Pernahkah pembaca di luar sana terdengar akan istilah peat-moss?  dan pernahkah pembaca menggunakannya?

Lumut sphagum
Peat-moss adalah bahan reput atau bahan mati daripada gabungan beberapa komponen di dalamnya seperti lumut, pokok renek, rumput dan lain-lain. Namun komponen utamanya ialah lumut sphagum.  Peat-moss adalah nama tipikal bagi tumbuhan lumut sphagum yang telah reput atau diproses menjadi kompos iaitu tumbuhan asli yang tumbuh di seluruh bahagian dunia. Dalam bahasa mudah peat-moss adalah sejenis lumut yang dipangil lumut sphagum diproses menjadi kompos untuk kegunaan dalam bidang pertanian. Petani modern sangat suka menggunakan peat-moss untuk tujuan semaian kerana ia boleh menyimpan air selain kaya dengan nutrien yang boleh mempercepatkan pertumbuhan anak benih. Namun begitu, tumbuhan ini mengambil masa untuk dikompos atau lambat mati. Biasanya tumbuhan lumut sphagum ini tumbuh di kawasan lumpur yang dalam yakni kawasan paya basah. Sesetengah kawasan paya basah di dunia dipenuhi oleh lumut ini dan mempunyai lapisan sphagum yang sangat padat dan dalam. Struktur selnya peat-moss ini boleh menampung air seperti span.

Biasanya lumut ini sangat sesuai tumbuh di kawasan beriklim sejuk dan tanah bergambut. Inilah sebabnya kompos itu dipanggil peat-moss (lumut-gambut). Negara Canada merupakan pengeluar peat-moss terbesar di dunia yang diproses menjadi kompos dan di eksport ke luar negara termasuk negara kita. Di Canada sahaja lumut sphagum (peat-moss) berkeluasan 270 juta ekar yang boleh menampung keperluan kepada pengguna seluruh dunia.

Sphagum yang diproses
Terdapat beberapa jenis peat-moss di pasaran iaitu pertama, Lumut gambut fibric (peat-moss fibric) iaitu peat-moss yang reput / kompos dengan kandungan fibre yang sangat utuh. Kedua,  lumut gambut hemic (peat-moss hemic) iaitu ia lebih reput berbanding dengan jenis fibric tetapi kurang jika dibandingkan dengan jenis Sapric. Ketiga, Lumut-gambut Sapric (peat-moss Sapric) iaitu jenis peat-moss paling reput berbanding jenis hemic dan fibric. Maknanya peat-moss Sapric lebih baik jika dinilai dari segi kereputan dan pengomposannya.

Peat- moss amat sesuai untuk semaian, menanam pokok, medium tanaman rumput baru dan rumput yang ditanam semula serta sesuai dijadikan mulsa (mulch). Peat-moss juga dikenali sebagai organik kerana bukan diproses daripada bahan kimia tetapi diproses dari tumbuhan semula jadi.
 

Faedah peat-moss dalam bidang pertanian.

1. Peat-moss mampu menyimpan air dan tidak mudah kering. Oleh itu ia mampu melembabkan tanah untuk kebaikan kepada tanaman.

2. Peat-moss juga kaya dengan zat makanan kepada anak benih jika menyemai menggunakan peat-moss.

3. Boleh digunakan sebagai fertilizing bagi ladang-ladang besar atau kebun sendiri.

4. Peat-moss boleh digunakan sebagai mulsa (mulch) pada batas tanaman, ia bukan sahaja membekalkan kelembaban kerana mampu menyimpan air tetapi juga membekalkan nutrient pada tanaman.

5. Peat-moss boleh melindungi tanah daripada kekerasan disamping menambah zat makanan.

6. Mengurangkan kepadatan pada tanah liat dan mengikat pada tanah jenis berpasir. Tambah peat-moss pada batas yang mempunyai kandungan tanah liat yang tinggi. Ini akan mengurangkan ikatan tanah liat menjadi tidak padat manakala tanah pasir yang terlalu berderai dapat dikurangkan.

7.  Mempercepatkan pertumbuhan akar dengan cemerlang pada tanaman.

8. Dalam bidang perikanan ia sesuai dijadikan sebagai filter dalam aquarium, caranya masukkan peat-moss ke dalam uncang atau seumpamanya agar tidak mengotorkan aquarium tersebut. Ia mampu membersihkan air dengan menyerap bahan kimia dan merendahkan nilai PH pada air dalam aquarium.


Cara penyediaan peat-moss

1. Di bubuh dalam kontena tanaman

Campurkan 1/3 peat-moss dan 2/3 tanah loam ke dalam kontena tanaman, pastikan kontena tersebut ditebuk agar ia tidak menakung air. Taburkan benih tanaman di atasnya dan tutup benih dengan peat-moss senipis mungkin, jangan terlalu tebal. Spary atau siram dengan air secukupnya.

2. Menanam pokok di atas tanah

Buat lubang dua kali saiz akar pokok, keluarkan sisa-sisa tanah di dalamnya. Campurkan satu bahagian peat-moss dan dua bahagian tanah loam ke dalam lubang, tanam anak pokok tersebut dan gaulkan campuran tadi hingga sebati, berhati-hati agar akar pokok tidak rosak. Akhir sekali jadikan mulsa campuran lebihan peat-moss dan tanah loam setinggi 2 inci di sekeliling pokok. Jangan lupa menyiramnya.

3. Menanam rumput hiasan baru

Campurkan 2 inci lapisan peat-moss kepada 6 inci lapisan tanah loam. Tambah baja subur dan taburkan benih dipermukaannya. Tutup dengan peat-moss sedikit dan siram dengan air secukupnya.






Untuk mendapatkan peat-moss berkunjunglah nusery-nusery berhampiran. Oleh kerana ia diimport ke negara kita sudah tentu harganya tinggi. Walau bagaimanapun ia berbaloi untuk digunakan kerana sangat bagus untuk tanaman kita. Pembaca harus meneliti peat-moss di pasaran dan jangan ghairah akan peat-moss yang murah kerana terdapat pengeluar atau syarikat mencampurkan peat-moss tersebut dengan fungicides. Sila baca pada label pembungkus itu dan pastikan ia tidak ditambah dengan additives. 

Harapan besar kepada pembaca yang datang ke sini dan membaca entry berhubung peat-moss ini, semoga mendapat pengetahuan sedikit apakah itu peat-moss dan kebaikannya dalam bidang pertanian. Dua gambar di atas adalah hasil daripada menggunakan campuran loam dan peat-moss. Kelihatan pokok tomato sangat subur dan gemuk manakala dua pokok lada habanero dalam cup juga mempunyai pertumbuhan yang sangat cantik. Ini terbukti bahawa peat-moss sangat bagus untuk tanaman lebih-lebih lagi untuk medium semaian benih. Walau bagaimanapun, beberapa pakar tanaman ada mengatakan bahawa tidak boleh menggunakan 100% peat-moss sebagai semaian benih. Namun ia tidak begitu jelas mengapa sedemikian. Yang pastinya kebaikan peat-moss mengatasi segala-galanya.

Secara teorinya adakah tumbuhan di Sabah khususnya atau Malaysia amnya yang boleh diproses seperti lumut sphagum? Mintalah pakar-pakar dalam bidang pertanian untuk melebihkan kajian dan penyelidikan bagi tumbuhan di negara kita dengan tujuan yang sama seperti peat-moss ini?. 


Sudut informasi:

Kompos : Ialah bahan reput atau diproses daripada sisa dapur, rumput, kayu, dan tinja binatang. Kaya dengan kandungan nutrient.

peat-moss : ialah lumut sphagum yang telah reput atau telah lama mati di tempat asalnya dan dikorek/dipungut untuk dijadikan bahan asas dalam pertanian. Cara modern mereka menanam lumut ini dan diproses menjadi peat-moss. Struktur sel lumut sphagum mampu menyimpan air. 

Note: Some of the pictures above are not mine.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top