Siapa tidak mengenali pokok tuhau yang menjadi sebahagian makanan oleh komuniti tertentu di Sabah. Pokok tuhau atau nama saintifiknya ialah E. Coccinea ini merupakan pokok herba berbantang lembut yang tumbuh banyak di negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, Kalimantan (Sabah & Sarawak, Malaysia dan bahagian wilayah Indonesia) serta Brunei. Bagi kaum Iban tuhau dipanggil upek kecala dan orang kedah memanggilnya pokok tepus/pokok tepus kesing. Anak mudahnya dicabut untuk mendapatkan umbut mudahnya. Ia perlu dikupas/dikopek hingga umbut muda kelihatan. Umbut muda ini dimakan sebagai ulam, sambal atau jeruk. Umbut mudah ini juga boleh dimasak tumis bersama sayuran terpilih lain atau dicampurkan dalam resepi masakan berasaskan ayam. Namun tuhau bersinonim dengan jeruk atau sambal sebagai pembangkit selera makan.

Pada dua minggu lepas tanomkinotuan dengan kawan tanomkinotuan ada singgah di tepi jalan raya untuk mencabut sendiri anak tuhau yang banyak tumbuh meliar di tempat itu. Sepanjang jalan adalah ditumbuhi dengan pokok tuhau, pokok bunga kantan (topu atau tompu) dan pokok tomborua. 3 jenis pokok ini mendominasi kawasan hutan di sini yang masih tidak terusik oleh arus pembangunan khususnya dalam bidang pertanian dan perladangan. Namun kita tidak tahu akan datang, bidang perladangan dan pertanian khususnya ladang kelapa sawit senantiasa mengintai dan melihat peluang. Dengan semangat membara, tanomkinotuan dan rakan-rakan tanomkinotuan meredah semak samun untuk mencabut anak pokok tuhau yang hanya 2 hingga 3 kaki tinggi. Untuk makluman kepada pembaca, jika anda inginkan umbut tuhau berwarna merah, cabut anak pokok tuhau yang masih kecil kira-kira 2 hingga 3 kaki tinggi, jika anda mencabut anak pokok tuhau yang sudah melebihi 3 kaki, umbutnya sudah berwarna putih. Merah atau putih tidak ada perbezaan ketara cumanya semasa di jeruk atau dibuat sambal warna ini memainkan peranan untuk membangkitkan selera apabila umbut tuhau tersebut digaul dengan bahan-bahan tertentu.  

Agak banyak jugalah kami ambil cukup bekalan untuyk sebulan rasanya, bila tanomkinotuan jongak-jongak tentang harganya boleh mencecah RM10 apabila ia sudah di kopek. Sahabat tanomkinotuan yang memang hantu pemakan tuhau mencecah harga RM25. Memang dia sangat suka memakan tuhau sehinggakan resepi ayam, ikan dan daging pun mesti ada tuhau. Dari beliaulah tanomkinotuan belajar membuat serbuk/pupuk tuhau, pes tuhau dan tuhau flakes untuk dicampurkan ke dalam masakan ayam atau daging. Satu benda baharu bagi tanomkinotuan yang hanya tahu membuat sambal atau jeruk tuhau juga hanya hiris umbut tuhau dan dicampur dalam masakan ayam tumis atau daging. Harap ada pembaca diluar sana yang ingin membuat bisnes kecil-kecilan membuat serbuk tuhau, pes tuhau dan tuhau flakes sebagai satu rempah ratus dalam masakan orang-orang tempatan Sabah.

Di rumah tanomkinotuan mengopek kulit kerasnya dan mengalihkan umbut muda anak tuhau ke dalam satu bekas. Bila selesai semuanya tanomkinotuan membuat jeruk tuhau satu balang dan sambal tuhau satu balang. Selebihnya tanomkinotuan membuat pes tuhau untuk dimasak ayam masak tuhau pada sebelah petangnya. Cara membuat pes tuhau ialah ambil umbut mudanya dan blender hingga hancur, untuk lebih tahan lama campurkan garam dan cuka sedikit dan masukkan dalam botol kedap udara dan disimpan dalam peti sejuk. 

Berikut adalah jeruk tuhau versi tanomkinotuan:

1. satu ikat umbut tuhau/umbut tepus/umbut upek kecala

2. sepuluh hingga lima belas biji cili burung/cili padi

3. lima biji limau nipis/ limau kasturi

4. 10 helai daun basil/kemangi

5. 4 helai daun pudina

6. 1/2 potongan daun bawang losun, potong 1/2 inci

7. garam secukupnya


Cara membuatnya:

1. Bersihkan umbut tuhau dan tumbuk hingga hancur.


2. Masukkan tuhau ke dalam mangkuk besar dan bubuh limau nipis, garam, daun basil/kemangi, daun pudina dan daun bawang losun.

3. Gaul hingga semua bahan menjadi sebati, rehatkan 5 hingga 10 minit dan sedia untuk dihidang.

Selamat bertani dan menuai hasil.

1 komentar:

 
Top