Hujung minggu yang lalu tanomkinotuan kembali ke rumah setelah seminggu di tempat kerja. Tidak sabar untuk sampai ke rumah kerana terbayang-bayang akan sayuran yang ditanam di KBR. 2 minggu yang lepas baru sahaja selesai menanam 3 variati sawi dalam satu batas atas sebab kekurangan tempat menanam. Sayur-sayur tersebut ialah sawi bunga kampung, sawi putih dan sawi putih taiwan.

Minggu lepas pula tanomkinotuan menanam sawi komatsuna atau sawi Jepun. Sayur ini masih dalam peringkat pertumbuhan. Berikut adalah sayuran yang sempat dituai pada masa itu;


Sawi putih taiwan atau siew bak choi dituai selepas 4 minggu menunggu untuk membesar. Sawi ini cepat membesar dan struktur rasa yang ranggup dan lembut. Sesuai dimasak sup atau tumis.


Sayur kangkung masih lagi menghasilkan pucuk-pucuk muda. Kangkung mempunyai hayat yang panjang jika pandai menjaganya. Caranya, petik pucuk muda dan bubuh baja organik. Jangan lupa siram, ia akan bertunas dengan jayanya. Ini kali ketiga menuai pucuk kangkung.


Pokok timun di KBR juga masih boleh dituai walaupun buahnya tidak secantik tuaian pertama. Pokok timun di KBR hanya 2 pokok sahaja kali ini tetapi banyak membantu keluarga tanomkinotuan dalam menyediakan resepi bahan soto tulang rusuk kegemaran sekeluarga.


Tomato brandywine hearloom ini galak menghasilkan buah walaupun matangnya tidak serentak. Tanomkinotuan belah 4 dan dimasukkan ke dalam sup. Boleh mengantikan asam jawa.


Tuaian lobak putih yang terakhir. Selepas ini tanomkinotuan akan menyemainya semula. Lazimnya lobak putih dihiris nipis dan ditambah dalam sup ikan atau ayam. Memang sedap selain dari khasiatnya yang sangat bagus.


Buah petola segi pertama dituai. Terdapat 2 pokok ditanam di KBR. Pokoknya masih rajin mengeluarkan buah dalam tempoh beberapa minggu sebelum pokoknya mati.



Akhir sekali adalah tuaian ketiga buah mulberri di KBR. Sangat manis dan berlemak. Puas makan dengan memakan terus pada buah mulberri tanomkinotuan blender buah tersebut untuk dijadikan jus dan minum sambil menonton TV. Memang mengujakan.

Inilah sayuran yang dinikmati oleh tanomkinotuan sekeluarga. Hingga kini tanomkinotuan tidak pernah membeli sayur di mana-mana bekalan sayur di KBR dan KG lebih dari mencukupi. Bagaimana pula dengan anda?

Selamat bertani dan menuai hasil.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top