Selepas berjaya menanam beberapa salad di kebun belakang rumah, tanomkinotuan teruja untuk mencuba menanam salad jenis lain yang jarang ditanam atau dikemersilkan di negara kita. Kejayaan menanam salad siomak aka salad cina, salad lolorosa dan Buttercrunch leaf lettuce kini tanomkinotuan beralih pula menanam salad cimmaron atau Cimmaron lettuce. Salad cimmaron termasuk dalam kelompok salad loose leaf berdaun terbuka dan mempunyai pelbagai warna seperti merah tua, hijau dan sebagainya. Salad cimmaron adalah variati salad heirloom dari benua Amerika. Heirloom bermaksud tumbuhan asli tanpa gabungan dna dari tumbuhan sejenisnya yang lain. Lawan salad heirloom adalah salad hibrid yang bermaksud tumbuhan salad yang dicipta di dalam makmal dengan pengubahsuaian pada genetiknya.

Apa yang membanggakan pada salad ini, ia mampu bertahan dengan sinaran terik matahari seperti di negara kita. Daunnya amat lembut dan rangup serta mempunyai getah berwarna putih pada batang dan tangkai daunnya bila dipotong. Tidak seperti salad lain, salad cimmaron tidak mempunyai rasa pahit sesuai dimakan begitu sahaja atau dicampurkan ke dalam burger dan sup berasaskan ikan atau daging.



Gambar di atas adalah anak pokok salad cimmaron yang berusia dua minggu disemai di atas polibag.


Salad cimmaron yang cukup matang dan boleh dituai.



 Salad cimmaron bersama lobak merah (carrot).



Salad cimmaron berganding dengan salad cina dan lobak merah.


Cara menanam:

1. Semaian

Terdapat dua kaedah yang boleh digunakan untuk menyemai sama ada menggunakan polibag, kotak plastik, kotak kayu, pasu atau  bahan buangan lain seperti tin susu, botol mineral yang di potong dan sebagainya atau boleh juga disemai terus pada tanah. Namun sekiranya memilih menyemai di atas tanah pastikan ia terlindung daripada hujan lebat kerana hujan lebat menyebabkan benih-benih yang disemai akan dialirkan ke tempat lain.

Semai benih salad ke dalam medium semaian yang kaya dengan kompos kira-kira 2/4 ke dalam tanah. Nisbah medium ialah 2:1:1 iaitu tanah loam/hitam:baja organik/kompos:pasir sungai.  Kambus sedikit tanah di atasnya bagi melindungi benih tersebut tidak diganggu oleh semut, lintah bulan dan serangga lain.  Siram dengan air bagi melembabkan tanah tersebut. 

Selepas dua minggu alihkan anak benih ke tapak baharu. Pastikan tapak tanaman tersebut digembur terlebih dahulu dengan menggunakan cangkul atau alat pembajak dan bubuh kompos atau tinja binatang dan serbuk kapur (lime stone) sekiranya tanah tersebut terlalu berasid. Biarkan tapak tanaman itu selama dua minggu bagi membolehkan baja kompos, tinja binatang dan serbuk kapur mesra dalam tanah. Tanam benih pokok salad itu di antara  20 - 25 cm. Siram dua kali sehari ketika cuaca panas dan tidak perlu ketika musim hujan. Pastikan juga tinja binatang yang digunakan seperti tinja ayam perlulah dibiarkan selama 3 bulan sebelum digunakan kerana tinja binatang yang baru agak panas dan boleh mematikan tanaman. Jika perlu beli baja tinja binatang di nusery berhampiran kerana baja tersebut sudah matang / reput sepenuhnya dan selamat digunakan.

2. penjagaan dan pembajaan

Selepas ditanam apa yang perlu dilakukan ialah kira-kira dua minggu selepas di pindahkan anak pokok salad tersebut perlu dibubuh baja untuk meransang pertumbuhan anak pokok salad. Gunakan baja organik jika mahukan sayuran organik. Gemburkan tanah disekeliling agar anak pokok supaya pengudaraan berada dalam keadaan baik.

Cabut rumput pada batas, jangan biarkan rumput tumbuh di atas batas yang ditanam pokok salad kerana ia memungkinkan berlaku persaingan untuk mendapatkan nutrient, ini akan membantutkan pertumbuhan anak salad tersebut.

3. Kawalan serangan penyakit  

Untuk makluman bahawa jenis salad tidak diancam atau diganggu oleh serangga perosak. Serangga perosak tidak akan memakan dedaun pokok salad kerana salad mempunyai getah putih yang tidak disukai oleh serangga perosak, cumanya serangan selalunya berlaku daripada bakteria jahat yang memakan akarnya. Sekiranya terdapat serangan dari akar, cabut dan lupuskan agar tidak menjangkiti pokok salad lain.

4. Tuaian

Salad cimmaron mengambil masa 1 bulan ke 1 bulan setengah untuk menjadi matang dan boleh dituai. Sekiranya mahukan bekalan daun salad cimmaron perpanjangan hanya perlu tuai daunnya sahaja. Maksudnya petik daun dari bawah yang diperlukan dan bukan dicabut. Ini membolehkan bekalan daun salad berterusan sehingga ke akhir hayatnya. 

Selamat menambah jenis salad yang ingin ditanam di halaman rumah atau belakang rumah. Warnanya sudah pun memikat apatah lagi ditanam dengan banyak. Ia bukan sahaja untuk perut tetapi juga untuk mata.... penyeri laman rumah.



0 komentar:

Posting Komentar

 
Top