Patau merupakan sejenis pokok berkayu keras yang tumbuh dengan banyak di kawasan tertentu di Sabah misalnya di kawasan pedalaman atau kawasan tanah tinggi dari Keningau merentas ke Tambunan hingga Ke Ranau. Juga pokok ini hidup subur di kawasan Beluran hingga ke Tongod dan sempadan Tawau. Pokok patau boleh mencecah ketinggian kira-kira 10 hingga 15 meter. Batang lurus seakan-akan berwarna putih dan kadang-kadang berakar banir jika tumbuh dikawasan tanah subur. Daun kecil dan halus memenuhi tangkai daunnya secara selari. Pokok patau mengeluarkan buah berbentuk sarung parang kira-kira 5 hingga 18 cm panjang, berwarna hijau ketika muda dan bertukar menjadi hitam ketika matang. Akan gugur sendiri ke tanah setelah matang oleh tiupan angin bersama sarungnya. Biji patau tidak akan terkeluar sehinggalah sarung buahnya mereput. Bijinya pula berwarna hitam dan diselaputi selaput keras. Sarung buah biji patau mempunyai kulapuk seakan-akan talkum jika buahnya baru sahaja jatuh ke tanah. Berbeza dengan pokok petai yang menjadi kegemaran kaum Melayu di semenanjung di mana buah petai di makan dalam usia muda (kulit masih berwarna hijau) sedangkan buah patau pula adalah dimakan ketika buahnya sudah matang/tua dan kering. Perlu mengopek kulit pembungkusnya untuk mendapatkan biji patau. Setiap sarung buah tersebut mempunyai kira-kira 3 hingga 10 biji patau tersusun secara individu.

Tanomkinotuan terbaca satu artikel di borneoherbs.blogspot yang bertajuk "KEPENTINGAN TUMBUH-TUMBUHAN DI DALAM KEHIDUPAN MASYARAKAT KADAZANDUSUN DI NEGERI SABAH, MALAYSIA" di mana menyatakan bahawa "...Petai ini boleh diperolehi di hutan dara mahupun di hutan sekunder. Bagaimanapun, ada satu buah kekacang yang mungkin tidak sesuai dimakan oleh manusia (tetapi diminati oleh "gawir" (kelawar) ialah patau ". Pertama, artikel tersebut sangat berinformasi dengan nama tumbuh-tumbuhan beserta nama saintifiknya sangat berguna kepada tanomkinotuan bagi  penulisan dalam blog ini. Kadang-kadang tanomkinotuan merujuk di blog tersebut untuk mendapatkan scientific name kepada sesuatu tanaman atau tumbuhan. Tetapi kenyataan penulis di atas tidak disandarkan dengan alasan kukuh yang boleh menjadi kayu ukur kepada alasan mengapa biji patau tidak sesuai dimakan oleh manusia. Ia berupa kenyataan umum dengan perkataan "mungkin" di mana penulis sebenarnya tidak pasti sama ada ianya boleh dimakan atau pun tidak.

Jika sandaran penulis kepada makanan beracun, tidaklah tepat walaupun setiap individu pengemar patau sudah maklum bahawa buah ini tidak boleh dimakan secara berlebihan. Malah patau sprout (Patau berakar) ini berkesan menurunkan darah tinggi. Mungkin penulis boleh datang ke tamu-tamu sekitar Keningau, Tambunan dan Ranau dan melihat biji patau dijual dan sehingga kini patau masih di konsume oleh penjual-penjual untuk bekalan kepada pengguna malah permintaannya cukup tinggi di pasaran. Walau bagaimanapun, hanya beliau tahu alasanya.

Berbalik kepada entry biji berakar patau, biji patau yang dikopek dari sarungnya itulah yang dimakan. Namun ianya tidak boleh dimakan begitu sahaja seperti biji petai kerana kulit bijinya yang hitam agak keras. Mengikut sejarah, pada zaman dahulu, oleh kerana pokok patau ini besar dan tinggi, mereka membiarkan buah patau yang jatuh itu mereput yang hanya tinggal adalah bijinya, apabila biji tersebut bercambah barulah dikutip dengan mencabutnya. Tetapi cara ini sangat lama iaitu mengambil masa 3 hingga 6 bulan. Satu lagi cara ialah dalam tempoh membuat kebun dilereng bukit yang ada pokok patau, selepas kebun bukit tersebut dibakar. Biji patau akan bercambah dengan banyaknya dan sebelum menjadi anak pokok, mereka akan mencabutnya. Kaedah ini terbawa-bahawa hingga awal 90'an iaitu melakukan secara semi-menual. Mereka sendiri mencari biji patau yang gugur ke tanah di hutan dan mengopek untuk mendapatkan bijinya. Biji-biji patau tersebut dilonggokkan di satu tempat lalu ditimbun dengan kayu, ranting, daun kering dan jerami lalu di bakar. selepas di bakar ia dibiarkan selama 5 hingga 7 hari barulah dituai hasilnya. Lama kelamaan kaedah ini bertukar lagi cara yang paling ringkas iaitu mereka sendiri mencari buah patau lalu mengopeknya. Mereka mengetip dihujung bijinya (tip) dengan pengepit kuku lalu ditanam ke dalam tanah selama 1 minggu. Kaedah ini digunakan oleh semua penjual hingga hari ini.

Caranya mudah sahaja, biji patau harus diketip kira-kira pecah kulitnya bagi membolehkan kelembapan masuk ke dalamnya. Pastikan diketip secara betul dan bukan dibelakang (bontot). Buat pengemburan tanah di halaman rumah anda cukup untuk menanam biji patau yang telah diketip. Tidak perlu meletakkan apa-apa cuma gembur dan benamkan biji patau dengan hujung yang diketip harus di bawah, ia harus menegak dan bukannya dibaringkan atau telentang. Jangan terbalikkannya pula. Timbus sedikit tanah cukup-cukup untuk menutupi biji tersebut dan siram dengan air. Tutup dengan menggunakan apa-apa yang sesuai. Biarkan ia selama 6 hingga 7 hari. Selepas 6 hari anda sudah boleh menuai biji patau anda kerana ia sudahpun bercambah dengan mencabutnya lalu cuci sebersih-bersihnya. Hari yang ke-4 anda sudah boleh menuainya tetapi akarnya masih pendek. Hari ke-7 adalah hari yang sangat sesuai kerana anda hanya tinggal cabut sahaja tanpa bersusah payah untuk mengopek kulitnya lagi. Jika anda ternampak biji patau yang masih hitam dan tidak bercambah, beli pada jumlah yang banyak. Anda boleh menanamnya sendiri dengan mengikut panduan di atas. Lagi selamat dan puas hati. Anda juga boleh menyemainya ke dalam kontena, pasu dan bekas lain yang difikirkan sesuai.

Sebenarnya ketika tanomkinotuan masih kecil-kecil dulu, tanomkinotuan tidak suka memakan biji patau berakar ini. Termuntah-muntah tanomkinotuan apabila aki (datuk sebelah bapa) menyuruh memakan biji patau yang dimasak tumis bersama tipun (udang kering halus yang tidak berisi, hanya kulit ja). Malah tanomkinotuan juga tidak suka memakan jenis udang tipun hinggalah sekarang. Tetapi persepsi tanomkinotuan berubah apabila kakak tanomkinotuan memasak patau berakar ini dengan menumbuknya hingga hancur bersama udang kering yang biasa dan dimasak hingga garing. Saat itulah tanomkinotuan suka memakannya. Jika anda blender biji patau berakar tersebut dan memasaknya, baunya tidak sekuat pada biji patau yang masih asli.
Biji patau berakar boleh dimasak dengan pelbagai cara resepi yang enak dan sedap. Baunya yang kuat seperti petai menjadi menambat selera bagi yang memahaminya tetapi bau tersebut menjadi pembunuh selera kepada yang menghindarinya. Anda boleh merebusnya dalam 15 minit dan cuci hingga bersih lalu dihidang bersama sambal cili padi atau bilis, ia juga sesuai dimakan bersama sambal ikan masin. Patau sprout juga boleh ditumbuk dan dimasak bersama udang kering, goreng hingga garing bersama cili padi dan sedikit bahan sayuran buah lain seperti kacang buncis atau kacang panjang. Tanomkinotuan pernah memasak resepi ayam masak patau dan kodop. Fuhhhhh!, enak hingga tidak ingat dunia. Akan tanomkinotuan postkan resepi ayam masak patau dan kodop di blog ini bila tiba masanya. Patau sprout juga sesuai dicampurkan dalam syur campur bawang losun.

Selamat mencuba.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top