Sungkup atau mulsa ialah sesuatu bahan yang digunakan untuk menutupi sebahagian tanah pada pokok, tanah pasu mahupun batas yang ditanam sayuran dan pokok buah. Ia berfungsi sebagai melembabkan tanah, memperbaiki struktur tanah dan juga melindungi batas dari hakisan hujan lebat. Amalan sungkupan dalam pertanian sangat digalakkan agar dapat meringankan kerja kita dan mendapatkan kualiti tanah yang diperlukan. 

Berikut adalah contoh-contoh sungkupan atau mulsa (mulch) yang pernah tanomkinotuan gunakan di KBR atau KG iaitu;


Sungkupan atau mulsa reputan kayu reput yang dicarik secara manual pada batas yang ditanam pelbagai variati sawi atau mustard. Tanomkinotuan dapatkannya dari kebun getah (KG). Tanomkinotuan kumpul kayu-kayu acacia yang sudah mati dan reput serta dicarik-carik hingga menjadi partikel-pertikel kecil. Tanomkinotuan sinarkan dengan cahaya matahari selama seminggu sebelum digunakan agar mikrob jahat yang boleh merosakkan tanaman dapat dikurangkan atau dihapuskan. Tanomkinotuan tabur secara keseluruhan batas setinggi 5 cm. Dengan sungkupan ini kelembapan tanah dapat ditingkatkan. Tidak perlu lagi setiap hari melakukan penyiraman cukup 3 kali dalam seminggu.


Satu lagi batas yang diletakkan sungkupan kayu reput yang dicarik bagi batas yang ditanam sawi putih kerinting dan sayur arugula.


Batas yang ditanam sawi kerinting ini pula telah tanomkinotuan letak sungkupan cocopeat (sabut kelapa) yang boleh dibeli di kedai pertanian. Cocopeat boleh menyerap dan menyimpan air dengan lama sehingga dapat melembabkan tanah batas. Cocopeat juga boleh terkompos secara perlahan-lahan dan dapat membekalkan nutrisi pada tanaman.


Pokok ubi keledek amat menyukai tanah yang lembab untuk pembesaran umbisi dengan baik. Maka itu, tanomkinotuan menyungkupnya dengan rumput kering yang dibuang semasa proses membuang rumput rumpai disekeliling tanaman. 


Juga tanomkinotuan menggunakan reputan ranting pokok, daun dan rumput rumpai yang hampir menjadi humus. Tanomkinotuan letakkan di batas yang ditanam pokok lobak merah.


Kompos buatan sendiri juga sesuai dijadikan bahan sungkupan yang efektif. Ia bukan saja membekalkan zat makanan tetapi juga memberikan kelembapan pada tanah di sekeliling pokok jagung pandan (pokok jagung heirloom).


Tanomkinotuan menanam ubi keledek pada batas seperti gambar di atas. Tanomkinotuan telah meletakkan daun pokok tarap yang telah kering untuk membekalkan kelembapan tanah disekeliling pokok keledek.


Sungkupan banyak memberikan kebaikan pada tanah dan tanaman. Sungkupan boleh diletakkan sebelum menanam atau sesudah menanam. Lebih elok sungkupan diletakkan sebelum menanam kerana tidak rumit menabur atau meletakkan ke batas berbanding pada batas yang sudah ada pokok tanaman. 

Selamat berkebun dan menuai hasil. 

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top