Kacang panjang galaxy atau galaxy yard long bean merupakan sayuran buah yang sering terdapat di pasar minggu atau di pasaraya berhampiran. Tidak sah sesebuah pasar atau pasaraya jika tidak menjual sayur ini. Rakyat Malaysia menyukai sayur kacang panjang. Ia enak di masak tumis belacan atau dicampurkan ke dalam masakan kari untuk memperbaiki struktur rasa pada masakan. Tanomkinotuan sering menanam kacang panjang di kebun belakang rumah. Kerana ia sangat mudah tumbuh pada cuaca dan suhu di negara kita. Ia paling sesuai di kawasan suhu sederhana seperti di tanah tinggi tetapi pembaca jangan risau kacang panjang ini juga boleh tumbuh di mana-mana tempat dan tidak memilih jenis tanah yang telah dibaikpulih. 

terdapat beberapa variati, bentuk dan warna kacang panjang yang boleh ditemui. Kita boleh melihat kacang panjang berwarna putih, hijau tua, merah, putih berjalur ungu dan sebagainya. Terdapat variati kacang panjang yang renek tidak menjalar dan variati pokok kacang panjang menjalar. Namun variati pokok kacang panjang menjalar lebih dominan di tanam oleh pekebun dan peladang di negara ini kerana penghasilan tuaian yang sangat lumayan. 

Tanomkinotuan tidak memerah otak untuk menyemai benih kacang panjang ini. Hanya korek tanah dan masukkan benih tersebut lalu timbus semula dengan tanah, gerenti 4 hari sahaja ia sudah mula bercambah yang penting kandungan nutrient dan kelembapan harus seiring bagi mendapatkan pokok kacang panjang yang sihat dan juga benih kacang panjang mestilah elok. Gambar yang digunakan dalam entry ini adalah tanaman kacang panjang musim kedua dan masih mengeluarkan hasil yang banyak pada ketika ini (semasa entry ini ditulis). Jimat wang dan tenaga ke pasar atau pasaraya untuk membeli sayur. Sayur tanam sendiri lebih baik dan puas hati kerana kitalah yang menanam dan menjaganya hinggalah memetik hasilnya. Kepuasan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Syukur kepada Ilahi atas anugerah minat menanam pada tanomkinotuan. Emak tanomkinotuan hanya tersenyum seharian kerana bila masa memasak waktu tengahari atau malam, emak tanomkinotuan hanya berjalan beberapa meter dengan menjinjing bakul kecil untuk mengutip dan memetik sayuran di kebun belakang rumah untuk dimasak sebagai juadah. 

Kacang panjang galaxy ini adalah tanaman di kebun belakang rumah musim kedua dan benih tersebut adalah hasil benih dari tanaman musim pertama. Tanomkinotuan menanamnya semula untuk bekalan sayur secara berterusan. Kacang panjang galaxy sangat tahan penyakit, dan pokoknya mengeluarkan hasil yang sangat banyak hinggalah ke penghujungnya. Untuk pengetahuan pembaca, tanah yang ditanam kacang panjang ini adalah tanah liat yang dicampurkan dengan kompos dan pasir sungai. Dari pengamatan tanomkinotuan, kacang panjang boleh hidup subur pada jenis tanah liat yang dibaikpulih. Selalunya tanah di kawasan perumahan adalah tanah merah atau tanah liat (clay) dan sukar digunapakai untuk menanam jenis sayuran. Walau bagaimanapun, jangan bimbang tanah tersebut masih boleh digunakan untuk menanam sayuran kegemaran anda dengan membaikpulih tanah tersebut. caranya tambah kompos dengan banyak pada tanah liat tersebut dan pasir sungai. Boleh beli jenis tanah hitam di nusery-nusery berhampiran dan gaulkan dengan tanah liat tersebut. Tanah liat atau clay itu juga boleh ditambah dengan tinja binatang namun perlu dibiarkan seminggu atau dua minggu untuk tinja binatang sebati dengan tanah. Maka bolehlah ditanam dengan jenis sayuran yang disukai. Inilah cara tanomkinotuan untuk membaikpulih tanah di kebun belakang rumah. Semakin lama tanah itu digunakan semakin baik tanah tersebut. Ia tidak lagi kelihatan seperti tanah liat tetapi sudah berubah wajah kepada tanah hitam yang kaya dengan nutrient dan baik untuk tanaman kita. Jika pembaca meneliti gambar-gambar di atas hanya batas penanaman sayuran sahaja yang berwarna hitam. Lorong atau jarak antara batas masih kelihatan berwarna merah. Kawasan ini sebenarnya kawasan tanah timbus untuk membuat kolam ikan. 

Ada tiga variati kacang panjang yang di tanam oleh tanomkinotuan di kebun belakang rumah pada musim pertama iaitu kacang panjang hitam atau blacky yard long bean, kacang panjang galaxy dan green sweets yard long bean. kacang panjang hijau manis (green sweets yard long bean) mempunyai buah yang sangat panjang berbanding dengan kedua variati di atas tetapi buahnya sedikit kurus (thin). Ketiga-tiga variati ini sangat produktif dalam penghasilan buah tidak hairan ianya sering ditemui di pasar minggu atau pasaraya yang berhampiran.


Gambar di atas adalah kacang panjang jenis hijau (green sweets yard long bean). Ia tersangat panjang berbanding dengan jenis kacang panjang lain. Gambar pertama adalah ditanam musim pertama dan sudah tamat tempoh perkhidmatan manakala gambar kedua pula adalah benih dari gambar pertama, kira gambar kedua itu adalah anak kepada kacang panjang gambar pertama. hahahahahahaha..... apakah aku melalut ni???...

Antara sayuran buah yang diminati oleh tanomkinotuan ialah kacang panjang kerana anda boleh menanamnya dengan menutup mata sahaja. Bermaksud tidak perlu penjagaan yang rapi. Namun jika serangan penyakit melanda kacang panjang yang anda tanam ia sememangnya menyakitkan hati.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top