Pemulsaan atau sungkupan bermaksud benda atau sesuatu bahan yang digunakan untuk membuat sungkupan kepada batas tanaman bagi tujuan tertentu. Sungkupan juga bermaksud memberi kelembapan pada batas tanaman. Mulsa diaplikasikan dengan meletakkan sesuatu benda di atas permukaan batas secara menyeruluh.

Berdasarkan kepada jenis mulsa atau sungkupan, terdapat pelbagai faedah apabila menggunakan teknik sungkupan pada batas atau sekeliling tanaman kita seperti;

1. Mengekalkan kelembapan pada batas tanaman. Mulsa memperlahankan pengeringan air di mana batas senantiasa lembab.

2. Melindungi akar tanaman dari sinaran matahari terik.

3. Membaikpuluh struktur tanah atau batas

4. Mencegah serangan dari beberapa jenis serangga perosak.

5. Menghalang benih rumput rumpai dari bercambah di atas batas.

6. Sebagai dekorasi yang mencantikkan di sekitar batas.

7. Mengurangkan hakisan pada batas oleh hujan lebat.

Mulsa boleh dibahagikan kepada dua jenis yang utama iaitu mulsa mudah reput dan mulsa tidak mereput. Antara contoh mulsa mudah reput ialah rumput kering, daun lalang kering, daun, reputan kayu buruk, tinja binatang, kompos cendawan, rumput laut, cocopeat, peat moss, dedaun kelapa kering, ranting kayu jenis lembut
dan kompos aquatik. Mulsa jenis ini berfungsi membaiki struktur tanah dan membekalkan nutrisi pada tanah setelah bahan tersebut mereput. 

Bagi mulsa tidak mereput pula ialah apa-apa bahan material yang tidak mereput walaupun berada di tanah bertahun-tahun seperti papan batu, genting, batu kerikil, batu sungai dan sebagainya. Walaupun ianta tidak membantu memperbaiki struktur tanah dan membekalkan nutrisi tetapi mulsa tidak mereput ini memberikan sumbangan dalam dekorasi atau hiadan laman kerana sesetengah daripadanya mempunyai keunikan dan bentuk menarik.

Penggunaan sungkupan pada tanaman adalah perlu. Biasanya apabila anak pokok sayuran anda sudah berusia dua hingga tiga minggu selepas ditanam elok meletakkan sungkupan pada batas atau permukaan pasu atau disekeliling pokok. Ini supaya batas sentiasa lembab dan akar tanaman mudah menyerap makanan. Sungkupan juga mengurangkan rumpur rumpai memenuhi batas atau dalam pasu anda. Ini sudah menjimatkan tenaga anda untuk melakukan kerja-kerja merumput. Berikut adalah bahan yang boleh dijadikan sungkupan pada batas atau pasu anda:

  • Cocopeat
  • Sabut kelapa yang dicarik/sabut nyok/sabut nyior
  • Sekam padi/kulit padi
  • Jerami padi
  • Lalang kering
  • Daun kering
  • Rumput kering
  • Peat moss
  • Reputan kayu
  • Habuk papan
  • Tinja binatang
  • Surat khabar
  • Kertas buangan
  • Hempas kelapa sawit
  • Kompos
  • Rumput yang baru dipotong di halaman rumah anda
  • Plastik (lazimnya pertanian ladang guna cara ini)
  • Kulit kayu

Cara sungkupan yang paling ideal ialah meletakkan 5 cm mulsa pada keseluruhan batas atau pasu anda. Ratakan hingga meyaluti tanah. Sangat efektif jika anda membuat batas dan langsung membubuh mulsa setelah proses pengapuran dan pengomposan selesai dilakukan. Jangan risau jika terlihat fungi pada mulsa yang hampir reput. Fungi tersebut tidak mengancam tanaman anda malah ia berfaedah untuk membantu menguraikan mulsa anda sebagai makanan tanaman anda. Walau bagaimanapun, terdapat fungi yang hidup pada sungkupan yang boleh mematikan tanaman tetapi kes-kes terpencil.

Ikuti panduan di bawah untuk sungkupan batas anda.

Berikut adalah langkah meletakkan sungkupan pada batas:

1. Sekiranya anda membuat batas tanaman, gembur batas terlebih dahulu. Buang segala bendasing dan bubuh kompos atau tinja binatang juga tabur serbuk kapur. Akhir sekali ratakan dengan mulsa kayu reput atau cocopeat setebal kira-kira 5 cm. Siram dengan air agar mulsa mendap dan tidak mudah diterbangkan oleh angin.

2. Bagi anak pokok buah-buahan pula tabur atau letakkan jerami, atau daun kering di sekeling pokok dengan ukur lilit 2 kaki. Siram supaya ia tidak diterbangkan oleh angin.

3. Pada pasu anda, letakkan cocopeat atau peat moss setebal 5 cm secara menyeluruh. Siram dengan air.

 selamat mencuba.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top