Tutan hitam |
Ramai penggemar sayuran exotik yang tumbuh liar di bumi negara kita. Salah satunya adalah tanomkinotuan sendiri malah suka mencuba sayur-sayuran yang jarang ditemui di mana-mana. Antara sayuran exotik yang digemari oleh tanomkinotuan adalah seperti sayur dungor, sayur tunjuk langit, tutan hijau, losun, sayur gipun dan sayur magapayas. Pelik namanya tetapi semuanya benar. Haha
Kali ini tanomkinotuan ingin berkongsi kepada pembaca di luar sana tentang satu lagi variati tutan yang sering dijadikan sayur yang enak oleh keluarga tanomkinotuan iaitu tutan hitam. Mengikut cerita nenek tanomkinotuan dan juga orang-orang tua yang dikenali oleh tanomkinotuan, pokok tutan pertama yang tumbuh di kebun atau ladang-bukit zaman dahulu ialah tutan hitam. Asal sahaja buka ladang untuk menanam padi bukit, rumput yang pertama tumbuh ialah tutan hitam sehingga sayur ini terpaksa dicabut untuk memberi ruang kepada pokok padi untuk membesar. Selepas beberapa tahun, tutan hitam semakin pupus dan digantikan pula dengan tutan hijau yang juga dicabut dan dibersihkan supaya pertumbuhan pokok padi tidak terjejas. Kini tutan hitam sukar dijumpai hanya sekali sekala ada dijual di tamu.
Pada akhir bulan Disember yang lepas, tanomkinotuan dan keluarga ke daerah Ranau untuk meraihkan perkahwinan abang tanomkinotuan. Oleh kerana pagi itu tidak ada acara atau program, tanomkinotuan dan keluarga telah pergi ke tamu Ranau dekat dengan jambatan sungai Liwogu. Banyak barangan yang dijual di tamu tersebut seperti rombengan, ikan kering, barangan dapur dan sayur-sayuran. Sambil leka memerhati barangan jualan tanomkinotuan terpandang sayur tutan hitam yang dijual oleh seorang nenek bersetentang dengan kem menjual anak pokok buah-buahan.
Sudah bertahun-tahun tanomkinotuan tidak memakannya. Waktu kanak-kanak dulu memang makan setiap hari tetapi kini hanya tutan hijau. Oleh itu tanpa berfikir panjang tanomkinotuan membeli seikat dengan harga RM2 sahaja. Antara tujuan tanomkinotuan membelinya adalah untuk mendapatkan benih batangnya bagi ditanam di KBR. Batang tutan selain buahnya yang sudah matang dan berwarna ungu boleh dijadikan benih. Tanomkinotuan masak pucuk muda dan daunnya manakala batangnya tanomkinotuan tanam terus pada batas di KBR. Dengan menanam batangnya tanomkinotuan akan membuahkannya bagi mendapatkan benih yang boleh ditanam semula di KBR atau KG. Dengan itu, tanomkinotuan sudah mempunyai pokok tutan hitam yang boleh dituai nanti.
Tutan hitam dan tutan hijau tidak mempunyai perbezaan ketara dari segi rasa, bau dan ciri-ciri pertumbuhan. Cumanya tutan hitam mempunyai sedikit pahit berbanding dengan tutan hijau. Rasa pahit tutan hitam tidaklah sepahit seperti buah peria, malah tutan hitam lebih mujarab untuk mengubati ketuat (babag) yang tumbuh di anggota tubuh badan berbanding dengan tutan hijau. Sebab itulah tanomkinotuan lebih suka memakannya.
Tutan hitam boleh tumbuh sehingga 0.5 meter dengan pokoknya bercabang. Batangnya hitam berkilat manakala daunnya pula hijau tua dengan urat daun pula berwarna hitam. Bunga dan buah tumbuh di antara panggal daun dan batang pokoknya. Buah berbentuk bulat dan berwarna hijau ketika muda dan ungu ketika sudah matang. Buah yang telah matang boleh dijadikan benih dan disemai di atas batas atau pasu.
Semoga sayur tutan variati tutan hitam ini akan ditanam oleh para pekebun agar ia tidak pupus pada masa akan datang. Walaupun ia tumbuh secara liar di kebun tidak salah untuk menanamnya seperti sayuran lain kerana ramai yang mengemari sayur ini. Tanomkinotuan ingin berkongsi resepi cara memasak sayur tutan hitam yang enak;
TUTAN HITAM TUMIS IKAN BILIS
Bahan-bahan memasak:
1. Seikat sayur tutan hitam
2. Segenggam bilis sandakan (saiz kecil, yang direbus sebelum dikeringkan)
3. Segengam kodop / cendawan sisir atau apa-apa jenis cendawan
3. Satu setengah sudu cili boh
4. Tiga ulas bawang merah
5. Dua ulas bawang putih
6. Setengah inci halia
7. Satu sudu kicap manis
6. Satu sudu sos kicap manis
7. Dua sudu besar rebusan kacang soya atau stok ayam / stok ikan bilis.
8. Secubit garam / ajinomoto jika suka
Langkah penyediaan:
1. Petik pucuk muda dan daun tutan hitam sehingga selesai, basuh sebersihnya dan ketepikan.
2. Hiris bawang merah, bawang putih dan halia, ketepikan. Cuci bilis dan kodop dengan air bersih dan ketepikan.
3. Panaskan minyak pada kuali, masukkan hirisan bawang merah dan bawang putih dan masak hingga kekuningan.
4. Masukkan kodop masak hingga layu.
5. Masukkan bilis, tumis hingga sedikit garing. Masukkan kicap pekat, sos kicap manis. Gaul hingga merata, tambah stok rebusan soya.
6. Akhir sekali masukkan tutan hitam dan tumis sehingga masak. Sedia untuk dihidangkan.
Selamat mencuba...
0 komentar:
Posting Komentar