Kali ini tanomkinotuan ingin berkongsi pula beberapa kaedah atau cara paling ideal untuk mencambahkan benih timun mini. Benih timun mini atau jenis timun lain adalah jenis benih cepat bercambah. Anggaran percambahan benih tersebut ialah 2 hingga 7 hari. Namun begitu untuk hasil yang baik. Harus dapatkan benih timun mini yang masih baharu dan segar agar peratusan percambahan dan pertumbuhan adalah tinggi. 

Timun mini atau Five Mini Cucumber ini agak popular di tanam di Negara-negara Eropah untuk dijadikan jeruk timun (pickle cucumber). Rupa-rupanya masyarakat Eropah juga gemar memakan jeruk timun yang direndam dalam air garam bersama gula dan sedikit vinegar dan dicampurkan sedikit dill yang diperam dalam tempoh tertentu. Selalunya mereka menjeruk buah timun sebiji-sebiji ke dalam balang kedap udara tanpa dibelah atau dipotong, cuma hiris dihujungnya bagi memudahkan garam dan cuka meresap ke dalam buah timun. Jadi  bolehlah kiranya membuat jeruk timun mini ini jika anda ada menanamnya. Kepelbagaian makanan yang enak memberikan satu stail baharu dalam hidup anda. 

Berbalik kepada tujuan asal entry ini, mencambahkan benih timun mini tidaklah sesusah mana. Ada beberapa cara paling ideal yang boleh dipraktikkan oleh pembaca semua antaranya ialah:

1. Menyemai langsung pada batas

Bagi mereka yang ingin menanam pokok timun pada batas atau tanah di halaman rumah anda. Anda boleh menanam secara langsung benih timun mini ini dengan membuat sedikit kerja di mana perlu membuat pengemburan pada batas atau tanah terlebih dahulu.

Gunakan cangkul atau alat sesuai untuk mengemburkannya. Bubuh baja organik seperti kompos atau tinja ayam. Anda juga boleh menggunakan baja organik butir atau pellet yang dijual di kedai pertanian tetapi harus direhatkan tanah anda sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum menanam. Ini bertujuan agar baja organik butir atau pellet yang digunakan sebati dengan tanah.

Gunakan kapur pertanian (lime) untuk mengurangkan tanah terlalu berasid. Anda juga boleh menggunakan abu bakar dari dedaun kering untuk mengantikan kapur pertanian jika ia sukar diperolehi. 

Jika tanah anda jenis tanah liat di mana terlalu meleket ketika basah, jangan bimbang tambah sahaja sejumlah kompos dalam kandungan yang banyak dan pasir. Gaul hingga bercampur semuanya.

Selesai kerja di atas bermakna anda sudah boleh menyemai benih timun mini dengan membuat lubang di tengah batas kira-kira 1 hingga 2 inci dengan jarak antara lubang ialah 1.5 kaki. 

Tanam 1 hingga 2 benih untuk satu lubang dan timbus semula lubang tersebut. Jika 2 benih tersebut bercambah dengan jayanya. Cabut anak benih timun mini yang kurang galak pertumbuhannya dan biarkan sepokok untuk 1 lubang. Siram dengan jumlah air secukupnya.

Kaedah ini cukup praktikal di mana anda tidak perlu mengalihkan semua anak benih ditempat lain, jimat tenaga. Keburukannya pula adalah serangan semut atau makhluk perosak pemakan benih. Gunakan rempah kari atau apa-apa rempah yang ditaburkan ke atas batas anda bagi mengelakkan semut berkuntum di sana.

2. Menyemai di dalam pasu atau kontena

Bagi mereka yang tidak cukup ruangan untuk berkebun, anda masih boleh menyemai dan menanam pokok timun mini ini di dalam pasu atau kontena. Anda juga boleh menggunakan bekas polibag bersaiz besar.

Sediakan media campuran di mana 2 bahagian tanah lom/hitam. 1 bahagian pasir sungai dan 1 bahagian kompos/baja organik. Campurkan ketiga-tiga media tersebut hingga sebati semuanya. Anda boleh membeli media potting soil yanga da dijual di pasaran. 

Masukkan ke dalam pasu atau kontena mahupun polibag yang disediakan. Hentak-hentakkan secara perlahan-lahan bagi memastikan udara atau liang-liang media dapat dikurangkan.

Semai benih timun mini dengan membuat lubang kira-kira 1 hingga 2 inci dan masukkan benih tersebut dan timbus semula dengan tanah. Siram menggunakan air secukupnya.

Kelebihan cara ini ialah bagi mereka yang mempunyai ruang laman yang terhad. Sangat praktikal dan mudah dialihkan. kekurangannya pula ialah akar timun mini tidak bebas bergerak di dalamnya.

3. Menyemai dalam cup plastik

Gunakan media campuran untuk menyemai benih timun mini ini iaitu media campuran dimasukkan ke dalam cup plastik dan semai benih timun mini. Jangan lupa siram dengan air secukupnya. letakkan cup plastik anda di tepi tingkap dapur untuk pencahayaan. Tunggu benih timun selama 1 hingga 2 minggu barulah dialihkan ke batas atau pasu.

Kaedah ini adalah cara paling selamat, percambahannya 90% berjaya tanpa gangguan semut atau makhluk perosak pemakan benih. Namun kelemahannya anda akan bekerja dua kali untuk menyiapkan kerja ini.

4. Semaian haba

Kaedah ini adalah kaedah menggalakkan benih untuk bercambah melalui kelembapan. Caranya,  sediakan plastik lutsinar bersaiz sederhana, sekeping tisu dan serum EM1 atau air bersih.

Letakkan beberapa benih di atas tisu tadi. lipat tisu tersebut dengan sekali lipat untuk membungkus benih-benih tersebut. Sembur dengan serum EM1 dengan melembabkan tisu tersebut. Jangan terlalu basah. Masukkan tisu tersebut ke dalam plastik lutsinar dan stapler mulut plastik tersebut.

Gantung plastik tersebut di gendela yang terkena haba matahari. Tunggu benih timun mini bercambah. Mengikut pengalaman, cara percambahan ini hanya mengambil 2 hari untuk benih tersebut mengeluarkan tunas. Bila mana ia sudah mengeluarkan tunas bolehlah dialihkan ke pasu atau batas yang anda telah sediakan. Perlu diambil perhatian bahawa percambahan benih timun mini menggunakan kaedah ini haruslah cukup habanya. 

5. Cambahan dalam peti sejuk

Kaedah ini juga sesuai dan praktikal untuk benih timun mini. Caranya sama sahaja dengan semaian haba cumanya ia perlu suhu sejuk untuk bercambah.

Anda boleh memilih mana-mana kaedah yang difikirkan sesuai. Tanomkinotuan sudah mencuba kelima-lima kaedah ini untuk semaian benih timun mini dan jenis timun yang lain. Semuanya berjaya bercambah dengan baik tanpa sebarang masalah. Kedah ini juga boleh diaplikasikan kepada benih-benih yang lain kecuali benih asparagus. 

Selamat bertani dan menuai hasil.


0 komentar:

Posting Komentar

 
Top