Musim hujan tanomkinotuan kurangkan aktiviti mencabut rumput di Kebun Belakang Rumah. Ini kerana tanahnya jenis tanah liat, sangat meleket ketika musim ini. Tanomkinotuan biarkan dahulu rumput yang sudah memenuhi kebun. Beberapa jenis sayur nampak galak pertumbuhannya. Rahmat hujan mengembirakan sayuran yang ditanam di Kebun Belakang Rumah seperti timun, bawang losun (ditanam di atas batas), timun armenia, brokoli ungu, cili padi, cili topurak, tomato dan halia. Tetapi musim hujan satu bencana paling teruk kepada sayuran berdaun seperti ong king, sawi putih, sawi bunga, sawi bak choi dan mustard. Habis daun-daun muda dirata oleh ulat seribu. Musim hujan adalah musim ulat seribu membiak di kebun belakang rumah dengan banyak.

Kita tinggalkan cerita di atas. Tanomkinotuan ingin berkongsi kepada pembaca mengenai pokok petola segi. Pokok petola segi sama kelompok dengan pokok petola ular dan petola bantal. Buahnya berbentuk buah belimbing, kulit keras dan isinya lembut ketika muda dan berserat ketika sudah tua. Biji berwarna hitam dan jenis pokok memanjat. Pokok mengeluarkan bau sedikit kuat.

Petola segi mudah tumbuh apabila ditanam. Tidak banyak ragam ditanam pada apa-apa jenis tanah, yang penting tanah tersebut digaul bersama kompos dan lime sekiranya tanah itu terlalu berasid. Sayur buah ini cepat membesar. Oleh kerana ia jenis memanjat sediakan kayu penyokong atau kayu junjung untuk memudahkan pokok petola segi memanjat dengan baik. 

Secara ringkasnya, cara menanam petola segi ialah gembur terlebih dahulu tanah atau batas yang digunakan. Buang segala bendasing yang tidak diperlukan seperti akar, daun kering, batu, ranting dan rumput. Campurkan batas itu dengan kompos dan gaul sebati. Buat lubang sedalam 2 inci dengan jarak 3 kaki antara lubang. Tanam 2 hingga 3 biji setiap lubang dan timbus lubang tersebut. Siram batas dengan air secukupnya. Benih petola segi akan bercambah setelah 4 hingga 7 hari. Pada masa ini, batas harus lembab tetapi tidak menakung air. Letak mulsa pada batas agar batas tidak kering. Antara mulsayang boleh digunakan ialah rumput kering, kayu reput, daun kering dan cocopeat. Tabur secara merata keseluruhan batas setebal 2 inci. 

Selepas dua minggu hingga tiga minggu anak benih petola segi mula memanjat. Sediakan kayu junjung yang dipacak pada setiap pokok petola segi. Anda juga boleh menggunakan tali rapia sebagai pengganti kayu sekiranya tidak ada. Jika pucuk petola segi tidak memanjat pada kayu atau tali rapia yang disediakan bantu pucuk petola segi itu memanjat dengan mengikatnya pada kayu. Bubuh baja disekeliling pokok petola segi selang dua minggu. Untuk mendapatkan buah yang sihat dan besar, bubuh baja bone meal sekali dalam dua minggu. 

Buah petola segi sudah boleh dituai setelah berusia 2 bulan lebih. Sebelum buah petola segi mengeras petik buahnya dengan memicit untuk menentukan ia mudah atau tua. Buah petola segi sesuai dimasak sup ayam, atau masak tumis. Rasa dan struktur lembut pada buahnya memberikan sayur ini enak dimakan. Adakah anda berminat menanam pokok petola segi di kebun atau halaman rumah anda?

Selamat bertani dan menuai hasil.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top