Pernahkah kamu mengalami situasi di mana menyemai sesuatu benih dalam pasu atau tanah tetapi tidak bercambah. Tanomkinotuan mengalami keadaan ini dengan menyemai benih asparagus walaupun sudah melebihi 10 kali percubaan dengan pelbagai kaedah digunakan tetapi masih tidak berjaya.
Menyingkap kembali pengalaman menyemai benih asparagus pada mula-mula tanomkinotuan berkecimpung dalam bidang perkebunan tahun lalu. Tanomkinotuan menyemai benih asparagus langsung pada batas. Kononnya tanomkinotuan ingin mengalihkannya ke dalam polibag sekirannya ia bercambah dan tumbuh dengan baik. Tunggu punya tunggu sehingga 3 minggu benih asparagus tidak muncul-muncul. Tanomkinotuan juga pernah merendam benih asparagus dalam air semalaman dan semai dalam polibag, situasi masih sama benih asparagus tidak juga bercambah. Tanomkinotuan juga pernah menyimpan benih asparagus dalam peti sejuk selama 2 minggu dan menyemainya tetapi benih yang disemai tidak juga muncul-muncul. Pelbagai kaedah dan teknik yang diajar dalam blog-blog orang lain semuanya tidak menjadi. Mungkin saja ada kesilapan dibuat tanpa disenggajakan, siapa tau?
Jadi hingga kini tanomkinotuan sudah menyerah kalah untuk menanam benih asparagus. Kira tanomkinotuan gagal dalam menyemai benih asparagus. Dulu tanomkinotuan juga gagal menyemai benih lobak merah tetapi setelah mencuba pelbagai teknik menyemai kini tanomkinotuan dapat mencambahkan lobak merah dengan jayanya. Semasa entry ini ditulis terdapat 3 jenis lobak yang sedang tumbuh di KBR dengan jayanya iaitu lobak merah curado F1, lobak merah imperator dan danvers. Tanomkinotuan juga menanam lobak merah dalam polibag.
Oleh kerana isu itu, tanomkinotuan mencari alternatif bagaimana untuk mendapatkan pokok asparagus yang boleh ditanam di KBR agar dapat tanomkinotuan dan keluarga dapat menikmati sayur pucuk muda asparagus. Oleh itu, tanomkinotuan melayari internet kalau-kalau terdapat blog menjual anak pokok asparagus yang boleh. dibeli secara online. Cari punya cari jumpa laman web tuan Iskandar yang ada menjual anak pokok asparagus. Apalagi langsung tanomkinotuan berhubung empunya blog dan menyelesaikan segala yang perlu khususnya pemindahan wang. Tidak sampai 2 hari anak pokok asparagus bertukar tangan.
Sampai di rumah, tanomkinotuan menanam kesemuanya anak pokok asparagus dalam polibag dan menyiram dengan air yang cukup. Jumlah anak pokok asparagus semuanya 10 pokok. Tanomkinotuan telah menyimpannya dalam kawasan yang teduh tetapi masih terkena haba. Selepas seminggu di kawasan teduh tidak sangka bahawa anak pokok asparagus sudah mengeluarkan pucuk muda. Hati tanomkinotuan gembira tidak terkata, ini bermaksud kesemua pokok asparagus tumbuh dengan baik tanpa masalah. Mungkin selepas ni, tanomkinotuan mencari info bagaimana menjaga anak pokok asparagus ini hingga mengeluarkan pucuk muda yang boleh dimakan. Berdasarkan pembacaan tanomkinotuan jika menanam pokok asparagus menerusi benih ia mengambil 2 tahun baru boleh dituai manakala jika menanam dari akarnya (crown) hanya mengambil masa kira-kira 6 hingga 8 bulan sahaja.
Kebunbahagiabersama ada menjual crown aka akar asparagus tetapi masa promosi tersebut tanomkinotuan dalam keadaan poket kering. Tidak dapatlah tanomkinotuan membeli variati asparagus yang nampak bermacam-macam itu. Ada rezeki akan tanomkinotuan bertanya kepada Diana akan crown asparagus nanti. Harap masih ada stok. Puan Diana masih ada stok lagi tak crown asparagus tu?
Jika tanomkinotuan menanam asparagus menerusi crown sudah tentu tunas pertama yang muncul akan dipotong untuk dimakan. Bagi tanomkinotuan pucuk muda asparagus cukup hanya dipanggang dengan sedikit olesan butter agar tidak hangus teruk dan terus ngap macam makan snack. Sedap dan rasa berlemak sikit.
Cuma risaulah sedikit kerana tanomkinotuan bukanlah berada senantiasa di rumah untuk memberi penjagaan sewajarnya pokok asparagus yang mula tumbuh dengan baik. Tanomkinotuan hanya berada di rumah pada hujung minggu sahaja. Namun diharap semuanya baik-baik belaka. Jadi sekiranya anda mempunyai masalah untuk mencambahkan apa-apa benih. Ada jalan penyelesaian yang mudah di mana beli saja anak pokoknya yang ada dijual di mana-mana dan tanam di yard anda. Tidak perlu merunsingkan kepala dengan benda yang tidak akan mendatangkan khabar gembira.
Selamat bertani dan menuai hasil.
0 komentar:
Posting Komentar