Membaikpulih tanah pada kebun atau backyard anda bermaksud menambah sesuatu ke dalam tanah agar tanah tersebut berkualiti dan kaya dengan nutrisi yang diperlukan oleh tanaman. Tapi sebelum anda ingin membaikpulih tanah kebun anda, anda harus tahu terlebih dahulu keadaan tanah anda sama ada tanah jenis clay atau tanah berpasir. Juga perlu diketahui juga sama ada tanah anda jenis berasid atau beralkali. Ini semua benda yang perlu diketahui agar anda tahu apa yang perlu anda lakukan. Terdapat 8 cara secara umum bagaimana memperbaiki tanah kebun anda iaitu; 

1. Mengorek dan mengembur

Tanah yang digunakan untuk menanam sayuran atau bunga-bungaan harus dikorek dan digembur hingga gembur. Ini terutamanya mengusaha tanah di halaman rumah atau kawasan kebun. Korek tanah kira-kira satu kaki ke dalam dan gembur menggunakan cangkul atau alatan penggembur. Jika menggunakan tanah yang luas guna alatan rototeller atau jentera pengembur. Mengorek dan mengembur bertujuan untuk mengurangkan kepadatan tanah dan juga pengudaraan yang baik. Tanah yang gembur juga penting untuk memudahkan air meresap ke dalam tanah. Semua jenis tanah seperti tanah clay, loam dan silt harus digembur agar struktur tanah berada dalam keadaan baik.

2. Serbuk kapur, abu kayu atau sulfate

Satu cara yang berkesan untuk membaikpulih tanah anda ialah mencampurkan tanah anda dengan serbuk kapur (lime). Serbuk kapur mengandungi kandungan kalsium yang tinggi. Serbuk kapur ini berfungsi untuk mengurangkan keasidan pada tanah. Tanah yang terlalu berasid menyebabkan tanaman kita tidak mampu untuk tumbuh dengan baik manakala tanah yang terlaku beralkali pula tanaman terancat pertumbuhan.  Kapur juga berperanan untuk memudahkan akar tanaman menyerap nutrisi dengan mudah. Anda boleh mencampurkan terus serbuk kapur pada tanah atau membubuh pada setiap lapisan yang diselang-selikan dengan baja organik.

3. Baja organik atau kompos

Kadang-kadang tanah tidak mempunyai atau kurang sumber nutrisi untuk tanaman. Oleh itu, satu cara untuk membaiki tanah adalah menambah baja organik ke dalam tanah yang ingin diusahakan. Bubuh baja organik seperti tinja binatang diproses seperti tinja ayam, tinja lembu, tinja kambing, tinja arnab atau guano (tinja kelawar) pada batas berkenaan dan gaul hingga sebati. Untuk mendapatkan hasil yang baik setelah dibubuh baja organik rehatkan tanah atau batas tersebut selama seminggu atau dua minggu. Biar baja organik tersebut betul-betul sebati dengan tanah. Jumlah baja organik yang harus dicampurkan ke atas tanah tersebut adalah mengikut saiz batas tersebut. 

4. Serbuk kayu 

Anda juga boleh menambah serbuk kayu ke dalam tanah yang ingin anda diusahakan. Serbuk kayu akan mereput dalam tanah dan akan menjadi humus yang tinggi nutrisi untuk tanaman. Ia juga sesuai dijadikan sebagai mulsa untuk batas sebagai mengurangkan kekeringan pada tanah. Selain itu ia juga berfungsi untuk pengudaraan dan saliran yang baik pada tanah.

5. Topsoil / tanah atas

Anda boleh menambah topsoil pada batas tanah anda. Ini khususnya tanah yang berjenis tanah clay. Tanah clay tidak menyerap air dan kurang subur. Dengan menambah tanah topsoil ini maka struktur tanah clay dapat dibaiki dengan pengudaraan dan saliran semakin baik. Ini bermakna, liang-liang udara dalam tanah semakin besar dan baik sementara saliran menjadi mudah menyerap ke dalam tanah. Juga anda boleh menambah pasir untuk tanah clay anda itu. Ia bukan sahaja memperbaiki pengudaran dalam tanah dan saliran air tetapi juga menambah nutrient ke dalam tanah tersebut.

6. Tanaman giliran

Tanaman giliran bermaksud melakukan penanaman tumbuhan pada tanah secara bergilir-gilir mengikut musim menanam. Jangan lupa menanam pokok tanaman yang boleh mengeluarkan nitrogen semulajadi dalam tanah. Ini secara langsung memperbaiki struktur tanah tersebut. Antara tanaman yang mempunyai fungsi seperti di atas ialah kacang tanah, kacang buncis, kacang panjang dan pokok alfalfa.

7. Kompos teh atau baja organik cecair

Penambahan atau siraman kompos teh dan baja organik pada batas menjadikan tanah dihuni oleh mikrob baik yang memakan sisa kompos tersebut akan menghasilkan makanan yang banyak kepada tanaman ini secara tidak langsung akan memperbaiki kandungan nutrisi kepada tanah.

8. Pemulsaan

Mulsa juga penting untuk membaikpulih tanah. Mulsa berperanan melambatkan kekeringan pada tanah anda. Antara mulsa yang boleh digunakan ialah daun kering, rumput kering, jerami reput, cocopeat, kayu hancur dan peat moss. Letakkan mulsa di atas tanah setinggi kiria-kira 2 inci. Mulsa akan mereput dan menjadi humus sebagai makanan pada tanaman.

Dengan cara di atas membolehkan tanah kebun anda semakin lama semakin berkualiti, hitam dan gembur. Ini membolehkan tanaman tumbuh dengan baik dan galak. Walaupun tanah di kawadan anda kurang subur, ia menjadi berkualiti jika anda tahu membaikpulih tanah tersebut. Mudah-mudahan info ini memberi manfaat kepada pembaca semua.

Selamat bertani dan menuai hasil.


0 komentar:

Posting Komentar

 
Top