Kelmarin tanomkinotuan ke kebun getah (KG)  kerana kerja-kerja melubang untuk penanaman keladi cina yang belum selesai. Inilah rutin tanomkinotuan setiap pagi apabila berada di KG. Membuat lubang secara manual dengan menggunakan cangkul satu tugas yang sangat meletihkan. Pertama kudrat menjadi lemah dan kedua setelah makan malam pasti tertidur dengan nyenyaknya. Selepas mengorek beberapa baris lubang tanomkinotuan berhenti, rehat sambil melepaskan lelah. Esok ada masa lagi untuk menyambung kerja-kerja melubang. Tanomkinotuan tidak membuat batas cukup membuat lubang saja.

Tanomkinotuan mendekati pokok ubi keledek atau nama saintifiknya Ipomomea batatas di sebelah kanan tidak jauh dari tempat melakukan aktiviti mengorek lubang dan mahu menuai hasilnya. Apakah pokok keledek yang ditanam sudah ada isinya? Berapa isi keledek dalam satu pokok? Itulah persoalan-persoalan yang bermain dalam fikiran. Teruja sangat untuk mengetahui berapa banyak isi yang dapat dikumpulkan dan juga saiznya.

Keledek jepun ungu
Tanpa membuang masa tanomkinotuan cabut pokok ubi keledek dan alangkah gembiranya hati isi keledek cukup cantik. Terdapat 3 jenis keledek yang ditanam pertama keledek jepun isi berwarna ungu, keledek hibrid kulit kemerahan dan isinya kuning, keledek hibrid isi putih dan keledek heirloom namun ianya belum berisi lagi. Keledek jepun ungu mempunyai daun berwarna hijau dan kulitnya berwarna merah dan ungu di dalamnya. Rata-rata bentuk isi keledek jepun bulat manakala jenis keledek lain bujur dan separa bulat.

Sebenarnya keledek ini ditanam pada penghujung bulan Oktober tahun lepas. Selepas rumput-rumput telah kering selepas diracun, tanomkinotuan telah mendapatkan batang pucuk keledek dari seorang makcik di sebelah rumah. Batang pucuk keledek tersebut dipotong kira-kira 1 kaki setengah. Tanomkinotuan tidak merendamnya ke dalam air tetapi mengikut tradisi cara menanam yang diperturunkan dari generasi ke generasi yakni ikat batang pokok ubi keledek yang dipotong dan simpan ditempat teduh, biarkan daun batang pucuk keledek itu layu dan mati hanya tinggal daun muda atau pucuknya sahaja. Pada proses pengeringan ini, akar mula keluar dari celah pangkal daun pada batang pucuk keledek. Apabila daun-daunnya gugur maka tanomkinotuan menanamnya di KG.

Tanomkinotuan tidak membuat pengemburan atau membuat batas. Tanomkinotuan hanya korek lubang dan masukkan batang keledek kira-kira setengah dari batang pucuk tersebut, secara sedikit melintang kira-kira 70 peratus. Timbus lubang tersebut dengan tanah seakan-akan membusut. Tanomkinotuan tidak menyiramnya selepas ditanam. Namun alhamdulillah bila malam menjelang hujan turun dengan lebat.

Oleh kerana tanomkinotuan tidak membubuh baja mahupun serbuk kapur. Pokok keledek tidaklah baik pertumbuhannya. Apabila usia pokok keledek mencecah 3 minggu. Batangnya sangat kurus dan daunnya pula kecil serta kekuning-kuningan. Dengan situasi ini. Tanomkinotuan cuba menabur baja NPK organik disekelilingnya dan serbuk kapur pertanian. Sepatutnya sebelum menanam batang keledek baja dan serbuk kapur ditabur terlebih dahulu. Selepas di baja barulah nampak perubahan daunnya dari kekuningan kepada warna hijau selepas seminggu ditabur baja.

Pada proses tumbuhbesaran pokok keledek ini, tanomkinotuan tidak terjaga dengan baik. Tanomkinotuan berada jauh kerana bekerja hanya hujung minggu baru dapat pulang ke kampung. Sebab itu pokok keledek dipenuhi rumput rumpai yang sangat banyak. Tanomkinotuan hanya sempat mencabut rumput-rumput yang panjang kurang sedikit persaingannya. Walaupun dipenuhi rumput, keledek tanomkinotuan masih tumbuh dengan baik walaupun tidak sebaik keledek orang lain.

Tanomkinotuan hanya berserah kepada alam, keledek tidak dijaga mengikut cara aturan yang disyorkan. Kini tanomkinotuan sudah mula menuai. Setiap pokok menghasilkan 3 hingga 5 isi keledek dan terdapat juga pokok keledek langsung tidak mempunyai isi hanya akar yang berjurai panjang, korek dalam tanah takut-takut tertinggal di dalam tetapi hampa. Walau bagaimanapun, tanomkinotuan berjaya mengumpulkan isi keledek kira-kira 6 kilo. Cukup sebulan sebagai bekalan membuat kuih, bubur keledek atau hanya rebus begitu saja.

Sebelum ini, tanomkinotuan telah menanam beberapa batang pucuk keledek dengan mengemburkan tanah, menabur kompos yang dibeli dan serbuk kapur pada lubang yang dibuat. Tanomkinotuan menanam 2 batang dalam 1 lubang dan timbus lubang tersebut. Kedudukan batang keledek agak condong kira-kira 70 peratus. Dan tanomkinotuan siram dengan air. Terdapat 5 lubang yang ditanam mengikut tatacara penanaman keledek seperti mana yang disyorkan. Cuma 1 lubang tersebut tanomkinotuan menanam batang keledek tanpa pucuknya. Sengaja tanomkinotuan menanam batang tanpa pucuk di mana mahu melihat perbezaan cara pertumbuhannya. Ternyata batang keledek tanpa pucuknya agak lambat menjalar berbanding dengan menanam batang keledek yang berpucuk.

Alangkah terkejut tanomkinotuan rupa pokok keledek yang diberi baja dan serbuk kapur sangat cantik daunnya dan kurang bunga. Daun sangat hijau dan cepat membesar. Terfikir tanomkinotuan bahawa tanah yang digunakan menanam keledek sebelum ini berasid dan kurang nutrisi. Ini dapat dibuktikan pada pokok keledek yang ditanam musim pertama. Musim kedua pula (hanya 5 pokok sahaja) cantik saja menjalar dan membesar.

Selepas keledek musim pertama dituai, tanomkinotuan memetik batang pucuknya kira-kira 1 setengah kaki dan menanam semula dengan membuat batas 1 x 6 kaki. Seterusnya tanomkinotuan tabur kompos dan serbuk kapur dan menanamnya. Ia baru kelmarin ditanam dan belum ada perkembangan yang boleh diceritakan. Tanomkinotuan menanam 3 jenis keledek agar ia tidak pupus di kebun tanomkinotuan. Pokok keledek yang baru ditanam ini akan dituai awal bulan April manakala keledek musim kedua akan dituai pada 24 haribulan Mac tahun ini.

Kiranya bekalan keledek berterusan sehingga bulan April dan tanomkinotuan menanamnya semula apabila tiba masa menuai akan datang. Keledek yang dituai hari ini telah dibuat kuih keledek, caranya mudah kupas kulitnya dan potong nipis-nipis, celup pada tepung dan goreng. Sambil menonton TV sambil mengunyah kuih keledek memang memuaskan. Ia bukan saja mengenyangkan malah keledek kaya dengan beta-carotin (provitamin A) berfungsi sebagai anti oksidan pada tubuh anda.

Selamat bertani dan menuai hasil.


0 komentar:

Posting Komentar

 
Top