Pokok selayur merupakan jenis tumbuhan herba yang digolongkan dalam kumpulan rumpai yang mudah tumbuh di negara kita khususnya di kawasan semak, tepi padang dan halaman rumah yang lembab. Pokoknya tidak berbatang, tingginya kira-kira 10 hingga 15 cm dan mempunyai daun berbentuk oval dengan garis urat 3 serangkai dan berwarna hijau muda. Batangnya kecil kurus dan panjang. Bunganya berbatang memanjang dengan setiap kudup matang menghasilkan benih berwarna hitam. Pokok herba ini mempunyai nilai perubatan tradisional sebagai penyembuh penyakit.

Seperti kelazimannya, tanomkinotuan ke tamu mingguan di Keningau pada minggu lepas, tujuannya tidak lain hanya cuci mata melihat pelbagai barangan, peralatan, sayur-sayuran dan buah-buahan yang banyak dijual di sini. Pelbagai ragam dan kelakuan manusia boleh diperhati dengan penuh kesedaran dan rasional pada diri tanomkinotuan. Gelak ketawa, suara memekik bagi melariskan jualan adalah resam budaya dan satu kebiasaan di tamu. Tiba-tiba tanomkinotuan terpandang satu longgokan tumbuhan yang disusun rapi di tepi jualan bersebelahan dengan cekur manis/sayur manis. Dengan keterpegunan tanomkinotuan melihat tumbuhan yang tidak asing lagi di mata tanomkinotuan, apa tidaknya tumbuhan tersebut banyak tumbuh meliar di halaman rumah dengan galak malah jika dibandingkan yang di depan mata dengan yang tumbuh di halaman rumah lebih subur sifatnya. 

Sambil otak tanomkinotuan ligat berfikir mengenai kegunaan tumbuhan tersebut dan sambil tanomkinotuan memandang si penjual yang duduk sambil membetulkan ikatan sayur pucuk ubi manisnya. Ternyata si penjual berusia dalam lingkungan 50an dan berbangsa Cina, dari loghat pertuturannya tanomkinotuan dapat meneka dia adalah Cina keturunan Hakka. Untuk makluman keturunan Cina yang tinggal di Sabah majoritinya adalah dari suku Cina Hakka (makai tongxi?)

Dengan penuh tanda tanya dan persoalan yang berlegar-legar di kepala ini, tanomkinotuan langsung bertanya tentang nama tumbuhan tersebut dan cara memasaknya (sebagai sayur). Sebenarnya tanomkinotuan sudah sedia maklum bahawa tumbuhan tersebut tidaklah kelihatan seperti sayuran yang enak. Tanomkinotuan hanya ingin mendengar jawapan balas dari si penjual tersebut. Dengan senyumannya dia membalas dengan mengatakan tumbuhan ini bukan sayur tetapi sebagai ubat, Ia mujarab mengubat pundi kencing bermasalah dan kencing kotor. Dengan merebus 2 hingga 3 pokok tumbuhan ini dengan jumlah air 5 mangkuk besar. Rebus sehingga menjadi 3 cawan dan minum sebelum serapan pagi. Nenek Cina tersebut menyebut namanya dalam bahasa Cina tetapi tanomkinotuan lupa, menyesal tidak tulis perkataan tersebut masa tu. Bertentangan dengan penjual Cina  tersebut terdapat seorang lagi penjual telah mencelah dengan mengatakan tumbuhan tersebut dikenali sebagai pokok selayur. Tanomkinotuan tidak mengetahui apa istilah yang digunakan oleh kaum Melayu di Semenanjung sana, Pokok Herba Selayur adalah istilah yang digunakan oleh kaum Brunei di Pantai Barat Sabah.

Tanomkinotuan tidak membelinya kerana tanomkinotuan tahu untuk mendapatkannya jika perlu. Tidak sangka bahawa pokok yang sering dipijak, dicabut malah cuba untuk hapuskannya itu adalah pokok herba yang tinggi nilai perubatan dalam merawat masalah pundi kencing dan kencing kotor. Tidak sia-sia tanomkinotuan ke tamu pada masa itu kerana mendapat satu lagi ilmu baharu yang boleh diamalkan bila perlu. Tanomkinotuan akan menanam pokok-pokok selayur ini di KBR agar boleh digunakan nanti sekembalinya tanomkinotuan dari tamu. Lebih elok tanam dalam pasu dan biakkan ia melalui benihnya.

Selamat bertani dan menuai hasil.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top