Buncis: Usia 1 minggu
Menyemai benih buncis sangat mudah dan tidak cerewet. Ia sangat sesuai dengan cuaca di negara kita di mana cuaca panas dan lembab sepanjang tahun. Tidak perlu menggunakan teknik rahsia sangat. Kacang buncis mempunyai pelbagai variati dari jenis memanjat hingga non-memanjat. Buah panjang dan sederhana panjang, jenis leper dan bulat serta warna hijau ke merah. Semuanya mudah tumbuh di negara kita kecuali jenis buncis hibrid musim sejuk. Tu jangan berangan pula nak tanam di sini. Jika kita rajin melayari blog-blog luar negara mengenai tanaman sayuran mereka, kita dapat lihat pelbagai jenis buncis (bean) yang belum pernah dilihat di negara kita. Tetapi tidak semua variati buncis dapat tumbuh dengan baik di negara Malaysia.

Pertama sekali dapatkan benih buncis dengan membelinya di nusery atau kedai pertanian. Pilih jenis kesukaan anda, lazimnya benih buncis yang dijual di nusery atau kedai pertanian ialah buncis bulat dengan benihnya berwarna hitam. Ia cepat bercambah dan membesar serta pengeluaran buahnya sangat banyak tetapi mudah diserang penyakit.  

Sediakan batas atau raised bed lebih kurang 2X6 kaki (lebar x panjang) atau ikut keluasan halaman rumah anda. Gembur tanah menggunakan cangkul hingga menjadi serpihan kecil. Tambah kompos atau tinja ayam sebanyak 5 kilo. Anda juga boleh menambah 1 kilo peat-moss. Tabur juga kapur pertanian (lime) pada batas anda agar dapat mengurangkan kadar asid dalam tanah. Anda juga boleh menggunakan abu bakar di halaman rumah anda untuk mengantikan kapur pertanian. Tetapi jika tanah anda neutral (6.0 - 7.0) tidak perlu tambah kapur atau abu bahan bakar. Dedahkan batas anda dengan sinaran matahari selama 1 minggu.

Buat lubang sedalam 1/2 inci dengan jarak antara lubang ialah 1 kaki setengah. Masukkan 1 hingga 2 biji benih ke dalam 1 lubang. Timbus semula lubang tersebut dan siram dengan air secukupnya. 

Benih buncis akan mula bercambah pada hari ke-3 hingga hari ke-14 mengikut variati. Siram dua kali sehari ketika musim panas dan tidak perlu ketika hujan. Selepas 2 minggu buncis anda akan mula memanjat dan sediakan junjung/kayu penyokong untuk buncis anda atau gunakan tali rafia untuk dijadikan junjungnya. Anda juga boleh membuat batas di tepi pagar agar ia mudah memanjat pada pagar anda, lebih praktikal tetapi tidak sesuai jika binatang seperti kambing, lembu ada berkeliaran. Nanti habis dimakannya pokok buncis anda.

Selamat bertani dan menuai hasil.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top