Ramai dikalangan kita meminati buah timun dalam hidangan makanan yang disajikan tidak kira pagi, tengahari mahupun malam. Tidak lengkap hidangan nasi lemak jika hirisan buah timun tidak disertakan. Buah timun juga sesuai untuk dicampurkan apa-apa resipi berasaskan sup. Buah timun mempunyai pelbagai khasiat sampingan untuk tubuh badan kita. Sama seperti kacang panjang galaxy pokok timun amat mudah tumbuh di negara kita, cahaya langsung dari matahari amat disukai oleh tumbuhan ini. Timun cina adalah tanaman paling awal di Kebun Belakang Rumah bersama sawi pahit, petola ular, kacang panjang, lobak putih dan franch breakfast radish.


Timun mulai menjalar


Semakin tinggi pokok ini memanjat


Mula berbunga dan berbuah






bunga semakin banyak



buah dibalut dengan kertas




Cara penanaman timun agak mudah, pokok timun suka akan pancaran cahaya matahari secara terus dari pagi hingga ke petang. Ada dua cara menanam pokok timun cina iaitu semai terus pada batas atau semai terlebih dahulu dalam polibeg seterusnya pindahkan jika daunnya berjumlah empat. Jika anda memilih semaian terus pada biji pastikan batas harus lembab tetapi tidak menakung air dan tanah harus dicampurkan dengan baja kompos atau tinja binatang (tinja ayam, tinja kambing, tinja lembu, tinja kuda, tinja kerbau, tinja kelawar yang diproses - tinja ini kaya dengan zat nitrogen untuk pertumbuhan sempurna pada pokok).

Jika memilih menyemai biji timun dalam polibeg pula pastikan tanah yang digunakan harus digaulkan dengan baja kompos atau tinja binatang dan medium tanaman tersebut mestilah lembab agar memudahkan benih timun bercambah dengan baik. Selepas seminggu bolehlah alihkan anak benih timun tersebut ke tapak penanaman yang disediakan, jangan lupa siram selepas ditanam, ini bertujuan melembabkan tapak medium tersebut agar benih timun tersebut cukup air.

Seperti timun armenia, timun cina juga merupakan sejenis sayuran berbuah yang menjalar, oleh itu pastikan pokoknya disediakan kayu penyokong atau tali rapia agar pokok timun menjalar mengikut kayu atau tali rapia ke atas, jika tidak ia akan menjalar ke bawah dan ini akan merosakkan buah timun jika terkena air dengan jumlah yang banyak. Pada tempoh ini pokok timun harus dibaja sekali lagi agar pertumbuhannya galak sehinggalah berbuah.

Tidak seperti pokok kiwi, pokok timun mempunyai bunga jantan dan bunga betina dalam satu pokok. Ini bermaksud dianggarkan 1 bunga betina kira-kira 10 bunga jantan di sekitarnya. Ini memudahkan pendebungaan berlaku dengan baik dengan bantuan serangga yang ingin menghisap madu pada bunga timun cina ini. Dalam tempoh 1 bulan lebih, anda boleh menikmati buah timun tanam sendiri yang rangup dan bebas racun serangga.


Buah timun dan salad cina manis


Buah timun cina terakhir



Gambar di atas adalah pokok timun tanomkinotuan yang sekian lama membekalkan buah timun yang segar dan bebas racun serangga, buahnya berbeza dengan buah timun yang dijual di pasaran kerana bebas baja kimia dan racun serangga. Ia betul-betul berbau harum (harum timun segar, lebih-lebih lagi buah yang sederhana besar) rangup dan struktur buahnya lembut serta manis. Selamat tinggal kawan, benih mu ini akan dijadikan benih baharu yang akan disemai pada masa akan datang. Dengan itu keturunan mu tidak akan pupus.

Selamat bertani dan menuai hasil.


0 komentar:

Posting Komentar

 
Top