Antara sayuran daun yang digemari oleh rakyat Malaysia ialah sawi bunga atau nama saintifiknya ialah brassica Sp, tidak kiralah variati sawi bunga kampung, sawi bunga Jepun, sawi bunga manis, sawi bunga gergasi, sawi bunga komatsuna rafido F1, sawi bunga komatsuna nanane atau sebagainya mendapat tempat di hati para pengemar-pengemar sawi dalam resepi dapur untuk santapan sekeluarga. Aroma sawi bunga dalam mee goreng menggamit selera untuk memakannya. Terfikirkah anda   menanam sepokok dua sawi bunga di halaman rumah sama ada dalam pasu atau batas? Tahukah anda bagaimana menyemai benih sawi bunga ini? Sawi bunga adalah kelompok dalam Asian Green di mana mudah tumbuh di negara kita. Berikut adalah panduan yang anda boleh ikuti untuk menyemai benih sawi bunga langsung pada batas;

Pertama sekali dapatkan benih sawi bunga di pasaran. Pilih variati sawi kegemaran anda jika terdapat banyak variati benih sawi yang dijual. Anda boleh merujuk variati sawi bunga di SINI. Tanomkinotuan sarankan kepada pekebun yang baru berjinak-jinak dalam perkebunan halaman rumah untuk mencuba menyemai benih sawi kampung. 

Sediakan batas di halaman rumah anda dengan menggali 1 kaki dalam dan membuat raised bed 2X6 (lebar X panjang) dengan menggunakan cangkul. Gembur tanah sehingga menjadi serpihan-serpihan kecil. Buang segala bendasing yang tidak diperlukan seperti akar kayu, ranting, batu, paku, semen, serpihan tile dan sebagainya. Tambah kompos atau tinja ayam sebanyak 3 kilo hingga 5 kilo.

Anda juga disarankan membubuh serbuk kapur pertanian atau lime ke dalam batas anda sebanyak 2 genggam dengan tabur merata secara keseluruhan pada batas (Tanah berneutral tidak perlu menambah kapur pertanian). Untuk mendapatkan kualiti tanah anda, tambah peat-moss atau cocopeat (sabut kelapa giling) batas anda sebanyak 5 kilo. Jika bahan-bahan seperti peat-moss, cocopeat sukar anda perolehi guna rumput-rumput kering atau dedaun kering dan tabur pada batas anda dengan syarat potong menggunakan pisau supaya menjadi saiz-saiz yang lebih kecil. Gaul rumput dan daun kering dengan tanah batas anda hingga masuk ke dalam tanah. Ia akan menjadi kompos apabila rumput dan daun mula mereput. Dedahkan kepada cahaya matahari terlebih dahulu selama 1 hingga 2 minggu.

Oleh kerana benih sawi bunga bersaiz kecil, anda boleh menambah sedikit tanah kepada benih tersebut sebelum ditabur. Ini bertujuan agar dapat menjarakkan benih yang jatuh di atas batas. Tabur benih sawi anda secara menebarkannya secara keseluruhan batas dan jangan tabur di satu-satu tempat sahaja. Ini akan menyebabkan benih sawi bercambah secara mengelompok dan ia menjejaskan pertumbuhan kerana persaingan yang hebat antara satu sama lain. Bermaksud persaingan mendapatkan nutrisi, udara dan air.

Pada batas anda, tidak perlu ditimbus tanah walaupun senipis pun. Cukup selepas ditabur benihnya, siram dengan air menggunakan penyiram khas. Benih-benih tersebut secara alami masuk ke dalam tanah ekoran aliran air tersebut. Tidaklah 100% tetapi sebahagiannya akan berlaku. Dalam tempoh 3 hari hingga 6 hari benih sawi anda mula bercambah dengan baik. Jika benih sawi bunga anda tumbuh secara rapat. Cabut (thin) anak benih dan pindahkan ke tempat yang kurang anak pokok sawi bunga pada batas yang sama. 

Menyemai terus pada batas mempunyai kelebihan antaranya, anda tidak perlu mencabutnya dan mengalihkan ke batas serta pertumbuhannya berterusan dan cepat membesar berbanding yang dialihkan ke batas. Cara ini digunakan oleh peladang yang menanam/menyemai sawi bunga atau jenis sayuran berdaun lain secara komersil.

Tips menyemai benih yang perlu diambil perhatian:

1. Semai benih pada penghujung musim hujan atau pada musim hujan dengan syarat anda membuat teduhan berupa jaring atau seumpamanya agar benih yang ditabur tidak keluar dari batas disebabkan aliran hujan lebat.

2. Berhati-hati pada serangan semut pada benih sawi bunga dalam batas. Sembur dengan menyembur serangga organik untuk mengurangkan serangan.

3. Guna penyiram yang mempunyai siraman air yang halus supaya benih tidak keluar dari batas akibat alirannya yang kuat.

4. Benih sawi bunga tidak perlu direndam dalam air sebelum disemai. Benih sawi bunga sangat kecil dan tidak sesuai untuk direndam dalam air, semai terus pada batas. Melainkan benih seperti kacang panjang, buncis, zuchini, petola dan kacang soya. 

5. Anda boleh menyemai terus pada bekas semaian seperti pasu besar atau kotak besar jika ruang tidak mencukupi. Simpan pasu dan kotak tersebut ditempat terkena cahaya matahari melebihi 6 jam untuk pertumbuhan yang baik.

Selamat bertani dan menuai hasil.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top