Sebenarnya, jenis tomato brandywine inilah yang mula-mula sampai ke Sabah dan menguasai pasaran awal tahun 1970-an. Di mana-mana ada saja variati tomato ini dijual tidak kira di pasar siang atau pasar malam. Akhir tahun 1990-an tomato brandywine semakin tenggelam setelah kehadiran pelbagai jenis tomato di pasaran seperti tomato ceri, tomato roma, tomato beafsteak dan banyak lagi. Ada orang kata bahawa tomato brandywine adalah tomato kampung dengan alasan ia di tanam oleh pekebun-pekebun kecil. Sebenarnya tomato brandywine adalah jenis heirloom (di mana pengubahan genetik hanya satu jenis variati tomato). Oleh kerana ia sampai dulu ke Sabah maka ramai yang kata ia adalah tomato kampung.
Tomato brandywine sangat tahan penyakit dan boleh hidup dengan baik di kawasan tanah tinggi dan tanah rendah. Mempunyai rasa asam yang kuat berbanding dengan variati tomato lain. Kulitnya agak nipis dan kandungan biji terlalu banyak. Oleh itu ia cepat rosak dan memburuk. Tomato ini boleh disemai menggunakan biji yang diambil dari buahnya. Tomato brandywine yang sekarang ini adalah tanaman musim ketiga. Tanaman musim pertama benihnya diambil dari buah yang dibeli di pasar malam. Seorang nenek menjual tomato ini dan tanomkinotuan beli dua plastik dengan harga RM4.00.
Pokok tomato brandywine menyukai tanah gembur dan lembab. Tanomkinotuan gemburkan tanah batas dan gaul bersama kompos kelapa sawit. Untuk pengetahuan pembaca, tomato sangat sesuai tumbuh dengan kompos kelapa sawit. Batang dan daunnya besar dan lebar. Walaupun tomato brandywine tahan penyakit tetapi secara keseluruhannya pokok tomato tidak kira apa variati mudah diserang penyakit layu pucuk dan pertumbuhannya tidak lagi seragam, terbantut. Tomato juga tidak menyukai kawasan yang ditakungi air, ia boleh layu dan mati. Pastikan dibuat batas untuk menanam pokok tomato.
Apabila tomato sudah berbunga dan berbuah, perlu gandakan baja yang ditabur disekeliling pokok. Untuk pertumbuhan yang galak, bubuh segenggam baja NPK organik dari tinja binatang disekeliling pokok tomato kerana ia mengandungi nitrogen yang tinggi selang dua minggu. Untuk bunga dan buah pula, disyorkan menggunakan baja organik bone meal dan tabur dua sudu bone meal disekeliling pokok tomato selang dua minggu. Selepas anda mengutip hasil buah tomato, bubuh segenggam baja kompos dan dua sudu baja bone meal untuk mendapatkan hasil buah yang cantik.
Pokok tomato matang setelah 3 bulan dan akan menghasilkan buah selagi pokoknya mengeluarkan kudup bunga. Tanam pokok tomato di halaman rumah anda sama ada ditanam terus pada tanah atau dalam pasu. Ia boleh mencantikkan halaman rumah anda selain membekalkan buah tomato yang cantik.
Selamat bertani dan menuai hasil.
0 komentar:
Posting Komentar