Sengkuang atau jicama adalah spesis sayuran umbisi yang hidup subur di negara kita. Daun bujur berbatang hijau dan isinya berwarna putih kapas. Rasa isinya sedikit manis dan boleh dimakan mentah sebagai salad atau dicampurkan ke dalam sup ayam bagi menambah rasa sup tersebut. Berasal dari negara China dan menyebar ke dunia lain termasuk di negara kita.

Tanomkinotuan hari ini melawat ke KG (kebun getah) melihat perkembangan tanaman di sana. Pagi-pagi lagi tanomkinotuan dengan emak tanomkinotuan tiba di KG. Oleh sebab semalam hujan lebat pada pagi ini matahari malu-malu menampakkan diri, udara bolehlah dikatakan sejuk berbanding bulan-bulan sudah di mana Jam 7.00 pagi sudah tersenyum gamaknya, sinarannya perit menusuk ke kulit. Mungkin cuaca kembali sedia kala hujan kini mencurah-curah membasahi bumi. Seperti biasa tidak sah jika meninjau sekitar kebun tersebut like a bos.  Melihat apa yang menarik hati.

Nampaknya KG telah ditumbuhi rumput dengan banyaknya. Hujan beberapa hari telah membolehkan rumput rumpai gembira sakan hingga membesar dengan cepat tanpa menoleh tanaman-tanaman yang lain. Tanomkinotuan sekali saja meracun rumput. Lopak-lopak di sekitar kebun belum mempunyai air. Jadi terpaksalah tanomkinotuan berjalan 80 meter ke hujung kebun untuk dapatkan air. Penat weiii.... Selesai meracun rumput tanomkinotuan tak larat lagi nak angkut air. Tunggu lopak-lopak di KG penuh barulah sambung semula kerja-kerja meracun. Tetapi masalah akan timbul, rumput rumpai semakin membesar dan ini memberi sedikit masalah ketika meracun nanti.

Tanomkinotuan sudah berniat untuk menuai sengkuang yang ditanam awal bulan Januari tahun ini. Sebab jangkaan tanomkinotuan sengkuang tersebut hanya mengambil masa 3 bulan untuk berisi dan hari ini dah masuk bulan April, kira sesuailah sangat untuk menuainya. Dengan alat pengorek di tangan tanomkinotuan menuju ke arah tempat menanam sengkuang tersebut dan sah rekahan tanah yang begitu besar menunjukkan isinya sudah besar. Apalagi tanomkinotuan benamkan alat pengorek tersebut dan tekan ke bawah maka tersembul lah isi sengkuang yang besar. Pokok sengkuang juga ada ditanam di KBR, sudah boleh dituai tapi tanomkinotuan tangguhkan dulu. Pokok sengkuang tanomkinotuan di KG hanya tinggal 3 pokok daripada 10 pokok. Ini semuanya kerja-kerja si monyet tempoh hari. Dicabutnya pokok-pokok itu untuk memakan isi sengkuang. Tapi bagi tanomkinotuan bagi-bagi harta Tuhan. Haha

Bolehlah tanomkinotuan memasak bersama sup ayam. Sudah lama tidak pekena sup ayam bersama ubi sengkuang. Rasa sup manis-manis lemak. Ini disebabkan manis tersebut keluar dari isi sengkuang yang memberi rasa dan kelebihan pada sup tersebut.

Pokok sengkuang ditanam melalui benihnya. Setiap pokok sengkuang menghasilkan pod panjang kira-kira 2 hingga 5 inci di mana mempunyai biji di dalam kira-kira 2 hingga 6 biji. Jika anda mempunyai pokok sengkuang ditanam di halaman rumah, rahsia mempercepatkan pokok sengkuang berisi ialah pada usia 3 minggu potong pucuknya dan tinggalkan 6 inci panjang. Segala tunasnya juga perlu dibuang. Pemotongan pucuk/batangnya juga boleh dilakukan jika pokok sengkuang anda sudah menjalar. Ikut rule di atas untuk memotong batang sengkuang tersebut. Jangan gusar kerana sengkuang anda akan bertunas semula dan berbunga. Jika anda inginkan benihnya bagi tanaman musim akan datang. Perlu dimatangkan buahnya terlebih dahulu iaitu bertukar warna coklat atau hitam. kutip buahnya dan keringkan dalam karung jarang. Ini kerana apabila buah sengkuang sudah kering sepenuhnya pod akan terbuka sendiri dan biji sengkuang akan terpelanting jauh macam biji getah. kumpul bijinya dan keringkan semula hingga biji keras dan simpan ke dalam kedap udara. Anda sudah boleh menanam semula sengkuang dengan benih baharu anda. Lakukan kerja-kerja ini agar anda senantiasa mempunyai bekalan benihnya.

Isi sengkuang yang dijual di pasaran selalunya menggunakan baja subur kimia (warna putih) untuk mempercepatkan pembesaran isi. Hal ini tidak sesuai dimakan bagi mereka yang inginkan makanan organik. Jadi menanam sendiri pokok sengkuang adalah tindakan yang tepat. Pokok sengkuang juga boleh ditanam di dalam pasu yang besar. Guna media campuran bernisbah 2:1:1 (tanah lom: pasir sungai:kompos). Simpan pasu anda ditempat terkena cahaya matahari untuk pertumbuhan pokok sengkuang dengan baik.  Adakah anda sudah menanam pokok sengkuang di halaman rumah anda?

Selamat bertani dan menuai hasil.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top