Tahun 2015 memperlihatkan yard di belakang rumah tanomkinotuan telah mengeluarkan pelbagai jenis sayuran yang tidak lama lagi sudah boleh dituai antaranya sayur kangkung dengan nama
saintifiknya ialah Ipomoea spp. Tumbuh meluas di seluruh dunia seperti di Asia, Afrika, Amerika Latin, dan Oceania. Bagi di negara kita kangkung mudah dilihat di kawasan berair atau kawasan berpaya. Terdapat dua jenis kangkung yakni kangkung yang ditanam atas tanah dan juga di atas air.
Ini kali ke-2 tanomkinotuan menanam kangkung. Kali pertama menanam kangkung adalah pada mula-mula tanomkinotuan berjinak-jinak dalam bidang perkebunan. Agak lama juga sayur kangkung itu mati. Puas keluarga tanomkinotuan memakannya dengan hanya memetik pucuk muda. Dengan cara ini kangkung senantiasa menghasilkan pucuk-pucuk muda untuk sayuran secara berterusan. Kangkung mudah tumbuh apatah lagi tanah yang digunakan untuk menanam adalah lembab.
Tanomkinotuan mendapatkan benih kangkung di kedai hardware berhampiran dengan harga seringgit 1 pek. Dan menanamnya pada penghujung bulan November yang lepas. Kini sayur kangkung sudah besar dan sedia untuk dituai. Pokok kangkung apabila tidak dipetik pucuk mudanya akan menjalar dengan cepat. Sehingga boleh menutupi tanah disekitarnya. Untuk mengelak dari berlaku sedemikian, potong batangnya sependek mungkin dan tunggu pucuk muda bertunas semula barulah dipetik. Pokok kangkung juga tidak mudah mati sekiranya tanah dan kelembapan seimbang.
Tanomkinotuan mengembur tanah hampir dengan tebing kolam. Seolah-olah batas kecil yang panjang. Sebelah kiri adalah batas yang ditanam cili padi, brokoli ungu, pokok timun, lada hijau, pudina dan halia manakala sebelah kanan pula ditanam sayur manis atau cekur manis. Sesudah digembur tanomkinotuan menaburkan tinja ayam separa reput dan sefikit serbuk kapur. Tanomkinotuan dedahkan batas tersebut kepada sinaran matahari selama seminggu. Ini bertujuan agar tinja binatabg sebati dengan tanah dan mikrob jahat pada batas akan musnah oleh cahaya terik.
Kangkung darat adalah kangkung yang ditanam menggunakan benih. Oleh itu, buat lubang sedalam 1 inci dengan jarak antara lubang kira-kira 3 inci. Tanomkinotuan memasukkan 2 hingga 3 biji 1 lubang dan biarkan pokok-pokok kangkung tersebut membesar tanpa dicabut.
Tanomkinotuan hanya sekali meletakkan baja yakni pada masa pengemburan tanah. Dan tidak pernah membubuh baja selepas itu. Walaupun sekali kangkung tanomkinotuan hidup subur malah tumbuhbesarannya sangat cepat. Serangan makhluk perosak juga tidak kelihatan. Ini menandakan sayur kangkung tidak mengalami stress yang melampau.
Lazimnya pokok kangkung sudah boleh dipetik selepas sebulan ditanam tetapi tanomkinotuan biarkan dahulu. Ia tidak menjadi masalah walaupun lambat dituai lagi pula sayur yang dituai di kebun getah (KG) masih banyak dalam peti sejuk. Pokok kangkung akan dituai apabila bekalan sayur dalam peti sejuk habis. Menanam kangkung sangat mudah dan cepat. Ia tidak memeningkan kepala malah ketika menunggu ia membesar pun tidak ada yang dirunsingkan.
Sayur kangkung sangat digemari oleh keluarga tanomkinotuan. Hanya celur dengan air panas dan tuang sos tiram. Memang enak dan menyelerakan. Atau tanomkinotuan masak tumis ikan bilis, letak dua tiga cili padi. Fuh! Sedap dimakan dengan nasi bukit yang dimasak halia hancur. Kangkung juga sesuai ditanam pada pasu bersaiz besar. Bagi mereka yang mempunyai ruang terhad boleh mencuba cara ini.
Selamat bertani dan menuai hasil.
0 komentar:
Posting Komentar