Sekali sekala mencuba menanam jenis sayuran lain memberikan satu kepuasan yang tidak terhingga kepada tanomkinotuan. Selalunya orang akan memilih jenis sayur yang biasa dimakan atau dilihat di kawasan kita atau di pasaraya-pasaraya tempatan misalnya sayur kailan, sawi ongking @ kerinting, sawi bunga, sawi putih dan sawi pahit, kacang panjang, petola segi dan sebagainya. Tanomkinotuan pun sudah pernah menanam jenis sayur daun yang dinyatakan di atas. Walau bagaimanapun, pernahkah anda mencuba menanam sayuran yang belum pernah anda lihat dengan kepala anda sendiri atau anda belum pernah memakannya?

kali ini tanomkinotuan menceritakan satu jenis sayuran luar negara yang boleh beradaptasi dengan cuaca disini malah ianya boleh hidup subur walaupun cuaca yang panas. Sayur tersebut dikenali sebagai sayur mibuna hijau. Pelik namanya tetapi tidaklah pelik sekiranya anda melihat pokoknya. Ia sangat menawan dan menarik. Sayur mibuna hijau adalah sayuran jenis berdaun yang mempunyai batang yang kecil seperti pencil dan boleh mengeluarkan tunas baharu sebagai pokok baharu pada panggal batangnya menyebabkan ia kelihatan rimbun sekali. Sayur mibuna hijau juga dikenali sebagai mibu hijau jepun di mana struktur daunnya lembut, daun berbentuk sudu dengan batangnya yang panjang.

Kesanggupan tanomkinotuan untuk mencuba menanam sayur mibuna hijau ini berbaloi kerana ianya enak dibuat ulam atau dimasak tumis. Ia juga cepat matang dan boleh dituai seawal 21 hari pada pramatangnya dan matang kira-kira 41 hari. Tanom kinotuan menanamnya bersama-sama sawi kerinting, sawi komatsuna dan sawi putih taiwan dalam satu batas. Ia tidak menampakkan masalah ditanam bersama-sama jenis sayuran lain malah tampak galak pula pertumbuhannya.



Sayur mibuna hijau mempunyai ciri pertumbuhan sama dengan sayuran hijau lain. Lebih elok di semai pada kontena atau polibag terlebih dahulu. Selepas dua minggu bolehlah dipindahkan ke batas yang disediakan. cara menyemai benih sayur mibuna hijau ini ialah sediakan kontena yang bersesuaian, boleh juga menggunakan polibag, pasu bunga, kotak kayu kecil dan sebagainya mengikut kehendak pembaca. Medium semaian haruslah menggunakan campuran tanah loam/hitam/gambut dengan pasir sungai dan baja organik dalam nisbah 2:1:1. Gaul hingga sebati dan tabur benih mibuna hijau itu di atas tanah semaian, elakkan daripada benih mibuna rapat antara satu sama lain. Satu cara untuk mengelak benih terlalu rapat campurkan sedikit tanah pada benih dan tabur di atas tapak semaian. Benih yang digaul bersama tanah bertujuan untuk menjarakkan benih tersebut. Spray atau siram benih tersebut agar tanah semaian lebab. Ini bertujuan benih mibuna hijau boleh bercambah dengan baik. Kontena atau polibag yang digunakan diletakkan ditempat teduh sehingga benih tersebut bercambah dengan jayanya.




Pemindahan anak benih mibuna hijau boleh dilakukan apabila anak benih itu sudah mencapai 3 atau 4 helai daun. Penyediaan batas mestilah digembur terlebih dahulu serta dicampurkan dengan baja kompos atau tinja binatang yang telah reput. Sekirannya anda menggunakan pasu atau polibag untuk menanam guna bekas tanaman yang sederhana besar agar akar mibuna hijau bebas menjalar. Tanam anak benih mibuna itu dengan jarak 10 hingga 15 cm antara satu sama lain sekiranya ditanam di atas batas. Jika tanah yang digunakan itu jenis tanah liat maka campurkan dengan kompos pada jumlah yang banyak. Anak benih mibuna sesuai ditanam pada waktu petang dan jika anda menanamnya pada waktu pagi jangan lupa letakkan teduhan menggunakan jaring agar anak benih tidak layu lalu mati akibat cuaca panas lebih kurang 3 hingga seminggu. Jangan lupa menyiramnya dua kali sehari dan tidak perlu ketika musim hujan.

Sayur mibuna cepat membesar jika batas adalah lembab dan kandungan nutrient mencukupi. Setelah anak pokok mibuna hijau sudah berusia 2 minggu selepas dialihkan ke batas, anda boleh meletakkan mulsa (mulch) di atas batas agar batas senantiasa lembab dan tidak kering. Tanomkinotuan menggunakan mulsa daripada kayu yang telah reput. tanomkinotuan carik-carikkan secara menual sehingga hancur, kayu reput itu tanomkinotuan ambil dari kebun. Cabut rumput sekiranya ada pada batas bagi mengelak daripada persaingan antara satu sama lain. 

Setakat ini, tidak ada penyakit yang menyerang pada pokok sayur mibuna, cuba semasa pokok mibuna masih kecil siput selalu mendaki untuk memakan daun muda, juga belalang yang boleh merosakkan daunnya. Mungkin jika selalu menanam sayur jenis ini tanomkinotuan boleh mengetahui lebih lanjut apa penyakit yang menyerang mibuna hijau. 






Sayur mibuna hijau yang di zoom lebih dekat, tampak galak pertumbuhannya. Gambar kedua memperlihatkan daunnya yang berlubang-lubang, ini disebabkan oleh belalang yang memakan daun mibuna pada waktu malam. 





Gambar di atas adalah cubaan menanam sayur mibuna hijau bersama-sama jenis sayur daun lain seperti sayur komatsuna mustard, sayur komatsuna ungu, sawi putih taiwan, sawi ongking @ kerinting  dan sayur Asian green Tat tsoi atau juga dikenali sebagai spinach mustard.  Dan gambar akhir pula adalah hasil tuaian yang sangat memberansangkan. Emak tanomkinotuan telah memasaknya dengan masak tumis ikan sardin. wow.... enak hingga menjilat jari. Cumanya sayur mibuna mempunyai rasa pahit sedikit namun masih sedap dimakan. Rasa pahit tersebut sama seperti pahit pada sayur tutan.






0 komentar:

Posting Komentar

 
Top