Seringkali kita menghadapi masalah ketika menyemai apa-apa benih dalam pasu di mana benih yang disemai tidak tumbuh atau diserang oleh semut. Kadang-kadang juga disebabkan oleh fungi yang membiak di atas permukaan pasu kita. Berikut adalah langkah yang boleh diikuti oleh pembaca untuk menyemai benih dalam pasu; 

1. KUALITI BENIH

Harus menggunakan benih tanaman yang sihat, tidak cacat atau berpenyakit. Jangan semai benih yang berlubang mungkin benih ini sudah rosak dan tidak mampu untuk bercambah. Walau bagaimanapun, membeli benih di kedai pertanian adalah keputusan yang baik kerana benih-benih yang dijual adalah terpilih dan kualitinya masih dalam keadaan baik. Namun begitu pastikan tarikh luput pada pembungkus benih itu masih belum berakhir pada tarikh yang tertera. 

Jangan lupa membaca dan mengikuti arahan dan langkah-langkah pada pembungkus benih jika ada terutamanya benih import. Kadang-kadang pada pembungkus benih disertakan arahan menyemai.

Jangan menanam benih pokok yang tidak mampu untuk pasu menampungnya. Tanam benih yang bersesuaian ditanam dalam pasu ialah seperti salad, sayuran hijau, herba dan kacang buncis.

2. BEKAS SEMAIAN

Apabila benih sudah berada dalam tangan maka pemilihan bekas semaian perlu untuk memastikan ia sesuai untuk semaian. Sekiranya tray semaian khas (styrofoam cup) tidak ada di rumah, anda boleh menggunakan apa-apa bekas yang sesuai dengan pertumbuhan benih. Jangan guna bekas terlalu kecil atau terlalu besar. Contoh bekas semaian yang boleh digunakan ialah polibag, kontena aiskrim, tupperware terbuang dan bekas semaian yang difikirkan sesuai. Bilamana menggunakan bekas semaian ini mestilah ditebuk di bawahnya agar air lebihan mudah mengalir dan media semaian tidak terlalu basah. 

3. PENYEDIAAN MEDIA

Menyemai benih pada sebarang tanah memungkinkan benih akan diserang penyakit yang disebabkan oleh bakteria atau fungi. Oleh itu, penyediaan media semaian adalah perkara paling penting dalam aktiviti menyemai. Media yang baik adalah 95 peratus kebarangkalian benih boleh bercambah manakala media yang tidak baik memungkinkan benih yang disemai tidak bercambah. Maka dengan itu, pembaca hendaklah menggunakan media yang sesuai untuk semaian. Berikut ialah contoh media atau campuran media bagi tujuan semaian benih.

A. Campuran awal-benih atau seed-starting mixes. Campuran awal-benih adalah terdiri daripada 2 bahagian kompos atau peat moss, 1 bahagian perlite dan 1 bahagian vermiculite.  

B. Media topsoil digaul dengan sedikit kompos.

C. Campuran tanah loam, kompos dan pasir sungai dengan nisbah 2:1:1.

D. Campuran media peat-moss dan sedikit topsoil

Media-media seperti seed-starting mixes, topsoil, peat moss dan kompos boleh dibeli di kedai pertanian berhampiran. Media-media tersebut dimasukkan ke dalam pasu, styrofoam cup, kontena atau bekas semaian pilihan para pembaca. Padat-padatkan sedikit agar media menampung keseluruhan ruang pada bekas semaian. Namun jika pembaca mahu jimat belanja, boleh menggunakan campuran media tanah hitam, tinja binatang dan pasir sungai (pasir membuat semen juga boleh digunakan) dengan nisbah 2:1:1. 

Kadang-kadang terdapat pakar bidang perkebunan mengeluarkan pendapat bahawa media kebun tidak sesuai untuk semaian kerana tanah tersebut tidak disteril bagi membunuh mikroorganisma merbahaya. Walau bagaimanapun setakat ini tanomkinotuan tidak mengalami sebarang masalah menggunakan tanah kebun sebagai media semaian malah lebih baik pertumbuhan berbanding lain-lain media. Maka itu terpulang pada pembaca jika mahu menggunakannya sebagai semaian.

4. SEMAIAN BENIH

Menyemai benih tidak harus dipandang enteng oleh para pembaca. Kesempurnaan semaian memungkinkan benih yang disemai akan boleh bercambah dengan baik. Oleh itu, apabila hendak menyemai campurkan benih itu kepada sedikit tanah dan tabur ke atas permukaan bekas semaian atau pada alur yang dibuat. Timbus sedikit tanah agar kerosakannya dapat dikurangkan. Benih yang bersaiz besar tidak perlu dicampurkan dengan tanah.

Jangan menyemai benih terlalu rapat yakni menabur benih pada bekas semaian dengan jumlah benih yang banyak. Ini boleh mengakibatkan persaingan mendapatkan makanan menyebabkan benih terbantut dan tidak sihat. 


5. KELEMBAPAN DAN AIR

Perkara paling mustahak untuk kejayaan cambahan benih ialah media semaian haruslah lembab senantiasa iaitu tidak kering dan tidak juga terlalu basah. Jika tahap kekeringan pada media semaian berlaku, benih tidak boleh bercambah dengan sempurna manakala terlalu basah pula memungkinkan benih lemas dan mati.

Oleh yang demikian, setelah anda menabur benih di atas permukaan tanah dan kelihatan media ditahap kering maka siram air dengan secukupnya tetapi jika media tersebut lembab sediakala sembur atau spray dengan sedikit air.

6. TEDUHAN ATAU PENUTUP PLASTIK

Bilamana semaian benih selesai dan disiram. Tutup bekas semaian dengan plastik lutsinar pada had masa tertentu mengikut cambahan benih. Penutup pladtik ini bertujuan untuk melembabkan tanah atau media semaian agar tidak menjadi kering. Selalulah memantau bekas semaian anda setiap hari. Apabila benih mulah kelihatan bercambah maka bolehlah penutup plastik lutsinar tersebut dibuka. Selain berfungsi sebagai pelembab tanah, plastik tetsebut juga berfungsi sebagai mengekalkan haba pada tahap minimun untuk cambahan benih. Suhu sesuai untuk percembahan benih ialah 65 F. 

7. SINARAN MATAHARI

Meletakkan bekas semaian pada cahaya matahari pada waktu pagi dan petang membekalkan haba yang diperlukan oleh benih untuk bercambah. Bekas semaian harus dicahayakan pada waktu pagi kira-kira jam 6 hingga jam 7 pagi manakala waktu petang pula pada jam 6 hingga jam 7 petang selama satu jam setiap hari hinggalah benih mula bercambah. Jangan terkena sinaran matahari terik kerana ia mengeringkan media dan mematikan benih. Ini juga bertujuan mematikan atau nenghadkan serangan fungi dan bakteria.

Percambahan benih adalah mengikut jenis benih sayuran yang anda tanam. Jadi bersabar sekiranya benih anda lambat bercambah. Namun jika benih anda tidak bercambah selepas dua minggu bermaksud benih tersebut mengalami masalah. Jangan susah hati semai lagi benih dan ubah kaedah penyemaian sehinggalah benih anda itu bercambah. 

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top