Kemajuan sains dan teknologi bukan sahaja mengembangkan penghasilan produk dalam bidang perindustrian, perubatan, pendidikan dan komunikasi tetapi juga dalam bidang pertanian khususnya penghasilan baja sintetik dan racun serangga kimia yang secara langsung memberikan kesan tidak sehat kepada kehidupan manusia dan alam sekitar. Dengan isu-isu sebegini, maka pada tahun 1970-an melalui kajian Terua Higa dari Universiti Ryukyu, Jepun telah menemui bahawa terdapat mikroorganisma yang boleh hidup bersama dan mempunyai nilai manfaat yang besar dalam bidang pertanian dan juga dalam bidang lain di mana telah mengabungkan lebih 80 microorganisma di dalam bahan-bahan yang dipilih untuk dikomposkan. Pada tahun 1982 produk EM1 mula dipasarkan di Jepun.


APAKAH ITU EM1 (EFFECTIVE MICROORGANISM)

EM1 ialah kaedah penggunaan mikroorganisma berfaedah dalam bahan-bahan dikompos bagi mempercepatkan aktiviti pengomposan untuk kebaikan pada tanah, haiwan, manusia, sungai dan alam sekitar. Secara umumnya terdapat 3 jenis bakteria di dalam EM iaitu Bakteria Laktic Asid, Yis dan Bakteria Potosintetik. Tahukah anda semasa tsunami melanda di negara kita EM1 disembur kepada mangsa korban untuk mengelak daripada berbau busuk?. 


MANFAAT EM1 KEPADA NILAI UMUM

1. Sembur pada sayuran bagi penggalakan pertumbuhan secara optimum. Sayuran tumbuh dengan baik.

2. Semburan EM1 pada tanaman, bunga-bungaan dan pokok buah-buahan mengelak dari serangan makhluk perosak. Tanaman kekal tumbuh sihat dan galak.

3. EM juga ditambah dalam pembuatan bahan asas/sisa dapur yang ingin dikomposkan. Fungsi EM mempercepatkan penapaian atau pengkomposan dari 3 bulan kepada 2 hingga 3 minggu sahaja. Kompos kaya dengan zat nutrisi yang diperlukan oleh tumbuhan.

4. Pencemaran sungai dan berbau busuk boleh dikurangkan dengan menyiram cecair EM ke dalam sungai. EM yang mengandungi bakteria baik akan memakan mikrob jahat hingga sungai kembali bersih. Kebanyakan negara menggunakan kaedah ini untuk mengawal pencemaran sungai.

5. Boleh disemburkan/dituang pada parit rumah untuk mengurangkan bau busuk.

6. Digunakan untuk mengurangkan bau busuk pada kasut, stokin, kusyen dll. Spray menggunakan ratio EM yang betul.

7. Boleh digunakan dalam bidang penternakan. Campurkan ratio EM yang betul di tempat minum haiwan ternakan seperti ayam, itik, kambing, lembu dll. 

8. Dapat memperbaiki kualiti tanah dengan cepat. Bakteria dalam EM akan memakan bahan organik dalam tanah dan membebaskan bahan nutrisi kepada tanaman.

9. Disemburkan kepada mayat untuk mengelak dari bau.

10. Boleh ditambah ke dalam aquarium untuk mengelak daripada timbulnya bau yang kurang menyenangkan.

11. Tambah dua sudu besar EM ke dalam satu gelas air, diminum selepas makan. Tetapi pastikan proses pembuatan EM anda haruslah bersih dengan menggunakan air tapis.

12. Serum EM juga berkesan mempercepatkan percambahan benih khususnya benih yang rumit bercambah di negara kita misalnya lobak merah, parsly, dan fennel. Rendam benih dalam campuran serum EM dan air dengan nisbah 1:1000. 

13. Gempa bumi di Jepun baru-baru ini telah menggunakan cecair serum EM untuk pembersihan lumpur, bangunan dan sebagainya.


CARA MEMBUAT EM1:

Bahan-bahan yang diperlukan ialah:


1. Satu cawan kecil beras kampung (beras baharu dituai tahun itu). Boleh guna apa-apa jenis beras jika beras kampung sukar diperolehi.


2. Gula perang


3. Susu segar


4. Air tanpa clorin. Guna air hujan atau air bertapis.


5. Botol nescafe besar atau kecil.


6. Botol mineral 1.5L


7. Penuras/penapis air.



Cara penyediaannya:


1. Masukkan beras ke dalam bekas botol nescafe.


2. Tuang dengan air tanpa klorin 100 ml. Tutup botol tersebut dan goncang hingga air bertukar menjadi putih/keruh. Air tersebut berubah menjadi keruh dan ia kaya dengan kandungan karbohidrat.


3. Tapis air beras tadi ke dalam botol yang lain menggunakan alat penuras untuk mengasingkan cecair beras dan biji beras. Tutup botol yang berisi air beras dan simpan di tempat selamat sehingga 1 minggu untuk ditapai. 


4. Seminggu kemudian, air beras tersebut mempunyai lapisan di permukaan dan tapis cecair beras tadi pada bekas botol lebih besar.


5. Tambah susu segar ke dalam cecair beras dengan nisbah 1:10 (cecair beras: susu segar contohnya 1 cup cecair beras dan 10 cup susu segar). Sukat jumlah banyak/liter cecair beras anda dan guna formula di atas. Tutup penutupnya dengan ketat dan goncang sedikit hingga susu segar sebati dengan cecair beras tersebut. Simpan semula botol tersebut di tempat selamat sehingga 1 minggu untuk ditapai kali kedua. Bebaskan gas dengan membuka botolnya pada hari ketiga. Anda boleh menggunakan susu asli UHL atau apa-apa jenama susu segar dalam kotak jika sukar mendapatkan susu segar dari ladang. Namun susu segar perahan yang baharu adalah lebih baik. Jangan guna susu yang telah basi.


6. Selepas 1 minggu, terdapatnya ketulan putih (curd) di permukaan, Tapis dan alihkan cecair tersebut pada botol yang lebih besar sedikit. Ambil cecair tersebut dan buang ketulan tersebut atau tambah dalam kompoS buatan sendiri. Sukat jumlah cecair beras + susu segar (EM) anda dan begitulah jumlah sukatan gula perang yang akan digunakan. Contohnya, jika cecair EM tersebut berjumlah 200 ml maka tambah 200 gram gula perang. Goncang hingga sebati. Maka serum EM1 anda sudah selesai. Lebih pekat gula lebih baik. Anda boleh simpan serum EM1 anda di tempat selamat dan diguna bila perlu. Jika anda menyimpannya di dalam peti sejuk tidak perlu letak gula perang. Gula perang adalah makanan kepada bakteria dalam EM dan EM anda boleh bertahan sehingga 6 bulan hingga 1 tahun.


8. Anda boleh tidak meletakkan gula perang atau molussa ke dalam serum EM anda dengan syarat simpan serum EM anda dalam peti sejuk. Jika ingin menggunakan serum EM pada apa-apa aktiviti seperti menyiram tanaman, membuat baja bokashi dan sebagainya tambah 2 sudu makan gula perang/molussa terhadap 2 sudu makan serum EM dan tambah 1 liter air tanpa klorin.



PANDUAN MENGAKTIFKAN EM INOCULANT MICROBIAL ANDA:

Untuk mengaktifkan serum EM anda, tambah 2 sudu makan serum EM ke dalam 1 liter air tanpa klorin. Dan 1 sudu makan gula perang (dicairkan) jika serum Em anda belum ditambah gula perang/molussa. Dibawah adalah cara tanomkinotuan mengaktifkan EM1 sendiri di rumah:

Bahan-bahan diperlukan:

1. Dua sudu makan serum EM1.

2. Dua sudu gula perang atau molussa.

3. Satu liter air tanpa klorin.

4. Besen dan botol mineral. 

PERINGATAN: Pengaktifan serum EM di sini bermaksud serum EM1 atau asli tanpa campuran air selepas diproses. Bahasa mudahnya ialah serum EM1 yang anda buat di rumah berdasarkan bahan-bahan di awal pos.

Cara penyediaannya:

1. Campurkan kesemua bahan tadi ke dalam botol mineral atau pilihan sendiri dan gaul hingga kesemua bahan menjadi sebati. 

2. Cecair tadi bolehlah digunakan untuk menyiram sayuran anda.

CARA MENGAKTIFKAN EM INOCULANT MICROBIAL VERSI TANOMKINOTUAN:

Bahan-bahan yang diperlukan;

1. Dua sudu makan serum EM1

2. Dua sudu makan gula perang atau molussa.

3. Satu liter air bersih tanpa klorin.

4. Satu sudu makan baja cecair ikan.

5. Botol spray / baldi

Cara penyediaannya;

1. Campurkan kesemua bahan tadi dan gaul hingga sebati.

2. Masukkan ke dalam botol spray atau baldi dan spray/siram pada sayuran anda.

 
CARA PENGGUNAAN:

1. Tambah 2 sudu makan serum EM ke dalam 1 liter air tanpa klorin dan spray/siram pada sayuran anda. Maknanya jika anda mempunyai sayuran skala besar, tambah 10 sudu makan serum EM ke dalam 5 liter air tanpa klorin.


2. Tambah 8 sudu makan serum EM untuk 4 liter air tanpa klorin dan siram ke batas yang belum ditanam sayuran.


3. Tambah 2 sudu makan serum EM dengan 1 liter air tanpa klorin, spray pada bahan kompos anda (tinja binatang, tumbuhan dll) yang anda ingin komposkan. EM mempercepatkan pengemposan sisa kompos anda secara pantas.


4. Untuk menghasilkan baja bokashi dari bahan suratkhabar, tambah 2 sudu besar serum EM, 1 sudu besar gula perang atau molussa dan 750 ml air tanpa klorin ke dalam 2 gallon bahan suratkhabar itu tadi. 

 5. Tambah 1 liter serum EM bagi 10 x 25 kaki persegi kolam anda bagi pembersihan, nyahbau dan kesihatan ikan ternakan anda. 


6. Guna nisbah 1:1000 (serum EM: air tanpa klorin) untuk merendam benih tanaman. Misalnya 1 titik serum EM bersamaan 1000 titik air tanpa klorin.



PERBEZAAN ANTARA SERUM EM, KOMPOS TEH DAN BAJA CECAIR IKAN.


Serum EM:


Ialah satu kaedah berteknologi tinggi di mana menggunakan sumber alami yang tinggi zat kaborhidrat bagi menghasilkan atau mewujudkan lebih mikroorganisma berfaedah dalam satu tempat yang baik kepada tanaman. Kaedah rumit sedikit berbanding dengan kaedah kompos teh dan baja cecair ikan.


Kompos teh:


iaitu cecair baja organik yang terhasil melalui kompos yang dicairkan dengan nisbah air tertentu serta dioksigenkan dalam tempoh tertentu bagi pembiakan bakteria berfaedah di dalamnya. Ditambah gula perang atau molussa. Bermanfaat kepada kualiti tanah.


Baja Cecair Ikan:


Ialah sumber yang dihasilkan melalui ikan yang diperam selama 1 minggu. Ia ditambah gula perang atau molussa. Sesuai disiram pada sayuran.


Jika anda menggunakan serum EM ke atas tanaman di kebun, anda boleh lihat perubahan ketara dari segi pertumbuhannya, daunnya, batangnya, buahnya dan bunganya cukup baik, kuat dan sihat;




Pokok buncis burgundy (ungu) mempunyai daun lebar dan tebal, batang kuat serta cepat pertumbuhannya selepas disiram serum EM dengan nisbah 2 sudu makan dicampur dalam 1 liter air tanpa klorin.


Sawi bunga jepun daun lebar, batang ranggup dan hijaunya cukup menyerlah.


Pokok zucchini tanpa serangan penyakit, buah rimbun dan daun sangat lebar.



Dan akhir sekali pokok bendi merah hidup dengan subur, daun lebar serta batangnya besar. Bukti bahawa serum EM berkesan memperbaiki kualiti tanah. Siram satu kali dalam 2 minggu. Selang seli dengan baja NPK, kompos, kompos teh dan baja cecair ikan. Teknik nenek dan datuk kita zaman dahulu menggunakan air basuhan beras yang disiram terus ke batas kebun adalah aktiviti benar dan berfakta, namun begitu, ia mengambil masa untuk mewujudkan bakteria lacto yang menguraikan karbohidrat pada beras tersebut untuk membebaskan zat makanan kepada akar tanaman.

Selamat bertani dan menuai hasil.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top