Tomato brandywine
Ingin menanam pokok tomato di halaman rumah anda? Anda cukup beruntung kerana tomato boleh tumbuh dengan baik di mana-mana sahaja sama ada kawasan tanah tinggi mahupun tanah rendah. Berikut adalah panduan berguna untuk anda menanam benih tomato.

DAPATKAN BENIH TOMATO

Pertama sekali dapatkan benih tomato sama ada membeli benihnya di nusery atau kedai pertanian yang berhampiran. Pilih variati yang anda sukai jika kedai tersebut menjual pelbagai benih tomato. Anda boleh memilih benih tomato hibrid atau benih tomato heirloom, benih tomato jenis determinate iaitu jenis pokok tomato merimbun dan tinggi mencecah 1 hingga 3 kaki sahaja dan mati selepas berhenti mengeluarkan kudup bunga. Juga benih tomato jenis indeterminate yakni jenis pokok tomato memanjat yang boleh mencecah 20 kaki, dan hidup lebih lama.

Atau anda juga boleh dapatkan benih dari buah tomato yang anda beli dari pasar. Caranya, potong biji tomato tersebut dan keluarkan benih tomato dari buahnya. Masukkan benih tomato ke dalam satu bekas. Tambah air dan tapis menggunakan penapis agar dapat mengasingkan benih dari sisa buah. Kurangkan kebasahan pada benih dengan menekapkan dengan tisu dan keringkan di bawah pancaran matahari. Masukkan benih tomato yang kering ke dalam botol kedap udara sekiranya belum menyemai dalam masa terdekat. 

PENYEDIAAN BEKAS SEMAIAN

Sediakan bekas semaian anda dengan menggunakan styrofoam cup (tray semaian yang boleh dibeli di kedai pertanian). Namun ia agak mahal dan tidak digalakkan kepada beginner kecuali anda cukup bajet.

Anda juga boleh menggunakan bekas semaian seperti pasu, kontena dan polibag. Jika tidak ada anda boleh menggunakan bahan terbuang (bekas yang tidak mengeluarkan kos kewangan) seperti besen kecil, botol mineral berkapasiti 1.5 liter yang dipotong dua, tin susu bayi, botol bekas minyak makan bersaiz kecil atau besar dan apa-apa bekas yang difikirkan sesuai.

PENYEDIAAN MEDIA SEMAIAN

Gunakan campuran tanah dengan nisbah 2:1:1 iaitu dua bahagian tanah loam, satu bahagian kompos dan satu bahagian pasir sungai. Tanah loam boleh diganti dengan tanah hitam atau tanah kebun manakala kompos boleh digantikan dengan tinja binatang reput (pastikan media direhatkan selama seminggu sekiranya menggunakan tinja ayam).

Anda juga boleh menggunakan kompos sebagai semaian atau topsoil yang digali sendiri atau dibeli di kedai. Atau mengorek tanah kebun juga sesuai untuk semaian tomato namun berhati-hati menggunakan tanah kebun sebagai semaian kerana terdapat mikroorganisma merbahaya yang boleh membunuh benih tomato. Pastikan tanah kebun diasingkan daripada bendasing yang tidak diperlukan seperti akar dan sebagainya. Satu lagi media yang boleh diikuti oleh pembaca ialah dengan menggunakan campuran seedstarting mixes (campuran-semai benih). Boleh dibeli dari kedai pertanian yang ada menjualnya. Media semaian ini sesuai untuk percambahan benih tomato. 

PENYEMAIAN BENIH TOMATO


Anak pokok tomato disemai pada polibag
Pokok tomato menyukai tanah peroi dan lembab. Oleh itu, guna campuran media semaian atau kompos tersteril atau topsoil di mana masukkan media semaian tersebut ke dalam bekas semaian yang dipilih (rujuk maklumat di atas) sehingga penuh dan padat-padatkannya sedikit sahaja, tetapi janganlah pula terlalu padat. Terdapat dua cara menyemai benih tomato pertama tabur rawak di atas media semaian kemudian timbus sedikit tanah. Kedua, buat alur kira-kira 1/4 kedalaman secara memanjang di atas pasu atau kontena dan semai benih tomato ke dalam alur yang dibuat tadi. Seterusnya jangan lupa siram selepas di semai.

Bagi mereka yang menggunakan styrofoam cup (tray semaian) adalah lebih praktikal dan sempurna. Isikan media semaian pada setiap lubang styrofoam cup hingga penuh. Buat lubang di tengah-tengahnya kira-kira 1/8 inci (3 mm) kedalaman dengan menggunakan kayu atau kepala hujung pensil. Masukkan sebiji benih tomato pada setiap lubang dan timbus semula. Seterusnya siram media semaian tersebut secukupnya.

Setelah benih tomato disemai, letakkan pasu tersebut di kawasan terkena suhu matahari. Suhu tanah dalam pasu yang sesuai untuk benih tomato bercambah ialah 70 hingga 80F (21-27C). Jika suhu berada di bawah 50F (10 C) benih tomato mengambil masa untuk bercambah manakala suhu di atas 95F (35 C) benih tomato akan membusuk atau memburuk dan tidak akan bercambah atau dipanggil detrimental. Benih tomato mulai bercambah selepas 5 hari hingga 7 hari selepas disemai. 

Terdapat dua cara pemindahan anak pokok tomato ke tapak penanaman. Ini khususnya kepada benih tomato yang disemai dalam bekas semaian seperti pasu, kontena atau polibag iaitu:

1. Apabila usia anak pokok tomato telah mencapai dua hingga tiga minggu mempunyai 4 hingga 6 helai daun. Anak pokok tomato itu, bolehlah dipindahkan terus ke batas yang telah disediakan. Tanam anak pokok benih tomato seterusnya siram secukupnya dan tutup dengan jaring selama seminggu.

2. Cara kedua pula ialah apabila anak pokok tomato berusia 12 hari di mana daun sebenar sudah keluar, pindahkan anak pokok tomato dari bekas semaian ke pasu atau kontena yang lebih besar sedikit. Setiap pasu ditanam dengan sepokok tomato. Selepas 3 minggu usia anak pokok dalam pasu tersebut, pindahkan sekali lagi ke atas batas yang telah disediakan. Cara ini sering dipraktikkan oleh pekebun-pekebun dari negara Barat. 

PEMBAJAKAN BATAS 

Jika menanam pokok tomato di atas tanah maka buat batas mengikut kehendak pembaca. Gunakan cangkul untuk memecahkan tanah dan gembur tanah tersebut sehingga hancur. Pokok tomato sesuai tumbuh pada tanah gembur yang lembab. Campurkan kompos untuk menambah nitrogen ke dalam batas atau pun tinja binatang. 

Buang segala benda asing dalam batas seperti akar, daun kering, batu dan sebagainya. Dedahkan batas tersebut pada cahaya matahari selama seminggu hingga dua minggu. Elak daripada menanam anak pokok tomato sekiranya menggunakan tinja ayam pada batas. Rehatkan batas selama seminggu barulah anak benih pokok tomato di tanam.

PENANAMAN ANAK POKOK TOMATO

Buat lubang dengan kedalaman 3 hingga 3 inci manakala jarak lubang pula ialah kira-kira 2 kaki atau dua kaki setengah (2 kaki bersamaan dengan dua keping jubin pada lantai rumah anda). Tambahan dari tanomkinotuan, untuk mendapatkan pokok benih tomato tumbuh lebih galak dan sihat. Pada lubang yang disediakan bubuh kompos kelapa sawit setebal 2 hingga 3 inci dan tanam anak benih pokok tomato.

Anda diberi dua pilihan sama ada menyiram terlebih dahulu baru mencabut benih pokok atau langsung cabut anak pokok tomato. Kedua-dua cara boleh dilakukan untuk anak benih pokok tomato. Cabut berhati-hati anak pokok tersebut dan tanam pada lubang kira-kira 2 inci hingga 3 setengah inci mengikut saiz anak pokok. Kambus dengan tanah dan siram dengan air secukupnya. Tutup dengan jaring hitam bagi mengelak sinaran langsung daripada matahari terik. Sinaran matahari terik boleh membunuh anak pokok tomato yang baru dialihkan. Sebaik-baiknya lakukan pengalihan anak pokok tomato pada waktu petang agar pokok tomato tidak mengalami symtom layu yang teruk.


Jaring penutup itu harus dibuka selepas seminggu kerana pada ketika ini anak pokok tomato sudah kuat dan mampu bertahan cuaca panas. Di awal pertumbuhan anak benih tomato harus disiram dua kali sehari secara berkala. Tidak perlu disiram ketika hujan.

PEMBAJAAN POKOK TOMATO

Pokok tomato diberikan baja mengikut kehendak sendiri. Terdapat dua pilihan sama ada mahu menggunakan baja organik atau baja kimia.

Pilihan baja organik adalah tabur baja disekeliling pokok dan hati-hati jangan terkena pada batangnya. Pembaca juga boleh membubuh kompos pada batas kira-kira 3 inci tebal. Lakukan pembajaan pada minggu kedua (NPK organik dan tahi binatang), minggu keempat (kompos dan NPK organik dan baja buah organik), minggu keenam pula bubuh baja kompos, NPK organik dan sedikit baja buah organik. Semasa proses membaja gembur-gemburkan tanah agar baja tersebut bercampurkan tanah yang membolehkan akar pokok mudah menyerap nutrient. 

Bagi memilih baja kimia, dua minggu selepas anak pokok tomato dialihkan ke batas. Bubuh baja subur (warna merah) dan baja tahi ayam. Tahi ayam di tanam dan ditimbus di antara pokok tomato manakala baja subur ditabur disekeliling pokok, jangan terkena batang pokok kerana ia akan melecur dan mungkin mati. Minggu keempat, bubuh baja subur, baja buah (warna putih) pada disekeliling pokok. Minggu keenam pula tabur kompos, baja subur dan baja buah. Gembur-gemburkan tanah dan hati-hati jangan mencederakan akar tomato.

PENJAGAAN POKOK TOMATO

Menjaga pokok tomato tidak serumit sayuran lain seperti brokoli dan brussel sprout. Anda hanya merumput dengan mencabut rumput rumpai pada batas dan sekelilingnya. Batas pokok tomato harus senantiasa lembab dengan menyiram secara berkala. Batas jangan kering dan jangan terlalu basah (menakung air), pokok tomato akan layu dan tidak akan dapat diselamatkan.

Serangan penyakit sering berlaku pada pokok tomato. Berikut adalah penyakit pokok tomato yang lazim berlaku dan cara mengatasinya:

1. Apid hitam - menyerang akibat jangkitan dari pokok berdekatan. Sembur dengan larutan sabun dan minyak 2 kali sehari atau hapuskan apid secara menual.

2. Reput akar - disebabkan oleh bakteria menyerang akar. Cabut pokok dan musnahkan.

3. Pucuk daun mengerekot - disebabkan oleh bakteria pucuk tidak mampu bembesar dan pertumbuhan terbantut. Pangkas pucuk tersebut supaya tunas baru yang sihat terbentuk. Jika penyakit serius cabut dan musnahkan.

4. Buah busuk - serangan penyakit. Kutip buah yang rosak dan musnahkan. 

Apabila pokok tomato mula membesar dan berbuah, buat pancang setinggi 1 meter untuk menyokong pokok tomato daripada rebah ke bumi. 

PENUAIAN HASIL BUAH TOMATO


Tomato roma
Buah tomato boleh dituai selepas warna buah berubah kepada merah atau kuning mengikut variati. Buah tomato yang dikutip boleh disimpan dalam peti sejuk dan bertahan hingga 3 minggu. Buah tomato enak dimakan sebagai salad atau dicampurkan pada burger. Dicampurkan dalam resepi ayam masak merah atau dibuat jus tomato. Buah tomato tanam sendiri lebih berjus, manis dan lembut. Bau tomato sangat menyerlah dan berperisa kuat.


0 komentar:

Posting Komentar

 
Top