Jagung adalah salah satu tanaman yang boleh dikatakan terkenal di negara kita. Jagung sangat digemari oleh rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat. Pelbagai cara jagung ini dimakan antaranya direbus, dijadikan bubur, atau dimakan tongkol mudanya atau baby corn sebagai campuran dalam sayur. Apa kata pembaca di luar sana cuba menanam jagung di kebun atau di halaman rumah anda. Jika anda menanam 6 pokok jagung, ianya membekalkan 8 hingga 9 buah jagung yang boleh dinikmati oleh keluarga anda. Ini kerana sepokok jagung akan mengeluarkan satu atau dua tongkol jagung. Berikut adalah panduan dan cara menanam pokok jagung; 

Jagung adalah tanaman yang sesuai di tanaman di negara kita. Kegusaran dan kebimbangan menanam jagung amat kurang jika dibandingkan dengan menanam asparagus atau salad. terdapat dua cara menanam jagung iaitu ditanam dalam pasu dan di atas batas. Jika memilih menanam di dalam pasu pastikan memilih pasu yang sederhana besar atau jenis pasu besar agar akar bebas bergerak di dalamnya.


MEMILIH VARIATI JAGUNG YANG HENDAK DITANAM

Pembaca boleh mendapatkan benih-benih jagung ini di kedai-kedai pertanian berhampiran. Boleh bertanya kepada penjual berapa jenis variati yang dijual, perbezaan dan persamaan serta jenis tanah yang sesuai (hal ini penting untuk mengetahui adakah benih itu sesuai di tanam di halaman rumah anda). Pembaca boleh mencuba variati jagung seperti mas madu (jagung manis), jagung taiwan yang sangat digemari dan permintaan tinggi di pasaran namun mudah diserang ulat pengorek, jagung korea, jagung hibrid 338. Pembaca juga boleh menanam jagung thai manis atau jagung kampung yakni jagung kategori heirloom seperti jagung pulut dan jagung pandan (harum seperti pandan). Biasanya jagung kampung ini hanya boleh didapati di kampung atau kedai yang menjual benihnya. Di Sabah boleh diperolehi di tamu (pasar minggu). Namun untuk beginner beli sahaja benih jagung yang ada dan tanam. Semua variati jagung sesuai ditanam di dalam pasu.


PEMILIHAN KAWASAN MENANAM

Cari kawasan yang terkena sinaran matahari melebihi 6 jam, hampir dengan sumber air, elakkan menanam pada jenis tanah liat dan berbatu (namun jika terpaksa, tanah tersebut harus digaul dengan kompos dan jika boleh ditambah dengan tanah hitam atau peat-moss atau topsoil. Kompos, peat-moss dan topsoil akan membantu memperbaiki struktur tanah dengan pengudaran dan saliran air yang baik serta mengekalkan kelembapan pada tanah tersebut.

Bagi menanam di dalam pasu pula, sila letakkan pasu-pasu tersebut pada kawasan yang terkena sinaran matahari melebihi 6 jam, jagung memerlukan cahaya sepenuhnya untuk tumbuhbesaran. Jika tidak jagung anda panjang tinggi seperti galah dan bila ditiup angin ia akan mudah patah serta buahnya tidak cukup sifat dan kecil.


PENYEDIAAN TANAH DAN PEMBAJAKAN JIKA PERLU

Bagi yang mempunyai tanah yang luas di halaman rumah dan mahu menanamnya terus pada tanah. Anda perlu membuat batas yang sesuai. Batas ideal bagi jagung ialah 15 hingga 25 cm (secara ladang) atau kurang dari itu pun boleh ikut kesesuaian anda. Gembur batas tersebut hingga lerai tanah-tanah tersebut. Bagi tanah jenis merah (tanah liat peroi - tanah peroi ketika kering dan meleket ketika hujan) anda gembur tanah tersebut dan campurkan dengan kompos lebih kurang 15 kilo atau mengikut kesesuaian pada batas. Sekiranya tanah masam (berasid) tabur serbuk kapur pada batas. Jika tanah jenis tanah liat (keras masa musim kemarau dan meleket ketika hujan) campurkan dengan peat-moss (harga mahal di pasaran) atau topsoil (harga boleh tahanlah juga) atau kompos buatan sendiri/kompos yang dibeli pada tanah tersebut. gaul hingga sebati antara tanah liat dengan pembaikpulih tanah di atas. Sekiranya terdapat kilang kelapa sawit, rajin-rajinlah ke kawasan itu, biasanya terdapat sisa buangan kelapa sawit berwarna hitam seperti kompos. Bahan tersebut juga boleh digunakan untuk campuran pada tanah liat tersebut. Untuk supaya tanah lebih baik gaul bersama tinja binatang reput. Maka di sini tanah penanaman jagung anda mempunyai tinja binatang, kompos, peat-moss dan topsoil, serta kompos kelapa sawit, ini dikira tanah paling ideal untuk jagung. Namun jika batas anda hanya ada tinja binatang dan kompos juga sudah memadai untuk jagung anda dan jika hanya ada kompos sahaja boleh lah untuk jagung anda, anda masih boleh tuai hasilnya. Tetapi jika tanah batas penanaman jagung tidak dicampurkan apa-apa, anda akan putih mata melihat pokok jagung tersebut.

Manakala bagi menanam di dalam pasu pula pilih pasu bersaiz 18 inci ke atas untuk sepokok jagung. Anda memerlukan 5 hingga 10 pasu untuk mendapatkan  5 hingga 10 buah jagung. Pembaca juga boleh menggunakan apa-apa kontena atau pot yang sesuai untuk menanam jagung. Perlu diingat bahawa jangan guna pasu, kontena atau pot bersaiz di bawah 18 inci kerana pertumbuhan pokok jagung tidak menarik. Guna nisbah media penanaman 2:1:1 di mana dua bahagian tanah loam, satu bahagian kompos/tinja binatang: satu bahagian pasir sungai jika perlu untuk satu pasu. 

SEMAIAN DAN MENANAM BENIH JAGUNG

Bagi tanomkinotuan, benih jagung boleh ditanam terus pada tanah atau pasu. Tidak perlu semai dan alihkan ke tempat baharu. Ini kerana apabila anak pokok jagung dialihkan ia memperlambatkan pertumbuhannya dan menambah kerja yang mudah kepada yang rumit. Selama tanomkinotuan menanam jagung tidak pernah merendam benih jagung ke dalam air dan benih jagung masih boleh bercambah selepas tiga hari tetapi jika anda melakukannya tanomkinotuan tidak melarang. Tanam benih jagung 2 biji selubang pada jarak antara lubang ialah 20 inci (40 cm) atau mengikut kesesuaian anda. Jangan lupa timbus dan siram dengan air secukupnya.

Pada pasu pula tanam dua biji jagung pada lubang yang dibuat ditengah-tengah pasu dan apabila benih sudah tumbuh pilih anak pokok jagung yang tidak sihat/terbantut dan cabut, tinggalkan hanya sepokok di dalam pasu dan siram.


PEMBAJAAN DAN PENJAGAAN

Terdapat dua cara pembajaan iaitu pembajaan secara organik dan pembajaan secara komersil. Pembajaan secara organik dimulai pada minggu kedua selepas anak pokok benih tumbuh (kira-kira dua hingga tiga daun), yakni setiap selang dua minggu bubuh baja pada sekeliling pokok, kaedah ini digunakan bagi mereka yang mahukan jagung tersebut tumbuh secara organik. Bagi pembajaan secara komersil pula dimulai pada minggu pertama dengan NPK blue special (12:12:17:2), minggu keempat ialah baja tinja binatang bercampur dengan NPK blue dan baja garam (warna putih), minggu 7 ialah baja garam dan sedikit baja subur (merah). Cara pembajaan di atas sesuai digunakan dalam pasu cumanya guna sukatan 1 sudu setiap baja kimia dan dua genggam bagi baja organik. Berhati-hati bila menggunakan baja kimia/urea pada jagung, jangan terkena pada batang pokok ia akan terbakar dan mati. Letak baja tersebut jauh pada batang pokok.

Buang rumput pada batas, kerja ini adalah wajib bagi membolehkan pokok jagung tidak bersaing untuk mendapatkan makanan. Jika boleh letakkan mulsa (rumput kering, daun kering, kayu reput, cocopeat, jerami padi, lalang kering pada batas atau pasu untuk kelembapan dan juga boleh mengurangkan rumput di atas batas dan pasu. Berhati-hati ketika merumput jangan mencederakan akar jagung. Siram pokok jagung dua kali sehari dan tidak perlu ketika hujan.   

Jagung akan diserang makhluk perosak semasa anak pokok dan musim mulai berbuah. Daun anak pokok akan dimakan oleh belalang, siput dan lintah bulan. Buang siput dan lintah bulan jauh dari pokok jagung. Ulat pengorak buah akan bertelur pada buah jagung menyebabkan jagung cacat oleh itu sembur racun jika perlu (Kepada mereka yang tidak kesah). Namun bagi pengamal makanan organik (bebas racun serangga dan baja kimia) seimbangkan PH tanah dan baja, air dan kelembapan pada pokok jagung. Jangan biarkan pokok jagung mendapat tekanan (stress). Sekiranya ini berlaku pokok jagung (dan tumbuhan lain) mengeluarkan bahan kimia yang boleh dihidu oleh makhluk perosak untuk datang kepadanya dan merosakkan pokok jagung tersebut. Banyak kajian berhubung perkara ini dan sudah dibuktikan dengan kajian sains. Jika masalah ini diatasi dengan baik, jagung anda adalah bebas kimia dan organik sifatnya.
 

PENUAIAN HASIL JAGUNG

Buah jagung matang kira-kira 68 hingga 72 hari selepas di tanam. Pembaca boleh melihat rerambut buah jagung sudah kering dan hitam tandanya jagung sudah matang. Maka usaha anda selama ini berhasil untuk menikmati buah jagung tanam sendiri. Nikmati hasil tanam sendiri bersama-sama keluarga dan ceritakan pengalaman anda dalam tempoh menanam hingga menuai hasil buah jagung. 

Secara umumnya, panduan dan cara di atas tidak berpandukan apa yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian, ini adalah pengalaman tanomkinotuan dalam menanam jagung, digarap dan ditulis di sini. Oleh itu, pembaca boleh mendapatkan info lanjutan pada sumber-sumber yang lain di internet. Semoga maklumat ini dapat memberikan idea dan pengetahuan dalam menanam benih jagung. terima kasih kerana singgah di sini dan selamat bertani dan selamat menuai hasil....Jumpa lagi di lain entry.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top