Companion plant atau tanaman campuran ialah idea menanam beberapa jenis tanaman yang sesuai bersama dalam satu batas bagi tujuan perlindungan, pendebungaan dan nutrisi. Pemilihan tanaman yang ditanam bersama adalah perlu agar kedua-dua atau lebih tanaman boleh tumbuh dengan baik. Tanomkinotuan telah mempraktikan teknik companian plant di KBR sebagai salah satu cara mengelak serangan makhluk perosak dan perlindungan serta memaksimumkan ruang. Ia berkesan dan mengurangkan tenaga tanomkinotuan membuat racun organik. Berikut contoh tanaman campuran berdasarkan gambar:


Gambar di atas merupakan beberapa jenis tanaman yang ditanam dalam satu batas, ia bukan saja memberikan perlindungan dari cuaca terik tetapi juga sesuai dipraktikan pada ruang yang terhad. Sawi bunga, pokok petola ular, tutan dan tomato adalah sesuai ditanam bersama. Ia tidak mendatangkan mudarat kepada mana-mana pokok malah semuanya tumbuh dengan baik. Namun pokok petola ular dan timun armenia tidak boleh ditanam bersama kerana petola ular cepat membesar berbanding timun armenia dan ini menjejaskan pertumbuhan timun armenia. 

Sawi bunga masih boleh hidup subur bersama pokok petola ular dengan syarat tanam sawi bunga terlebih dahulu. Kira-kira pokok sawi sudah berusia dua minggu tanam pokok petola ular. Walaupun petola ular ditanam kemudian ia cepat membesar dan memberikan perlindungan sinar matahari terik kepada sawi bunga. Pokok tutan boleh hidup dan tumbuh dengan baik mana-mana tanaman. 


Gambar kedua pula adalah bayam hijau, kacang panjang hitam atau long yard black sweet dan mulberri ditanam bersama dan ia sesuai membesar dengan baik tanpa masalah. Syaratnya, pangkas pokok mulberri dan buang segala daun (tempoh pemangkasan pokok mulberi akan mengeluarkan tunas berbunga dan buah). Gembur tanah di sekeliling pokok mulberri atau bentukkan batas serta bubuh kompos dan tanam benih kacang panjang dan tabur sedikit benih bayam hijau. Pokok mulberri akan dijadikan sebagai alat penyokong aka pemanjat kepada pokok kacang panjang manakala kacang panjang membekalkan nitrogen kepada pokok mulberri dan bayam hijau dari akarnya.


Gambar seterusnya ialah tanaman seperti sawi bunga, kacang panjang hitam dan pokok mulberri amat sesuai ditanam. Malah ketiga-tiga tumbuhan ini hidup subur dengan galak. Kacang panjang dan sawi bunga ditanam berhampiran setelah dibuat pemangkasan pada pokok dan daun mulberri. Apabila pokok mulberri sudah mengeluarkan buah dan daun muda, kacang panjang dan sawi bunga sudah pun besar dan hidup tanpa masalah malah kacang panjang membekalkan nutrient kepada sawi bunga dan pokok mulberri. Pokok mulberri menyediakan junjung kepada pokok kacang panjang untuk memanjat dan teduhan dari sinaran matahari kepada sawi bunga.


Pokok kangkung, tomato dan sayur tutan boleh ditanam bersama dalam satu batas. Ketiga-tiga tumbuhan ini bertoleransi dan tumbuh dengan baik.


Timun cina (pokok mula kering), lada hijau, dan brokoli ungu boleh ditanam bersama sebagai tanaman campuran yang ideal. Keterhadan ruang boleh diselesaikan dengan cara ini. Lada hijau dan cili padi juga boleh ditanam bersama.


Lada hijau, halia dan kacang tanduk (okra) boleh ditanam berdekatan. Tidak ada masalah. Halia semakin membesar lada hijau galak mengeluarkan buah dan pokok kacang tanduk juga membesar dengan baik.


Tanaman campuran bersama lobak merah dan lobak putih juga sesuai. Anda juga boleh menanam jenis radis yang lain bersama lobak merah. Lobak putih memberikan perlindungan sinaran matahari kepada lobak merah. Manakala lobak putih cepat dituai.


Pegaga, pokok tutan, dan kacang panjang hidup bersama. Malah setiap satunya hidup subur.


Tanaman campuran seperti kobis bunga, daun bawang, sawi tat choi, pokok telang dan lada topurak boleh hidup bersama. Pokok telang dan lada topurak tidak kelihatan dalam gambar. Nampak tak batang kayu tu? Hah! Itu sebenarnya junjung pokok telang manakala lada topurak pula di sebelah kanan pokok kobis bunga.

Tanaman campuran memang berfaedah pada sayuran kita. Jika diuruskan secara mapan. Ia memberikan hasil yang sangat memuaskan. Anda boleh memilih tanaman sayuran yang sesuai ditanam bersama. Ini kerana terdapat tanaman yang tidak boleh hidup berdekatan contohnya kacang buncis dan daun bawang.

Selamat bertani dan menuai hasil.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top