Setelah menunggu lama, buah zucchini hijau (Black Beauty Zucchini) yang dimatangkan oleh tanomkinotuan di KBR kini sudah boleh dituai. Tanomkinotuan ingin tunjukkan bagaimana untuk mendapatkan benih zucchini yang dimatangkan dari pokoknya dengan syarat pokok zucchini tersebut adalah dari variati heirloom, variati asli dan bukan dari jenis hibrid. 

Bagaimana hendak mengetahui bahawa buah zucchini tersebut sesuai untuk dituai? caranya ialah memastikan kulitnya keras, warna hijau bertukar menjadi hijau pudar dan bersaiz besar aka normal. Selain itu anda juga boleh mengenali buah tersebut sudah matang dan boleh dituai dengan melihat keseluruhan pokok menjadi sedikit kering dan berwarna kekuningan. Ciri-ciri yang diterangkan di atas hanya andaian umum tanomkinotuan mungkin berbeza cirinya mengikut lokasi dan cuaca.
 



Dapatkan buah zucchini yang matang seperti dalam gambar di atas. Tanomkinotuan sebenarnya puas memakan buah zucchini muda sebagai sayur yang enak dan lazat sehingga emak tanomkinotuan muak memakannya. Kini pokok zucchini sudah diakhir penghasilan buah dan telahpun tanomkinotuan cabut pokoknya untuk memberi laluan kepada jenis sayuran lain untuk ditanam pada batas yang sama.





Dengan menggunakan pisau yang tajam, belah buah zucchini dengan berhati-hati. Untuk pengetahuan pembaca. Kulit luar buah zucchini adalah keras sedikit dan memerlukan sedikit tenaga untuk membelahnya. Oleh itu, berhati-hati agar tidak tercedera dengan pisau yang tajam. Berdasarkan gambar di atas, buah zucchini tersebut sudah matang sepenuhnya dengan melihat isi dalamnya seakan-akan kapas.



Langkah seterusnya ialah keluarkan benih yang tersimpan di dalam buah tersebut dan masukkan ke dalam besen kecil berisi air. Lakukan sehingga selesai semuanya tanpa ada pembaziran. Langkah ini anda boleh menggunakan sudu makan atau alat yang sesuai. tanomkinotuan guna tangan sahaja. Maklumlah tangan petani kampung. Hahahahaha.




Setelah selesai mengeluarkan benih dari buah tersebut, cuci benih dengan mengacau untuk mengurangkan lendir pada benih itu. Lakukan pembersihan/pencucian lebih kurang 3 kali untuk hasil yang baik. Buang segala sisa benih yang kosong, tidak berisi dan sisa selaput yang terikut ke dalam besen tadi. Lakukan secara santai dan teliti. Cheeewahhhhh..."ini kalilah" oppppssss tidak ada kaitan dengan politik ok.. terma tersebut dah lama menitip dibibir rakyat Sabah sebelum di ciplak oleh parti politik berkaitan.




Seterusnya toskan benih dengan menggunakan penuras yang ada di dapur anda. Anda juga boleh menggunakan tisu atau kertas untuk mengurangkan lebihan air yang ada pada benih tersebut. Tunggu sehingga 5 hingga 10 minit dan alihkan ke tempat atau bekas seperti dulang, nyiru dan sebagainya bagi proses seterusnya.




Tabur benih zucchini pada dulang yang disediakan dan jemur di bawah sinaran matahari terik selama dua hari atau sehingga benih-benih tersebut kering sepenuhnya. Tanomkinotuan menggunakan dulang yang cantik dan elegan sehingga emak tanomkinotuan membebel dari pagi hingga ke petang. huhu. Anda boleh menggunakan apa-apa bekas yang sesuai. 

Simpan benih zucchini ke dalam plastik berzip atau botol kedap udara sekiranya benih sudah benar-benar kering. Tanomkinotuan cadangkan untuk mengeringkan benih zucchini 2 hingga 3 hari untuk keputusan yang memuaskan.




Jangan dibuang buah buangan/sisa zucchini tersebut, anda boleh memakannya untuk dijadikan pai zucchini seperti pai labu tetapi tanomkinotuan tidak sempat hendak buat. Oleh itu tanomkinotuan campurkan saja lebihan sisa ini ke dalam tong kompos. Biar ia membekalkan nutrient kepada benih zucchini baharu yang akan ditanam pada musim akan datang. Diharap ilmu ini dapat membantu pembaca cara bagaimana mendapatkan atau menuai benih zucchini dari pokoknya. Tidak perlu lagi membeli benih zucchini hijau malah jumlahnya 50 kali ganda lebih banyak. Benih tersebut boleh menampung seluas tanah kira-kira 0.2 ekar. Jadi apakah tuaian benih anda hari ini?

Selamat bertani dan menuai hasil.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top