Pagi ini tanomkinotuan ke Kebun Getah (KG) bersama emak tersayang. Jam 5 pagi sudah pun bangun dan usai solat subuh bersiap-siap ke KG, bekalan makanan (kokorui) disediakan alah kadar serta tidak lupa membawa plastik hitam yang penuh dengan biji benih untuk disemai di sana. Jarak KG dari rumah tidak lah jauh sangat lebih kurang 6 minit boleh sampai jika menaiki kereta. Namun jika berjalan kaki boleh mengambil masa 38 minit. Kaki boleh kejang jika tidak biasa.
Tiba di KG tanomkinotuan wajib melawat dahulu di sekeliling kebun getah ini, melihat perkembangan sayuran yang ditanam di sini. Gembira tidak terkata melihat sayur-sayuran menjadi dengan baik tanpa banyak gangguan kecuali pokok keladi yang ditanam 2 bulan yang lalu. Habis daunnya diserang kulat hingga gondol. Tanomkinotuan menyarankan emak tanomkinotuan membeli racun kulat untuk mengurangkan serangan tetapi emak tanomkinotuan melarang katanya ia masih boleh mendatangkan hasil walaupun agak kurang.
Berbalik kepada tajuk di atas, tanomkinotuan ada menanam pokok ubi kayu kampung jenis heirloom sebenarnya. Selain sayuran daun, ubi kayu juga salah satu tanaman yang ditanam di KG. Dengan pokok ini, emak tanomkinotuan boleh membuat pelbagai masakan dan resepi kuih tradisional sama ada dimakan begitu sahaja (rebus), dijadikan kerepek, dikukus dan dijadikan bubur ubi kayu dengan campuran buah pisang dan bijirin. Tanomkinotuan pernah menghasilkan sendiri kerepek kanji ubi kayu pada masa dahulu yang diparut dan distim sehingga masak. Hiris nipis-nipis apabila sudah sejuk dan keringkan dibawah pancaran matahari yang terik selama seminggu atau hingga ia benar-benar kering. Goreng kerepek tersebut dengan minyak panas. Sungguh tidak terkata akan keenakannya. Emak tanomkinotuan rajin menyediakan makanan seperti dinyatakan di atas, sebab itu ditanam beberapa batang ubi kayu untuk tujuan berkenaan.
Pokok ubi kayu ini adalah mudah tumbuh dan cepat menghasilkan isi yang berwarna putih. Batang jenis memanjang tanpa cabang. Daun bertangkai panjang pada batang dengan daun beruas 6. Pokok ubi kayu menghasilkan umbisi dari akar yang membesar dalam tanah. Tanah gembur dan berpasir yang kaya nutrisi sangat sesuai untuk pertumbuhan pokok ubi kayu. Ubi kayu ditanam menggunakan keratan batang yang matang, caranya potong. 1 kaki panjang setiap keratan dan tanam batang itu ke tanah yang telah siap digembur dan dibubuh baja. Lazimnya tanomkinotuan lebih gemar menanam keratan batang ubi kayu dengan menanamnya secara melintang ke tanah, korek tanah mengikut panjang batang ubi kayu dan masukkan batang ubi kayu secara melintang dan kambus dengan tanah. Seeloknya hujung batang ubi kayu harus terkeluar di permukaan tanah untuk memudahkan tunas untuk membesar.
Tanomkinotuan tidak memberikan perhatian sangat kepada pokok ini, selepas tanam sehingga membesar (dalam gambar) hanya sekali dibersihkan dengan membuang rumput rumpai di sekelilingnya. Pokok ubi kayu di KG ini tidak pernah dibaja. Namun masih gagah berdiri malah galak pertumbuhannya. Kadang-kadang sebatang pokok ubi kayu yang ditanam akan mengeluarkan 1 hingga 3 tunas baru yang akan menjadi pokok yang membesar. Seeloknya patahkan atau buka batang yang terbantut pertumbuhan untuk memfokuskan makanan pada sepokok ubi kayu. Isi ubi kayu juga boleh dijadikan sayur di mana masak tumis dengan ikan sardin dalam tin. Masukkan air tunggu hingga ubi tersebut masak. Boleh ditambah sayur daun seperti tutan, bayam, okra atau kentang. Tak perlu makan nasi dah. 3 in 1 pakej sempurna.
Ubi kayu jenis ini menghasilkan isi yang panjang dan besar serta pucuk mudanya boleh dijadikan sayur atau ulam. Anda sebenarnya boleh menanam pokok ubi kayu di halaman rumah juga boleh ditanam di dalam pasu yang besar.
Selamat bertani dan menuai hasil.
0 komentar:
Posting Komentar