedalaman 1 inci ke dalam tanah pasu. Siram pasu tersebut dengan air yang mencukupi.

Kacang panjang adalah tumbuhan menjalar, maka dengan itu perlu sediakan kayu penyokong atau kayu junjung untuk membolehkan pokok kacang panjang memanjat dengan baik. Kayu penyokong haruslah tidak terlalu kecil dan juga tidak terlalu besar. Pilih kayu penyokong yang sesuai dan sederhana. Banyak cara untuk menyediakan kayu penyokong ini antaranya:

1. Tanam kayu penyokong satu kaki ke dalam tanah pada setiap pokok kacang panjang, sekiranya anda mempunyai 6 pokok kacang panjang dalam satu batas maka anda memerlukan 6 batang kayu penyokong. Kaedah ini tidak memerlukan tali rafia kerana meyokong itu memadai untuk pokok kacan panjang memanjat. kelemahan cara ini ialah menggunakan tenaga lebih untuk mencari kayu penyokong dan bahan yang sukar dicari atau didapati.

2. Kaedah kedua pula ialah menggunakan tiga kayu penyokong dengan menanam kayu tersebut sedalam 1 kaki ke tanah pada kedua hujung batas (satu kayu untuk setiap hujung batas) dan satu batang kayu penyokong lagi ditanam di tengah batas. Seterusnya perlukan dua batang kayu untuk diikat di atas pada setiap kayu yang ditanam tadi secara menelentang. Ini bertujuan agar pokok kacang panjang boleh menjalar di atas tanpa jatuh ke bawah. Sediakan tali rapia untuk dijadikan penyokong atau junjung.

Siram anak pokok kacang panjang dua kali sehari dan tidak perlu ketika hujan. Kekurangan air pada batas atau tanah dalam pasu memungkinkan makanan tidak dapat diserap dengan baik oleh akar pokok kacang panjang. 

Mengenai pembajaan pula. Terdapat dua cara yang boleh dipilih. Pertama menggunakan baja NPK kimia di mana pembajaana boleh dilakukan pada minggu kedua, keempat dan ketujuh pada pokok kacang panjang. Kaedah pembajaan baja kimia pada minggu kedua ialah dengan menabur baja subur (berwarna merah) ke sekeliling batang pokok, pastikan ianya tidak terkena batang pokok kacang panjang kerana ia boleh terbakar. Minggu keempat pula adalah campuran baja subur (warna merah) dan baja buah (warna putih) dan minggu ketujuh pula juga campuran baja subur dan baja putih. Jangan bubuh baja kimia/urea terlalu banyak pada batas. Bagi yang menggunakan baja organik tabur baja itu disekeliling pokok kacang panjang selang dua minggu. Minggu keempat tabur baja subur organik dan baja buah organik dan lalukan aktiviti pembajaan ini selang dua-dua minggu. Jangan bubuh terlalu banyak baja yang mempunyai sumber nitrogen yang tinggi pada pokok kacang panjang. Ini hanya merimbunkan daunnya tetapi hasil buahnya kurang atau lansung tidak berbuah.
Merumput adalah aktiviti wajib dilakukan oleh pekebun atau pengemar berkebun di mana cabut semua rumput rumpai yang tidak dikehendaki pada batas agar persaingan mendapatkan makanan dapat dikurangkan.

Kawalan perosak dan serangga adalah melihat gejala-gejala penyakit yang melanda pokok kacang panjang. Apid adalah perosak yang sering menyerang pokok ini. Untuk memusnahkannya harus sembur dengan air sabun buatan sendiri (secara alami) atau sembur racun yang terpilih (tidak digalakkan sekiranya tanaman itu untuk kegunaan sendiri). Antara penyakit yang sering menyerang pokok kacang panjang ialah:

1. apid hitam dan apid putih
2. Daun terbakar disebabkan oleh virus daun
3. Pengorek akar
4. daun berkarat disebabkan oleh virus

Hasil boleh dituai selepas 6 minggu selepas menanam. Tuai buah kacang panjang sebelum biji terbunjul. Buah kacang panjang akan sentiasa berbuah selagi hayatnya masih baik atau tanpa serangan perosak. Untuk semaian benih kacang panjang pada masa akan datang, jangan lupa mengutip buah yang sudah tua/matang untuk mendapatkan benihnya. Dengan cara ini pembaca tidak perlu lagi membeli benih kacang panjang untuk tanaman musim yang seterusnya.

Kadang-kadang tanomkinotuan tidak membuat batas bilamana menanam benih kacang panjang kerana kacang panjang sangat mudah tumbuh. Walau bagaimanapun tanah yang digunakan adalah gembur dan kaya dengan nutrient semulajadi. Gambar di bawah menceritakan segalanya.



Selamat bertani dan menuai hasil...


Info lanjutan:

Bahasa Melayu: Kacang panjang
Bahasa Kadazandusun: balatung
Bahasa English: long bean, yard long bean, asparagus bean, Chinese long bean, garter bean, snake bean
Nama saintifik: Vigna sinensis

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top