Pada entry yang lepas tanomkinotuan ada berkongsi satu jenis sayuran herba liar yang menjadi kegemaran rakyat di Sabah iaitu tutan hijau yang banyak tumbuh di kebun-kebun tanah tinggi sekitar Sabah. Kali ini tanomkinotuan berkongsi satu lagi variati tutan yang kini jarang-jarang dijumpai akibat kepupusan atau diganti secara semula jadi dengan variati yang lain yang dikenali sebagai tutan hitam.

Tutan hitam atau umum dalam bahasa English dipanggil American nightshade (The Bornion American nightshade variaty is types of herb that can eaten and not poison at all) ini mempunyai batang berwarna hitam bercabang manakala daunnya pula berwarna hijau. Ketinggian boleh mencecah 1 meter atau lebih. Tidak mempunyai duri dan rasa sedikit pahit berbanding dengan tutan hijau.

Sudah lama tanomkinotuan ingin mendapatkan pokok atau benihnya untuk ditanam di KBR. Ini kerana bagi tanomkinotuan tutan hitam lebih versetile berbanding tutan hijau di mana ia lebih berkhasiat dari segi perubatan tradisional berbanding tutan jenis lain terutamanya mengubati ketuat atau kutil. Lagi pula menanam pokok tutan hitam di KBR satu cara mudah untuk pokok ini tidak pupus agar boleh dinikmati oleh generasi akan datang.

Pada hujung bulan Disember yang lalu tanomkinotuan ke Ranau untuk mengiringi majlis perkahwinan abang tanomkinotuan. Keesokan harinya tanomkinotuan ke tamu/pasar siang dekat jambatan sungai Liwogu untuk melihat kalau-kalau ada yang boleh dibeli dan dibawa pulang. Sambil melilau melihat barangan yang dijual oleh para penjual, tanomkinotuan ternampak seorang nenek berbangsa Dusun menjual sayur tutan hitam yang cantik dan masih muda. Maksud tanomkinotuan pokok tutan hitam ini baru dipetik kali yang pertama.

Disinilah tanomkinotuan dapat menggunakan bahasa ibunda sebagai pertuturan untuk berbicara dengan nenek tersebut. Malah lebih dekat dan mesra dengan menggunakan dialek yang sama iaitu dialek Dusun Liwan (majoriti daerah Ranau menggunakan bahasa Kadazandusun dialek Liwan dan Bundu disamping dialek Tagahas, Talantang dan beberapa dialek lain). Tanomkinotuan membeli 2 ikat tutan hitam dengan harga kesemuanya RM4 ringgit.

Kata nenek tersebut, tutan boleh ditanam menggunakan keratan batang disamping benihnya. Jadi tanomkinotuan ingin mencuba untuk menanam menggunakan batang, jika berjaya ia satu kejayaan besar bagi tutan hitam untuk ditanam dan diperbanyakkan pada masa akan datang. Setelah kembali ke rumah tanomkinotuan memetik pucuk muda dan daun muda untuk dijadikan sayur manakala batangnya tanomkinotuan rendam dengan air semalaman. Esoknya tanomkinotuan tanam pada batas dengan harapan agar keratan batang tutan hitam itu bertunas dan tumbuh dengan baik.

Keratan batang mula bertunas
Selepas dua minggu kelihatan tunas keluar dari mata tunas dipanggal bekas tangkai daun. Kini tutan hitam tanonkinotuan tumbuh dengan baik malah daunnya cukup cantik tanpa sebarang masalah. Waktu ditanam keratan batang tutan hitam tersebut adalah masa kemarau dan jarang disiram. Tetapi ia tetap tumbuh dengan jayanya. Syukur alhamdulillah harapan tersebut menjadi kenyataan. Tinggal saja menjaganya dan tunggu ia membesar untuk berbuah bagi penanaman akan datang. Selain dari tutan hijau yang sedia ada di KBR sekarang ditambah 1 lagi variati yakni tutan hitam.

Bagi tanomkinotuan tutan hitam yang ditanam dan semakin membesar ini sudah boleh dituai sebenarnya tetapi jumlah pokoknya yang sedikit tidak cukup untuk menampung seisi keluarga maka tanomkinotuan hanya membiarkan saja dahulu, jika terdesak mungkin tanomkinotuan akan memetik juga pucuk-pucuknya pada satu hari nanti. Yang penting sekarang biar pokok-pokok tutan hitam ini mengeluarkan buahnya dahulu.

Mengumpul sayuran unik dan jarang dilihat satu kepuasan yang tidak terhingga. Tanomkinotuan sangat fanatik dengan sayuran seperti ini. Anda bagaimana pula?

Selamat bertani dan menuai hasil.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top