APAKAH ITU TOPSOIL?


Topsoil ialah merujuk kepada lapisan paling atas kira-kira 5 cm hingga 30 cm dari atas permukaan bumi. Topsoil terbentuk apabila batuan berderai dan hancur melalui proses geologikal bumi atau dihabakan secara berterusan dan bertukar menjadi serpihan-serpihan kecil yang kemudiannya tertolak ke permukaan atas bumi.


Dalam proses ini, bahan organik seperti dedaunan, kayu mati dan sebagainya tercampur secara langsung ke dalamnya secara alami. Dalam satu inci topsoil di aras permukaan bumi mengambil masa ribuan tahun untuk terbentuk. Oleh itu hutan belantara yang belum terusik strukturnya mempunyai topsoil yang bermutu tinggi.

Topsoil boleh sahaja mengandungi benda mati, bahan-bahan organik, mikroorganisma, dan cacing. Komponen ini membantu topsoil untuk menyediakan nutrient tinggi kepada tumbuhan. Kualiti dan kuantiti topsoil diukur dengan melihat kandungan organisma hidup seperti namatod, serangga pengurai, fungi dan bakteria. Semua organisma hidup ini berperanan besar terhadap kualiti topsoil. Penghasilan topsoil bergantung pada bahan yang terdapat disekelilingnya. 

KOMPOSISI DAN KANDUNGAN DALAM TOPSOIL


Biasanya topsoil mengandungi tanah lampung (loam), kelodak dan pasir. Selain itu terdapat juga kompos hasil tindakbalas kimia di dalamnya. Topsoil juga mengandungi mikroorganisma hidup dan reputan haiwan.

APAKAH MANFAAT TOPSOIL DALAM PERTANIAN?

Topsoil digunakan untuk memberbaiki struktur tanah dengan mencampurkan atau membubuh topsoil pada kawasan tanah yang diusahakan bagi kepentingan pertanian. Lazimnya topsoil ada dijual di pasaran tempatan dalam beg kecil mahupun besar bagi keperluan petani dan pekebun sembilan yang berminat dalam aktiviti perkebunan di halaman rumah. Penambahan topsoil pada media tanaman sedia ada bukan sahaja membaikpulih struktur tanah malahan membekalkan nutrient kepada tanah yang seterusnya digunakan oleh tanaman sebagai makanan.

Topsoil juga dapat memperbaiki pengudaran dalam tanah. Makluman bahawa kandungan topsoil yang utama ialah tanah loam, kelodak (silt) dan pasir. Ini menunjukkan bahawa pasir tersebut dapat memisahkan kepadatan topsoil seterusnya udara-udara bebas bergerak di dalamnya. Pengudaraan yang baik membolehkan tanaman tersebut tumbuh dengan sempurna.

Percampuran topsoil pada batas membolehkan batas berada dalam keadaan lembab dan lambat kering. Serapan air pada topsoil sangat tinggi kerana kandungan kompos didalamnya mampu mengekang air daripada cepat kering. Topsoil juga digunakan sebagai tanah untuk menanam rumput laman kerana struktur topsoil dan kandungan humus yang sangat tinggi. Menanam rumput laman dengannya sangat bertepatan membantu pertumbuhan rumput dengan cepat. Topsoil juga terkenal dalam membuat lanskap taman di mana topsoil dibubuh di atas batas bagi menambah nutrisi pada batas tersebut di samping dekorasi atas sebab keunikan pada tanah topsoil itu sendiri.

Bagi pekebun sambilan (pengemar aktiviti berkebun secara sambilan dan hanya untuk mengisi masa lapang, selalunya menanam sayuran hanya di halaman rumah dan menanam dalam pasu) pula mereka menggunakan topsoil sebagai media semaian, media tanaman untuk sayuran dan digaul bersama tanah sedia ada bagi memulihkan tanah batas yang digunakan untuk menanam pokok sayuran. Tidak sah seorang pekebun sambilan sekiranya tidak menggunakan topsoil sebagai media tanaman. Walau bagaimanapun, topsoil kurang berkualiti jika dibandingkan dengan tanah kebun (garden soil) yang ada di pasaran kerana tanah kebun tidak menggunakan tanah sebagai bahan asasnya tetapi bahan-bahan organik campuran.

TOPSOIL VS KOMPOS

Topsoil ialah tanah di atas permukaan bumi kira-kira 5 hingga 30 cm. Topsoil kadang-kadang campuran dari organik, organisma hidup, kayu reput, lalang daun reput dan sebagainya. Mengandungi tanah lampung, kelodak dan pasir.

Kompos ialah reputan dari bahan organik seperti sisa dapur, rumput, daun, kayu, lalang dan sebagainya. Topsoil mengandungi 70 peratus tanah dan selebihnya ialah kompos manakala kompos pula megandungi 80 peratus kompos/organik dan 20 peratus tanah.

TOPSOIL VS HUMUS

Humus terjadi apabila berlaku pereputan sisa organik seperti daun kering, kayu, rumput dan lain-lain di kawasan hutan belantara. Humus adalah organik yang kaya dengan nutrient. Mengambil jutaan tahun untuk terbentuk.

Topsoil pula merujuk pada tanah. Kira-kira 5 hingga 30 cm di atas permukaan bumi. Topsoil juga mengandungi bahan organik tetapi jumlah sedikit juga mengandungi humus didalamnya. 70 peratus ialah campuran tanah lampung, kelodak dan pasir.

TOPSOIL VS TANAH PASUAN (POT SOIL)

Tanah pasuan ialah dihasilkan daripada bahan-bahan organik dan mudah reput seperti lumut spaghum, kulit kelapa hancur, rumput kering, batang jerami gandum dan lain-lain. Kesemua bahan ini dihancurkan digaul bersama. Tanah pasuan tidak mempunyai tanah langsung. 100 peratus ialah bahan organik reput.

Topsoil pula ialah tanah di atas permukaan bumi yang mengandungi lampung, kelodak dan pasir. Ia juga mengandungi bahan organik di dalamnya hasil tindakbalas kimia secara semulajadi.

CARA MENGHASILKAN TOPSOIL SENDIRI DI RUMAH 

1. Cari kawasan hutan atau belukar berdekatan dengan rumah anda.

2. Cari lokasi kawasan yang sesuai untuk mendapatkan topsoil yang berkualiti di mana pastikan kawasan yang dipilih kurang semak samun, lapang dan selamat. Sekiranya lokasi yang dipilih mempunyai semak maka tebas semak itu dengan menggunakan parang.

3. Buat pancang dengan ukuran 5x5 kaki atau 10 x10 kaki persegi atau mengikut kehendak anda. Jika anda memerlukan topsoil yang banyak maka besarlah saiz kawasan yang dipancang. Anda boleh abaikan langkah ini jika anda seorang yang bukan jenis skema. Tanomkinotuan abaikan langkah ini, langsung gerakkan cangkul setelah dibersihkan tempat itu. 

4. Bersihkan kawasan persegi yang dipancang tadi. Alihkan daun kering, ranting kayu dan benda asing lain dalam lingkungan kawasan yang dipancang itu tadi.

5. Keluarkan cangkul dan cangkul kawasan yang dibersihkan tadi dengan mengorek sedalam 5 cm hingga 30 cm sahaja. Lebih dari 30 cm ia dikenali sebagai subsoil yang mengandungi sedikit garam, kurang tanah lampung, dan mineral lain yang menjejaskan pertumbuhan tanaman jika digunakan. Tempatkan topsoil tersebut ke tempat lain dalam timbunan yang kecil.

6. Pada timbunan topsoil itu tadi, alihkan bahan-bahan seperti batu besar n kecil, kayu, ranting, akar dan segala bendasing didalamnya. Kita mahu topsoil yang bebas dari bendasing tidak berguna. Sebaik-baiknya tapis topsoil anda dengan alat penapis yang dibawa.

8. Analisa dan perhatikan topsoil yang dikorek tadi, topsoil yang berkualiti mengandungi 7 hingga 27 peratus tanah lampung (clay), 28 hingga 50 peratus kelodak (silt) dan kurang dari 52 peratus pasir. 

9. Juga buat analisis kandungan organik pada topsoil yang digali tadi.

10. Sekiranya anda berpuas hati akan topsoil anda itu, maka topsoil itu boleh di pek dalam karung dan ianya boleh digunakan untuk media tanaman bilamana anda sudah kembali ke rumah.

11. Jika tidak, topsoil itu masih elok dan berguna cuma anda boleh menambah topsoil tersebut dengan kompos dalam lingkungan 35 peratus mengikut jumlah topsoil yang anda kumpul tadi. Ianya sudah boleh digunakan sebagai media. Dengan itu anda sudah memiliki topsoil buatan sendiri. Apa yang pentingnya ialah percuma dan jimat wang.

12. Timbus semula bekas korekan tanah tadi dengan daun-daun kering yang dialihkan di awal proses tadi agar proses pereputan dan pengomposan berjalan seperti sedia kala. Topsoil akan terhasil kali kedua melalui tindakan tersebut.

CARA MENGGUNAKAN TOPSOIL

1. Campurkan topsoil buatan sendiri dengan kompos, gaul merata dan bubuh dalam pasu. Guna media semaian ini untuk menyemai benih sayur seperti sawi, terung, dan lain-lain.

2. Batas yang dibentuk, dibersihkan serta digaul bersama tinja binatang atau kompos. Lapisi batas tersebut dengan topsoil kira-kira 6 hingga 7 inci di atasnya. Ia berfungsi untuk zat makanan, kelembapan tanah dan memperbaiki struktur tanah.

3. Menyemai benih menggunakan topsoil 100 peratus. Masukkan topsoil buatan sendiri dalam bekas semaian atau pasu semaian. Tabur benih sayuran dan siram. Sebenarnya penggunaan nisbah 2:1:1 adalah menyamai komposisi dan kandungan pada topsoil buatan sendiri atau topsoil dagangan (yang dibeli). 


Tips dan perhatian:

1. Jangan sesekali menceroboh tanah milik persendirian atau tanah milik kerajaan semata-mata mendapatkan topsoil buatan sendiri. Bukan topsoil yang anda dapat tetapi saman ribuan ringgit.

2. Berhati-hati menggunakan alatan khususnya parang.

3. Lakukan dengan niat yang baik maka hasil yang diperolehi juga baik.

4. Simpan topsoil anda ditempat terlindung hujan dan panas takut mematikan organisma hidup yang baik dan hujan melarutkan kandungan nurient pada topsoil buatan sendiri.

5. Lokasi hutan atau belukar yang tidak terusik oleh pembangunan mempunyai kualiti topsoil yang tinggi. Cuba cari kawasan tersebut untuk tujuan di atas.

6. Bagi mereka yang tinggal di kawasan perumahan boleh dapatkan topsoil di kampung halaman dan bawa balik ke rumah anda sendiri. Anda bukan hanya memperolehi topsoil tetapi dapat bejumpa ahli keluarga anda di kampung.

7. Kepada mereka yang tidak ada kampung, hutan belukar pun tidak jumpa, solusi untuk anda datang ke kedai pertanian dan beli sekampit topsoil. 

Umum diketahui bahawa topsoil telahpun digunakan dan dimanfaatkan oleh orang-orang terdahulu khususnya nenek moyang, atuk dan nenek kita. Mereka tahu tanah dipermukaan bumi ini subur dan sesuai untuk menanam. Kadang-kadang terlihat kerja mereka mengali tanah ini dan dimasukkan ke dalam bekas untuk tujuan menyemai benih. Dan selalunya di kampung-kampung bilamana hendak menyemai benih buah-buahan dalam polibag atuk atau ayah kita akan ke belukar belakang rumah untuk menggali tanah dan memasukkannya ke dalam polibag, tanah yang digali oleh atuk atau ayah kita adalah tanah topsoil. Hanya saja kita tidak menyebut istilah topsoil tetapi tahu tanah itu bagus untuk tanaman dan bernutrient tinggi.

Sebenarnya menghasilkan topsoil sendiri tidaklah sesusah mana, cumanya mahu buat dan tidak mahu buat saja. Lagi pun kerja-kerja mengali, berjalan adalah aktiviti sihat. Keluar peluh dan badan cergas. Walaupun leceh sikit tetapi berbaloi. Topsoil yang berkualiti ialah topsoil buatan sendiri. Ini kerana topsoil yang dibeli di pasaran adalah topsoil segera iaitu tanah biasa yang diadun dengan campuran-campuran tertentu. Kadang-kadang ianya mengandungi fungicide dan racun serangga yang boleh membunuh tanaman anda.

Nota: some of pictures above are not mine.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top